Adab Mana?| Generasi kini semakin tak beradab! Budi bahasa ke laut! Hubungan dan komunikasi hancus!

Published by
KitaReporters


Dunia media sosial menyaksikan terhakisnya adab, budi bahasa, ukhuwah dan akhlak yang baik dalam kalangan masyarakat kita. Kehadiran media sosial membuatkan masyarakat mula melupakan nilai-nilai murni dalam interaksi kehidupan. 

Keluarga juga tidak terkecuali. Hendak berjumpa ahli keluarga pun mereka lebih suka secara online. Alasan diberi terlalu sibuk dengan tugas seharian dan "Google Meet" atau perjumpaan secara maya lebih mudah dan menjimatkan masa dan tenaga. 

Disebabkan itu, bila berhadapan secara bersemuka ramai yang gagal dalam mempraktikkan adab dalam berkomunikasi. 

Berinteraksi secara maya dan interaksi secara bersemuka adalah dua perkara yang berbeza. Interaksi media sosial seperti menulis dan perjumpaan maya jarang menitikberatkan rasa hormat pada seseorang. Nilai perasaan dan keikhlasan juga kurang. 

Adakalanya mereka "pukul rata" semua yang ada dalam media sosial berkenaan. Adab memanggil nama pak cik, mak cik, atau menulis ikut gaya bahasa yang baik sudah tidak wujud lagi. Alasan nak cepat nak senang tulis atau nak cepat tamatkan perjumpaan maya. 



Bila dah terbiasa dengan cara itu, mereka sudah tidak pandai menggunakan ganti nama diri pada mereka yang lebih tua atau muda. Panggilan korang dirasakan lebih sesuai atau  sis and bro" lebih relevan dengan suasana komunikasi zaman ini. 

Interaksi interpersonal atau komunikasi bersemuka pula banyak memperlihat cara kita bercakap di depan mata. Segala tindak tanduk kita dan keikhlasan kita jelas bila berkomunikasi secara bersemuka ini. 

Orang boleh nampak apa kita nak sampaikan, selain dengar intonansi dan perasaan kita. Malangnya interaksi jenis ini sudah jarang diamalkan lagi masa kini. 

Memang ramai lebih suka berinteraksi melalui online dan merasakan sudah selesa dengan cara itu.  Apatah lagi interaksi berkenaan adalah cara hidup kita zaman ini. 

Disebabkan itu  banyak nilai nilai murni, adab dan budi bahasa dalam masyarakat terhakis begitu saja. 

Berinteraksi secara bersemuka memang tidak sama dengan interaksi online. Banyak perkara yang perlu ditekankan dalam interaksi bersemuka seperti ekspresi muka, intonansi suara, eye contact atau hubungan mata, gaya bahasa tubuh kita (body language) dan perasaan empati. Kesemua itu banyak memainkan peranan memperlihat adab dalam kita berkomunikasi serta keikhlasan dan ketulusan kita dalam interaksi. 

Jika dulu nak lalu depan orang tua kita mesti menundukkan sedikit badan kita, bercakap dengan orang yang lebih tua, perlu hati-hati dengan pemilihan ayat yang kita sebut. Tidak boleh meninggikan suara dan mimik muka juga memainkan peranan. 

Tapi zaman sekarang anak anak yang sudah terbiasa menulis dan berinteraksi dalam talian tidak pandai berinteraksi dengan orang tua dengan cara yang lebih baik.  Mereka terikut ikut gaya dalam penulisan dalam media sosial. Ini jelas menampakkan kurangnya adab mereka dalam interaksi bersemuka. 



Dalam majlis kekeluargaan misalnya, golongan tua akan sibuk cuba mengeratkan ukhuwah dengan memperkenal ahli keluarga. Tapi ada juga golongan anak-anak muda zaman ini yang tidak hirau pada majlis seumpama ini. Mereka lebih leka dengan gajet masing-masing. Duduk di sudut pilihan mereka dan berada dalam dunia mereka sendiri. 

Bila cuba diperkenal kepada ahli keluarga yang lebih tua ada anak anak yang tergamak cakap "tak kenal tak kenal"  dengan cara yang sangat kurang ajar sambil meneruskan melihat phone atau gajet yang sedang mereka main. 

Mak dan bapaknya pula merasakan "itu bahasa biasa" budak-budak zaman sekarang  dan bagi tahu jangan ambil hati kerana anak mereka nak bergurau. 

Cara bergurau dengan orang tua juga dianggap satu adab. Bukan sewenang-wenangnya boleh bergurau dengan orang tua mengikut cara kita. Begitulah cantiknya adab dan budi bahasa dalam masyarkat kita. 

Dalam pada itu, ramai anak zaman ini sudah tidak mahu berkenalan atau mencari saudara mara serta tidak mahu mengeratkan ukhuwah keeluargaan. Bagi mereka kawan-kawan lebih penting kerana sepupu, dua pupu, pak cik makcik atuk nenek sedara ni dah tidak wujud dalam lingkungan kehidupan mereka.  

Mereka rasakan hidup dengan cara mereka sudah cukup baik dan ikatan kekeluargaan bukanlah sesuatu yang penting. Lebih malang lagi jika ada ibu bapa yang  menyokong tindakan anak-anak ini dan ikutkan sahaja kehendak anak-anak serta tidak terapkan nilai-nilai murni dan adab berbahasa ini pada anak-anak mereka. 



Di sini dapat kita lihat betapa pentingnya peranan ibu bapa zaman ini menerapkan nilai murni dan adab berbahasa kepada anak-anak. 

Adakalanya ibu bapa juga sama seperti anak-anak, mereka juga kurang ajar dan tidak ada budi bahasa. Ibarat kata pepatah "bapak borek anak rintik". Begitu juga pepatah ini: Kepimpinan melalui tauladan. 

Ibu bapa yang gagal mempamerkan budi bahasa yang baik akan terlihat pada diri anak-anak mereka. Jadi untuk melahirkan masyarakat berbudi bahasa dan kembali pada nilai-nilai murni, peranan ibu bapa sangat penting mencorak minda anak-anak mereka. 

Marilah sama-sama kita membina masyarakat yang kembali beradab, berbudi bahasa dan berakhlak mulia. 

Sia-sia slogan masyarakat Madani dilaungkan jika masyarakat Malaysia ramai yang kurang ajar dan tak bersopan, ukhuwah kekeluargaan juga semakin longgar, budi bahasa dan akhlak mulia " ke laut" dan kehidupan hanya pentingkan diri sendiri. - KitaReporters


14
16
0
14
0

Copy Link: