Video| Hajat nak belajar bahasa Melayu! Tapi lain jadinya! Pelancong asing teruja datang Malaysia!

Published by
KitaReporters

Malaysia terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara negara paling fasih berbahasa Inggeris di dunia apabila laporan terkini EF English Proficiency Index (Indeks Kecekapan Bahasa Inggeris) 2025 yang diterbitkan oleh EF Education First meletakkan negara ini di tangga ke-24 dunia dengan tahap ‘High Proficiency’ (kecekapan tinggi).



Lebih membanggakan, Malaysia turut diiktiraf sebagai negara nombor satu di Asia dalam penguasaan bahasa Inggeris, mengatasi beberapa negara lain termasuk Filipina dan Hong Kong. 

Pencapaian ini sekali gus mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai destinasi mesra pelancong, khususnya daripada segi komunikasi.

Keupayaan ini bukan sahaja memberi kelebihan dalam sektor pendidikan dan ekonomi, malah turut mencipta pengalaman unik kepada pelancong asing yang berkunjung ke negara ini. Jadi, tidak hairanlah kalau kebanyakan rakyat Malaysia terutamanya di bandar besar seperti Kuala Lumpur, penduduknya boleh berbahasa Inggeris.

Ia turut diakui seorang pempengaruh, Dasha Gartman dari Jerman yang menggunakan akaun @Barbie in Asia (barbieinasia) dan tinggal di Indonesia.

Dia berkongsi pengalamannya tentang kejutan budaya ketika melancong ke Malaysia, bermula dengan hasratnya untuk mempraktikkan bahasa Melayu.



Dia menyangka peluang itu terbuka luas kerana bahasa Melayu dan Indonesia mempunyai persamaan dari segi ejaan, namun perkara sebaliknya berlaku. Setiap kali dia cuba bertutur dalam bahasa Melayu, orang tempatan membalas dalam bahasa Inggeris.

“Saya sangka akhirnya dapat mempraktikkan bahasa Melayu kerana ejaannya hampir sama seperti bahasa Indonesia, tetapi tiada siapa yang memberi peluang. 

"Setiap kali saya bercakap dalam bahasa Melayu, mereka membalas dalam bahasa Inggeris. Walaupun saya bercakap dengan orang yang berbeza, mereka tetap beralih ke bahasa Inggeris dan seolah-olah tidak menggunakan bahasa Melayu,” ceritanya.

Situasi itu membuatkannya merasakan bahawa di Kuala Lumpur, penggunaan bahasa Melayu bukanlah satu keperluan kerana kebanyakan orang sangat fasih berbahasa Inggeris. 

Walaupun sedikit mengecewakan baginya, dia mengakui keadaan tersebut sebenarnya memudahkan pelancong khususnya dari luar negara.



Perkongsian tersebut telah menarik perhatian ramai netizen yang turut berkongsi pandangan masing-masing dalam ruangan komen. 

Seorang netizen bersetuju dengan pemerhatian tersebut dengan menyatakan bahawa bahasa Inggeris sememangnya sangat popular di Malaysia, malah walaupun dia bercakap dalam bahasa Melayu, ada yang tetap membalas dalam bahasa Inggeris.

Manakala seorang lagi netizen menjelaskan bahawa rakyat Malaysia kadangkala berasa janggal untuk bercakap bahasa Melayu dengan pelancong, justeru mereka lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris walaupun tidak sempurna.



Tidak kurang juga yang mengaitkan situasi tersebut dengan keinginan untuk berlatih bahasa Inggeris. Netizen tersebut mengakui bahawa ada dalam kalangan rakyat Malaysia yang berasa bangga dan teruja apabila dapat menggunakan bahasa Inggeris dalam komunikasi harian.

Seorang netizen turut berkongsi pengalaman peribadi apabila dia secara automatik akan bertukar ke bahasa Inggeris setiap kali bertemu pelancong asing, walaupun pelancong tersebut cuba bertutur dalam bahasa Melayu. 

Katanya, tindakan itu didorong oleh kebimbangan bahawa pelancong mungkin tidak memahami perkataan yang digunakan.



Selain itu, Gartman turut terkejut dengan harga makanan di Malaysia yang sangat berpatutan tetapi tetap berkualiti tinggi. 

Menurutnya, harga murah langsung tidak menggambarkan kualiti rendah kerana makanan di gerai jalanan seperti nasi lemak, shawarma dan pelbagai hidangan lain semuanya sedap. 

Malah, dia berpendapat ada makanan jalanan yang lebih enak daripada hidangan di restoran, dan sepanjang berada di Malaysia, dia tidak pernah menikmati makanan yang tidak sedap. 

“Kejutan budaya kedua ialah makanan di Malaysia sangat murah tetapi tetap menakjubkan. Harga rendah langsung tidak bermakna kualiti rendah. Anda boleh pergi ke mana-mana gerai makanan jalanan seperti nasi lemak, shawarma atau apa sahaja dan rasanya memang sedap. 

"Saya tidak bergurau, ada makanan jalanan yang lebih sedap daripada restoran. Sepanjang berada di Malaysia, saya sedar saya tidak pernah menikmati makanan yang tidak sedap,” kongsinya lagi.

Pada masa sama, dia kagum dengan ketahanan wang kertas Malaysia yang disifatkan hampir tidak boleh rosak. Dia cuba mengoyakkannya tetapi gagal, malah apabila dituangkan air, wang tersebut masih berada dalam keadaan baik. Pengalaman itu membuatkannya tertanya-tanya bahan yang digunakan, sebelum menyimpulkan bahawa wang Malaysia sememangnya sangat tahan lasak.



Kejutan budaya seterusnya melibatkan durian yang boleh ditemui di mana-mana sahaja, termasuk dalam bentuk ais krim, pencuci mulut dan minuman. 

Walaupun sebelum ini dia tidak menggemari durian, pandangannya berubah selepas mencuba durian Musang King di Malaysia sehingga menjadi penggemar buah tersebut. Baginya, Malaysia adalah destinasi terbaik untuk pencinta durian.

Akhir sekali, dia turut menyoroti kepelbagaian budaya di Malaysia yang dihuni oleh masyarakat daripada pelbagai latar belakang dan kaum. Apa yang paling mengagumkannya ialah cara masyarakat saling menghormati antara satu sama lain, selain sikap mesra yang membuatkan suasana terasa sangat dialu-alukan.

Dia juga berasa selamat berjalan pada waktu malam, sesuatu yang tidak dijangkakannya sebelum ini. 

Mengakhiri perkongsiannya, dia menyatakan rasa cintanya terhadap Malaysia dan rakyatnya, sambil mengajak orang ramai berkongsi pengalaman atau kejutan budaya yang mereka alami di negara ini. - KitaReporters



8
9
0
11
0

Copy Link: