Iftar Ramadan penuh makna! Asnaf, anak yatim Dirai! Misi Amal terus hulur bantuan! Termasuk di Aceh!
Published byKEGEMBIRAAN jelas terpancar pada wajah keluarga asnaf dan anak-anak yatim Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim dan Miskin Rukaiyah, Sungai Merab Luar, Selangor apabila diraikan dalam Majlis Iftar Ramadan anjuran Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor (Misi Amal) di Ibu Pejabat Misi Amal, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Sebahagian anak-anak yatim dan keluarga asnaf yang diraikan sempena Iftar Ramadan Misi Amal 2026.
Majlis yang berlangsung dalam suasana sederhana tetapi meriah itu diisi dengan pelbagai aktiviti termasuk penyampaian duit raya, biskut raya, aiskrim dan sumbangan jajan yang ditaja oleh penderma-penderma termasuk dari Brunei. Turut hadir, Penasihat Misi Amal, Ustaz Mohamad Raffeg Halil Abbas.
Program berkenaan menghimpunkan kira-kira 15 keluarga asnaf sekitar Bandar Baru Bangi selain 33 anak yatim dari Rumah Anak Yatim Rukaiyah serta beberapa penerima lain yang dipilih oleh penganjur.
Timbalan Pengerusi Misi Amal, Tukinah Wardi berkata, walaupun kos penganjuran majlis iftar kali ini agak besar, ia tidak menghalang pertubuhan itu terus melaksanakan program kebajikan demi membantu golongan memerlukan.
"Komitmen ahli dan penderma menjadi faktor utama kejayaan penganjuran program ini. Saya berterima kasih kepada ahli-ahli kerana setiap kali kita memohon sumbangan, mereka cepat memberi maklum balas sehingga program dapat berjalan dengan lancar.

Tukinah Wardi
"Selain program iftar ini, Misi Amal turut merancang beberapa aktiviti kebajikan lain menjelang Aidilfitri bagi membantu golongan kurang bernasib baik, antaranya menyantuni keluarga asnaf di Kedah dan Kelantan bagi membolehkan mereka menyambut Hari Lebaran dalam suasana meriah seperti insan lain," katanya.
Katanya, di Kampung Telok Sungai Durian, Baling, Kedah ada 30 keluarga yang memerlukan bantuan kerana kebanyakan mereka bekerja sebagai penoreh getah dan petani yang sentiasa bergelut demi mencari sesuap nasi untuk dibawa pulang kepada isteri dan anak-anak di rumah.
"Bantuan yang disalurkan merangkumi bahan mentah seperti ayam atau daging selain santan dan minyak masak bagi membolehkan penerima menyediakan juadah Aidilfitri bersama keluarga.
“Kami berharap melalui sumbangan ini, mereka dapat memasak rendang dan menyediakan makanan untuk anak-anak serta keluarga. Walaupun kosnya agak tinggi, ini adalah komitmen tahunan Misi Amal bagi menggembira keluarga asnaf pada Hari Raya Puasa ini,” katanya.


Pasangan anak-anak yatim kembar turut diraikan sempena Iftar Ramadan Misi Amal 2026.
Sementara itu, Bendahari merangkap Biro Penggerak Misi Amal, Ustazah Norhayati Sulaiman berkata, pertubuhan itu turut aktif menyalurkan bantuan kemanusiaan di luar negara termasuk di Aceh, Indonesia.
Beliau berkata, sepanjang Ramadan 2026, Misi Amal bekerjasama dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengagihkan makanan sahur dan berbuka puasa kepada penduduk di beberapa kampung pedalaman di Aceh yang menjadi mangsa banjir besar, baru-baru ini.
"Ramadan 2026 adalah kali keempat kami melaksanakan program kebajikan itu. Ia membabitkan lebih 660 penduduk di beberapa kampung pedalaman di Aceh yang disantuni melalui pengagihan makanan di khemah sementara dan kawasan perkampungan yang terjejas akibat banjir.
“Banjir yang melanda menyebabkan banyak kerosakan termasuk rumah dan kemudahan asas penduduk. Ramai yang hanya tinggal sehelai sepinggang manakala bantuan yang sepatutnya diterima tidak mengikut seperti perancangan, terlalu lewat ” katanya.


Anak-anak yatim menikmati pelbagai juadah yang disediakan sempena Iftar Ramadan Misi Amal 2026.
Beliau berkata, selain pengagihan di kawasan terbuka, sebahagian program turut dilaksanakan di masjid bagi memudahkan bantuan disalurkan kepada lebih ramai penerima.
"Namun, bagi penduduk uzur dan tidak mampu keluar dari rumah, sukarelawan Misi Amal akan menghantar sendiri bantuan makanan kepada mereka.
"Misi Amal memilih untuk menyediakan makanan ketika waktu sahur kerana ia dianggap waktu paling kritikal bagi golongan terbabit mendapatkan makanan.
“Ketika kami memberi makanan waktu iftar, mereka biasanya makan sedikit sahaja dan selebihnya disimpan untuk sahur. Mangsa banjir tiada dapur untuk memasak kerana banyak kemudahan rosak akibat banjir,” katanya.

Misi Amal menyantuni mangsa banjir di Aceh sempena Ramadan 1447 Hijrah.

Ustazah Norhayati Sulaiman
Sehubungan itu katanya, sukarelawan Misi Amal mengambil inisiatif memasak sendiri makanan di Aceh bagi memastikan penduduk dapat menikmati hidangan yang sempurna ketika berbuka dan bersahur.
Beliau berkata, pengalaman berada di Aceh memberi kesedaran mendalam kepada sukarelawan erti kesyukuran. Keadaan kemiskinan yang disaksikan di sana amat menyentuh hati berbanding situasi di Malaysia.
“Ramai yang menerima makanan mengucapkan terima kasih tidak henti-henti seolah-olah kami adalah talian hayat mereka. Contohnya apabila kami menyediakan nasi lemak, mereka menganggap ia nasi lemak paling sedap yang pernah mereka makan.

Sukarelawan Misi Amal memasak untuk juadah Iftar dan sahur kepada mangsa banjir di Aceh.

Pengalaman di Aceh dan melihat sendiri kemiskinan di negara itu memberi kesedaran kepada sukarelawan Misi Amal erti kesyukuran.
"Pengalaman itu membuatkan sukarelawan sebak dan bersyukur kerana dapat berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan. Malah, dalam kalangan kami sanggup tidak mengambil makanan sendiri kerana mahu memberikannya kepada penduduk tempatan.
“Ada ketika kami hanya minum air kelapa kerana mahu berkongsi makanan dengan mereka. Selain makanan, Misi Amal turut menyerahkan beberapa keperluan lain seperti kipas, tilam dan barangan asas bagi membantu meringankan beban penduduk," katanya.
Walaupun berpuas hati dapat menyalurkan bantuan, Norhayati mengakui mereka masih berharap dapat memberikan lebih banyak bantuan pada masa akan datang.
"Misi Amal akan terus bekerjasama dengan NGO Malaysia yang berada di Aceh bagi memastikan bantuan diteruskan kepada penduduk yang memerlukan. Sumbangan yang dikumpulkan di Malaysia akan diserahkan kepada NGO terbabit untuk diagihkan secara berperingkat.
"Usaha itu mencerminkan komitmen Misi Amal untuk terus menabur bakti bukan sahaja di dalam negara tetapi kepada masyarakat yang memerlukan di luar negara," katanya. - KitaReporters

