Ibadah korban sering dianggap satu yang di luar kemampuan dengan harga satu bahagian lembu mencecah RM750 sehingga RM900 bergantung kepada saiz seekor lembu.


 


 

Namun jika niat korban dimulakan dengan menabung setiap bulan serendah RM75 sebulan, ia adalah sesuatu yang tidak mustahil direalisasikan. Tambahan lagi, amalan menabung untuk melakukan ibadah korban ini tidak mustahil boleh dilakukan saban tahun. 

Amalan menabung RM75 setiap bulan untuk tujuan ibadah korban ini ternyata menjadi kenyataan apabila direalisasikan oleh 21 orang anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat pada tahun 2025. 

Penulis rasa ini adalah inisiatif yang sangat bagus dan boleh menjadi ikutan orang ramai yang lain terutama sekali dalam sebuah keluarga, institusi kejiranan mahupun majikan. 

Jika kita menabung RM75 sebulan selama 12 bulan iaitu setahun, sudah dapat RM900. Tahun ini, satu bahagian lembu bernilai minimum RM750. Sudah lebih daripada cukup untuk turut serta dalam ibadah korban. Lebihan duit itu boleh disimpan untuk korban tahun berikutnya.

Penulis sempat menghubungi Penolong Pegawai Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) IPD Segamat, Muhammad Fakhrul Razi Samad, 36, untuk meminta tip dan perkongsian mengenai usaha murni para anggota keselamatan ini. 

Menurut Fakhrul Razi, pihak IPD Segamat sangat berbangga dengan ketekunan dan komitmen bersungguh-sungguh 21 orang anggota berkenaan bagi melaksanakan ibadah korban pada 2025. Ini adalah bukti displin serta konsisten akan membuahkan hasil. 

Seramai 21 anggota tersebut melakukan tabungan sebanyak RM75 setiap bulan selama 10 bulan lalu bagi menyertai ibadah korban berkenaan di samping itu, pada tahun 2025 juga, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut mengurniakan seekor lembu lagi sempena Aidiladha. 

Pada tahun 2025 itu, sebanyak empat ekor lembu ditumbangkan dalam program yang bermula seawal pukul 6.30 pagi itu termasuk seekor lembu kurniaan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. 

Kesungguhan mereka ini harus dicontohi para anggota lain serta orang awam di luar sana. 

Program diadakan turut mendapat kerjasama BAKA IPD Segamat. Kerjasama pelbagai pihak seperti ini juga amat bagus diterapkan oleh agensi lain. 



Tambah Muhammad Fakhrul, inisiatif menabung itu harus dijadikan ikutan sebagai tanda teladan kepada ahli keluarga anggota bagi menyertai ibadah korban dan juga kepada waris untuk dicontohi. 

Daripada ibu bapa, anak-anak anggota polis ini dapat melihat sendiri amalan ibadah korban ini bukanlah sesuatu yang membebankan. 

Malah, ibadah korban adalah satu ibadah perkongsian rezeki dan korban wang ringgit kepada yang lebih memerlukan atas niat dan ke jalan Allah. Sikit-sikit lama-lama, dapat seekor lembu!

Mari menabung semua! Kita buat korban setiap tahun! - KitaReporters

 

13
14
0
9
0

Copy Link: