Untunglah! Jadi anak Pahang di ibu kota! Sultan Pahang hadiri raya PEKAP santuni anak perantauan!
Published bySultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah, mencemar duli berangkat ke Majlis Hari Raya Aidilfitri anjuran Persatuan Kebajikan Anak-anak Pahang di Ibu Kota (PEKAP) di Dewan Merdeka, World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur pada 9 April 2026.
Kehadiran itu membuktikan baginda sentiasa dekat di hati rakyat, kasih dan prihatin terhadap rakyat Pahang di perantauan.

Ketibaan Sultan Abdullah di Dewan Merdeka WTC sempena Majlis Raya disambut oleh pengurusan tertinggi PEKAP pada 9 April 2026.

Sultan Abdullah menyampaikan sumbangan duit raya kepada ahli dan anak ahli terdiri daripada golongan asnaf dan OKU.
Sultan Abdullah yang tiba kira-kira jam 2.30 petang, berkenan meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra bersama tetamu yang hadir.
Baginda yang juga penaung diraja persatuan itu menghargai usaha penganjuran majlis berkenaan kerana mampu mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli serta komuniti anak-anak Pahang di ibu kota.
Malah, baginda turut menzahirkan penghargaan kepada semua ahli yang hadir serta Presiden PEKAP atas usaha serta komitmen menjayakan majlis berkenaan.
Sebelum berangkat pulang, Sultan Pahang berkenan menyantuni hadirin selain menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf dalam kalangan ahli PEKAP.

Anggunnya si gadis mengenakan pakaian tradisional sempena Majlis Hari Raya PEKAP 2026 di WTC Kuala Lumpur.
Presiden PEKAP, Datuk Azman Shah Abdullah berkata, semua ahli persatuan merafak sembah dan menjunjung kasih kepada baginda yang sudi mencemar duli ke majlis itu.
"Kesudian keberangkatan baginda Sultan Pahang ke Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran PEKAP amat dinantikan.
"Kami anak-anak Pahang di ibu kota menjunjung kasih dan merafak sembah kepada Duli Tuanku atas perkenan ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.
"Majlis ini bukan sekadar sambutan Aidilfitri tetapi simbol kepada kekuatan ukhuwah dan perpaduan dalam kalangan anak-anak Pahang di perantauan," katanya ketika berucap sempena Majlis Aidilfitri di Dewan Merdeka, World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur.

Sebahagian dari anak-anak Pahang di ibu kota yang hadir di Majlis Hari Raya PEKAP di WTC Kuala Lumpur.
PEKAP ditubuhkan khusus untuk warga Pahang yang bermastautin di sekitar ibu kota pada 27 September 1966, yang bertujuan menjaga kebajikan anak-anak negeri Pahang yang merantau di ibu negara.
Kini, penubuhan PEKAP sudah mencecah usia 60 Tahun dan jumlah keahlian PEKAP kira-kira 5,000 orang.
Dalam perkembangan sama, beliau menjunjung kasih sumbangan RM100,000 daripada Tuanku kepada tabung pendidikan PEKAP bagi dimanfaatkan untuk Anugerah Pelajar Cemerlang.
"Sumbangan itu bukan sahaja meringankan beban, malah menjadi pemangkin kepada usaha kami memperkasa pendidikan anak-anak Pahang melalui Tabung Pendidikan PEKAP.
“Insya-Allah, bantuan ini akan dimanfaatkan sebaiknya bagi melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang yang mampu menyumbang kepada negeri dan negara," katanya lagi.

Suasana hari raya di perantauan mengimbau kenangan manis ketika Aidilfitri di Pahang.
Selain itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail turut menunjukkan sokongan apabila menyumbang RM100,000 bagi menjayakan penganjuran jamuan Aidilfitri 2026. Malah, pada 2025, beliau turut menaja kos Majlis Hari Raya Aidilfitri PEKAP.
Menurutnya, sokongan berterusan daripada kerajaan negeri itu disifatkan sebagai bukti keprihatinan terhadap kebajikan anak-anak Pahang di perantauan.

AJK PEKAP bergambar kenangan bersama Sultan Abdullah sempena Majlis Hari Raya PEKAP di WTC Kuala Lumpur.
Sementara itu, PEKAP akan terus komited memperluas inisiatif kebajikan termasuk pelaksanaan insurans berkelompok serta perancangan penubuhan Yayasan Kebajikan Anak Pahang demi memastikan kebajikan ahli terus terpelihara.
“PEKAP turut menjunjung titah baginda mewujudkan skim insurans berkelompok yang kini dilaksanakan dan memberi manfaat kepada sebahagian ahli.
"PEKAP merancang pelbagai inisiatif masa hadapan termasuk penubuhan Yayasan Kebajikan Anak Pahang bagi membantu golongan memerlukan, tertakluk kepada kelulusan kerajaan negeri.
"Tidak ketinggalan, perancangan sambutan Jubli Intan ke-60 PEKAP juga sedang diatur bagi menandakan perjalanan panjang persatuan tersebut dalam memperjuangkan kebajikan ahli," katanya. - KitaReporters


Ahli Parlimen Bentong,Young Syefura Othman (dua dari kanan) turut hadir ke Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri PEKAP di WTC Kuala Lumpur.
