BETAPA beruntungnya mereka yang terpilih mengerjakan haji setiap kali tibanya bulan Zulhijjah. 

Ia bukan sekadar satu perjalanan fizikal ke Tanah Suci, tetapi ia pengembaraan jiwa yang mendalam, satu pengalaman seumur hidup yang tidak ternilai bagi setiap Muslim yang menjadi tetamu Allah di Mekah dan Madinah.


Tetamu berselawat ke atas Nabi SAW selepas majlis tahlil dan doa selamat untuk bakal haji.


Tidak semua yang berhajat akan sampai ke Tanah Suci. Ada yang menunggu bertahun-tahun, malah seumur hidup. Maka, mereka yang menerima tawaran menunaikan haji atau menjadi Duyufurrahman (Tetamu Allah) tahun 2026 ini adalah insan yang bertuah.

Rebutlah peluang ini dengan sebaiknya. Jadikan setiap detik di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi sebagai ruang untuk memperbaiki diri, memperbanyakkan ibadah dan mendekatkan diri kepada-Nya.

Begitulah perasaan teruja bercampur syukur menyelubungi hati pasangan suami isteri, Ustazah Norhayati Sulaiman dan Ustaz Shamsulbahri Ahmad apabila menerima panggilan menunaikan ibadah haji tahun ini (2026).

"Saya menerima panggilan itu pada waktu yang tidak dijangka iaitu sekitar tengah malam pada 29 Oktober 2025 daripada Tabung Haji, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan rohani kami sebagai tetamu Allah.

"Kami tidak pernah menyangka terpilih pada tahun ini selepas mendaftar sejak 2009. Alhamdulillah, sebaik sahaja menerima pengesahan itu, kami berazam untuk tidak lagi meninggalkan kursus haji mingguan walau apa jua keadaan,” katanya yang juga Bendahari Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor (Misi Amal).


Ustazah Norhayati Sulaiman (kanan) dan suaminya, Ustaz Shamsulbahri Ahmad.


Katanya, pengalaman menunaikan umrah sebelum ini sedikit sebanyak membantu mereka memahami perjalanan ibadah di Tanah Suci, meskipun terdapat beberapa rukun dan wajib haji seperti mabit dan melontar jamrah yang tidak dilaksanakan ketika umrah.

Tambahnya, pelbagai persediaan dilakukan termasuk mendapatkan nasihat daripada mereka yang pernah menunaikan haji selain memperbanyak pembacaan serta mengikuti perkembangan melalui media sosial.

“Persiapan bukan sahaja dari segi ilmu, tetapi fizikal dan mental. Saya memang suka cabaran kerana ingin merasai sendiri pengalaman itu dengan penuh sabar dan tawakal.


Selain bakal haji, Misi Amal turut meraikan anak-anak yatim dengan memberi sumbangan duit raya sempena Hari Raya Aidilfitri.


"Bagi memastikan tubuh berada pada tahap terbaik, saya dan suami mengamalkan puasa selang seli sejak bulan Rejab, Syaaban dan puasa penuh sepanjang Ramadan, selain menjaga pemakanan. 

“Alhamdulillah, berat badan saya semakin turun dan tubuh terasa lebih ringan. Sekarang berjalan pun tidak mudah lenguh seperti dahulu,” katanya.

Dari segi persiapan material, katanya pengalaman mengikuti misi kemanusiaan sebelum ini banyak membantu mereka membuat persediaan lebih awal. 

Pasangan itu dijadualkan berangkat pada penerbangan ke-10 pada 20 April 2026 ini dan berada di Tanah Suci selama 49 hari bermula di Madinah sebelum ke Mekah.

“Setiap hari kami berdoa agar Allah mempermudah urusan dan mengurniakan haji yang mabrur,” katanya yang turut merancang untuk meneruskan kerja-kerja kebajikan sekiranya berkesempatan di sana.


Ustaz Nor Helmi Othman (kiri) dan Ustazah Zakiah Zakaria.


Sementara itu, seorang lagi bakal jemaah, Ustaz Nor Helmi Othman berkata, beliau dan isteri, Ustazah Zakiah Zakaria turut melahirkan rasa syukur selepas sekian lama menunggu panggilan sejak mendaftar pada tahun sama. 

Menurutnya, mereka sebelum ini pernah mendapat peluang lebih awal, namun terpaksa menangguhkannya atas faktor komitmen lain yang perlu diselesaikan.

“Sekarang kami lebih fokus kepada persiapan ibadah dengan menghadiri kursus haji setiap minggu serta mengulang kaji bersama.

"Kami turut memberi perhatian terhadap persiapan keluarga khususnya anak bongsu berusia 10 tahun yang agak manja dengan saya.

“Kami akan mendapatkan bantuan ibu mentua selain mengambil pengasuh bagi memastikan kebajikan anak-anak terjaga sepanjang berada di Tanah Suci,” katanya.  

Beliau berharap segala urusan dipermudahkan dan berdoa agar dapat mengharungi segala ujian sepanjang ibadah haji dengan baik. 


Tukinah Wardi


Bagi Timbalan Pengerusi Misi Amal, Tukinah Wardi, pihaknya meraikan lapan bakal haji dalam kalangan ahli pertubuhan itu melalui satu majlis khas. Majlis tersebut diisi dengan bacaan doa selamat, selawat serta penyampaian cenderahati sebagai tanda ingatan kepada bakal jemaah.

“Kami sentiasa mendoakan agar mereka dilindungi daripada sebarang musibah, dipermudahkan segala urusan dan memperoleh haji yang mabrur.

"Program tersebut turut disertai ahli lain sempena sambutan Aidilfitri selain diadakan bacaan tahlil untuk ahli yang meninggal dunia," katanya selepas majlis meraikan bakal haji di ibu pejabat Misi Amal di Bandar Baru Bangi, Selangor. 

Turut hadir, Penasihat Misi Amal, Ustaz Mohamad Raffeg Halil Abbas dan Pengerusinya, Ustaz Roslan Abdullah. Ahli-ahli lain yang turut diraikan ialah Anita Omar, Saodah Mat Isa, Khatimah Safar dan Fatimah Ismail.


Lima dari lapan bakal haji yang diraikan oleh Misi Amal bersyukur menerima panggilan sebagai Duyufurrahman di Tanah Suci. 


Dalam perkembangan lain, Tukinah berkata, Misi Amal turut merancang melaksanakan program korban pada Aidiladha kedua membabitkan tiga ekor lembu. 

Program itu akan diadakan di Kampung Koyan, Raub, Pahang dengan pengagihan daging kepada komuniti Orang Asli di sekitar Kampung Orang Ramai sekitar kawasan itu.

“Seramai 15 sukarelawan akan berangkat ke sana kerana kawasan ini jarang menerima program korban, malah ada antara mereka yang mungkin menikmati daging lembu beberapa tahun sekali.

"Inisiatif itu diharap dapat membawa kegembiraan kepada masyarakat setempat selain menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan sukarelawan dan penerima manfaat," katanya. - KitaReporters


Sebahagian AJK Misi Amal yang terbabit menguruskan majlis bagi meraikan ahli yang menerima tawaran mengerjakan haji tahun ini.

20
14
0
9
0

Copy Link: