Pengalaman penulis sebagai penjaga kepada anak yang sakit skizofrenia, sejenis sakit mental yang kronik, sejak 20 tahun lalu, berpendapat secara umumnya bila kita bercakap tentang kesihatan mental, fokus kita terlalu sempit, hanya tertumpu pada hospital dan ubat. 

Seolah-olah itulah satu-satunya jalan untuk merawat pesakit mental. 




Hakikatnya, kesihatan mental jauh lebih kompleks daripada itu. Ia bukan sekadar soal kimia dalam otak, tetapi juga tentang emosi, persekitaran, sokongan sosial komuniti dan keluarga serta bagaimana seseorang itu diterima dalam masyarakat tanpa dilabel dengan persepsi negatif. 

Apa yang berlaku bila pesakit mengamuk, atau datang sakitnya, penjaga menghantar pesakit ke hospital dan pesakit masuk wad. 

Di hospital mereka diberi makan ubat dan dipantau beberapa hari kemudian bila dah stabil, doktor benarkan pulang. 

Biasanya apa yang berlaku apabila pesakit keluar dari hospital, mereka kembali ke dunia yang sama, persekitaran yang kurang kondusif. Di hospital rutin ubat dipatuhi, di rumah, terus buang ubat dan gagal patuhi rutin makan ubat.

Dunia pesakit mental ni, sangat sukar untuk kita fahami mereka. Masyarakat, keluarga dan orang sekeliling sangat cepat menghukum, tetapi lambat membantu dan meringankan penderitaan mereka. 

Ramai pesakit mental sebenarnya tidak perlukan hospital sepanjang masa. Juga pusat penjagaan swasta yang mahal yang cuma bagi makan ubat dan kawal perlakuan pesakit dan mengurung mereka. 

Pesakit perlukan sokongan berterusan di rumah, dalam kalangan keluarga, komuniti, dan daripada sahabat handai serta orang sekeliling. 

Tetapi inilah yang sering kita abaikan dan terlepas pandang. Apa yang dapat penulis jelaskan adalah melalui pengalaman dan cabaran hidup sebagai caregiver kepada pesakit mental

Justeru, tanpa sistem sokongan yang kukuh, ramai yang akhirnya kembali sakit. Relapse bukan kerana mereka lemah, tetapi kerana sistem kita belum cukup kuat untuk menyokong mereka. 

Pesakit terumbang ambing dan tiada masa depan. Ada yang sakit dari muda sampai ke usia emas dan akhirnya tidak sembuh sehingga akhir hayat.




Dalam masa yang sama, caregiver atau penjaga pesakit pula memikul beban yang tidak terlihat. Mereka bukan sahaja menguruskan pesakit, tetapi juga mengurus emosi sendiri. 

Keletihan, tekanan dan rasa keseorangan menjadi rutin harian. Kadangkala apabila mengalami keletihan melampau atau burnt out mereka juga turut mengalami kemurungan.

Sangat menyedihkan, sokongan kepada caregiver masih sangat terhad dan tidak meluas. Adakalanya mereka terpaksa berjuang dalam keadaan yang serba kekurangan (tanpa bantuan) dan kurang pengetahuan. 

Sudah tiba masanya kita ubah cara kita melihat kesihatan mental. Kita perlukan pendekatan yang lebih menyeluruh, bukan hanya rawatan di hospital, tetapi juga intervensi pada peringkat komuniti setempat dan masyarakat keseluruhannya. 

Dalam hal ini, sokongan psikososial, pusat komuniti, bantuan kepada caregiver, serta pendidikan kepada masyarakat untuk memahami penyakit mental dengan lebih baik adalah sangat penting.

Maka, peranan agensi seperti Kementerian Kesihatan Malaysia yang menjadi tulang belakang kesihatan mental di negara kita perlu dibantu. 

KKM  tidak boleh berdiri sendiri. Ia perlu digerakkan bersama dengan kementerian yang berkaitan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, NGO, komuniti setempat dan masyarakat umum.

Kesihatan mental bukan isu individu. Ia isu kita bersama. Juga isu kesejahteraan negara. 

Tidak dinafikan selagi kita masih melihat pesakit mental sebagai tanggungjawab hospital semata-mata, selagi itu kita akan terus gagal memahami keperluan sebenar mereka.

Kerana hakikatnya, penyembuhan tidak berlaku hanya di hospital dalam jagaan dan pemantauan doktor, pakar psikiatrik, jururawat dan dengan pengambilan ubat semata-mata. 



Penyembuhan boleh dilakukan di rumah  dengan bantuan keluarga, masyarakat yang prihatin dan dengan kempen "mental awareness" yang berkesan .

Paling penting penulis percaya penyembuhan boleh dilakukan apabila seseorang pesakit itu tidak lagi merasa keseorangan. Dia merasa didekati, ada yang ambil tahu masalah mereka dan terasa disayangi. 

Namun realitinya mereka masih dipinggir sebagai " insan" yang sering ditakuti dengan pelbagai persepsi yang salah dan negatif.

Dengan bantuan beberapa pihak dan sikap proaktif agensi yang berkaitan, insya-Allah negara mungkin dapat mengurangkan statistik pesakit mental dan membawa mereka kembali kepada masyarakat dengan semangat baharu. Penulis yakin kesihatan mental bukan sekadar isu perubatan tetapi ianya adalah isu kemanusiaan yang sering terlepas pandang, Justru, selagi sistem tidak memahami realiti ini, perjuangan ini belum selesai. - KitaReporters

17
10
0
10
0

Copy Link: