Rayuan dan rintihan seorang suami dalam sosial media yang isterinya koma sewaktu melancong ke Vietnam baru-baru ini diambil maklum dan menerima bantuan daripada pihak Kerajaan negeri Sabah.


 


Pihak Kerajaan Sabah berjanji akan membantu Rohanna Joseph, 34 yang kini berada dalam keadaan koma di Vietnam, dengan usaha membawa pulang mangsa ke tanah air secepat mungkin bagi mendapatkan rawatan lanjut. 

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim dalam perkongsian dalam Facebook miliknya berkata, beliau telah mengadakan panggilan video bersama suami mangsa, Mohd Jamri Herry, 40, bagi mendapatkan perkembangan terkini keadaan isterinya. 

Beliau berkata, hasil perbincangan itu mendapati mangsa masih belum sedarkan diri dan memerlukan pemantauan rapi. 

“Ketua Menteri telah mengarahkan Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) untuk segera menyantuni mangsa serta suaminya sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan rakyat Sabah di luar negara. 

“Penyelarasan turut melibatkan keperluan perubatan khas serta pengiring pakar sepanjang penerbangan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan mangsa. 

“Dengan mengambil kira keadaan kesihatan semasa, penerbangan pulang dijadualkan pada 30 April 2026,” katanya. 

Azrul turut memohon orang ramai mendoakan agar segala urusan dipermudahkan dan Rohanna diberikan kesembuhan. 

Sementara itu, Pengarah YKS, Datuk Diyanah Abdullah juga memaklumkan beliau telah menghubungi suami mangsa bagi menyelaras segala keperluan termasuk proses membawa pulang pesakit ke Kota Kinabalu.  


 

Kredit foto: Sabah Media


Sebelum ini pada Sabtu, 25 April 2026,  Mohd Jamri merayu mana-mana pihak untuk membantu membawa pulang isterinya yang koma selepas mengalami pendarahan otak ketika bercuti di Vietnam. 

Dalam satu rayuan dalam media sosial berkata, ketika mereka suami isteri dalam persiapan pulang ke Sabah selepas bercuti di Vietnam, isterinya, Rohanna Joseph diserang strok dan dibawa ke hospital di Vietnam.

"Isteri saya berada dalam keadaan koma sejak dari 21 April 2026 (Selasa) sehingga kini 25 April 2026 (Sabtu) kerana mempunyai pendarahan pada bahagian otak. 

“Dengan rasa rendah diri, saya memohon bantuan semua rakyat Malaysia untuk menghulurkan bantuan bagi membawa pulang isteri saya ke Malaysia. 

“Kos bagi membawa isteri saya dianggarkan USD$5,000 (RM19,180) tidak termasuk penerbangan dan saya tidak mempunyai dana yang mencukupi,” kongsinya.


 


Penulis terbaca dalam satu hantaran daripada sahabat suami isteri ini bahawa mereka merayu agar bantuan dihulurkan memandangkan pasangan ini mahu kembali ke tanah air kerana mempunyai dua anak kecil perempuan yang sedang  menanti di Malaysia. 

“Jika tidak dapat berkongsi walau RM1 pun, bantu untuk repost dan reshare post ini semoga urusan mereka dipermudahkan dan diberikan keajaiban buat isterinya, Ruhana binti Joseph,” kata rakannya itu.



Kesian ya bila kita baca kisah-kisah sebegini. 

Pada penulis sendiri, ini bukanlah satu kisah yang pertama kali berlaku tetapi sudah beberapa kisah sebelum ini kita baca. 

Jadi kepada rakyat Malaysia yang lain, sediakanlah payung sebelum hujan. Jika mahu melancong ke luar negara, ambillah insurans perjalanan ke luar negara dan perubatan. Mungkin mahal sedikit nilainya namun malang tidak berbau. Tidak salah membuat perancangan awal. 

Kita sama-sama doakan semoga urusan kedua suami isteri ini dipermudah dan dapat kembali ke Malaysia secepat mungkin serta diberikan kekuatan dan kesembuhan untuk sihat walafiat semula. Amin!! - KitaReporters

13
14
0
10
0

Copy Link: