Diari Mama Masscom| Caregiver beraya dalam pengorbanan! Kunjungi mereka dengan empati dan simpati!
Published byBila sebut mengenai sambutan hari raya, kebanyakan orang akan membayangkan rumah yang meriah, lauk pauk yang penuh di meja, sanak saudara datang beraya dan gelak tawa memenuhi ruang tamu. Mereka berbincang nak beraya di rumah siapa dulu, nak konvoi ke mana dan sebagainya.

Tetapi bagi mereka yang menjadi penjaga kepada pesakit yang sedang menderita sakit seperti, pesakit mental, anak yang sakit kronik, suami terlantar atau ibu bapa uzur, hari raya bagi mereka sangat berbeza.
Mereka tak sempat nak hias rumah, memasak rendang dan ketupat serta buat kuih muih, Mereka sibuk memikirkan siapa yang hendak menjaga pesakit jika mereka nak keluar beraya walaupun sekejap.
Ada caregiver yang bagi tahu penulis: “Raya ni saya tak sempat pun nak masak apa-apa. Nak urus orang sakit pun dah penat.”
Ada juga yang cakap "teringin nak jalan raya tapi tak ada siapa nak jaga yang sakit ni". Ada juga yang cuba memasak sedikit sahaja. Bukan kerana ada tetamu, tetapi sekadar mahu merasakan suasana "hari raya” walaupun hanya makan berdua di rumah.

Hakikatnya, hari raya bagi caregiver sering datang bersama keletihan emosi dan rasa sedih yang mereka sorokkan.
Bagi mereka yang ada anak atau keluarga yang sakit mental seperti penulis, hari raya jarang datang dengan kemeriahan sebab pesakit mental misalnya sangat bergantung kepada mood mereka. Ada hari mereka ceria, ada hari mereka murung, marah atau langsung tidak mahu berjumpa orang.
Keadaan ini membuatkan ramai caregiver memilih untuk tidak pergi beraya ke mana-mana. Kalau pun nak keluar sebentar hanya di tempat yang tidak jauh dari rumah.
Mereka ini bukan kerana tidak mahu bersosial dan tidak ingin merasakan suasana hari raya. Tetapi mereka lebih menjaga kestabilan emosi pesakit yang sukar diramalkan.
Ada caregiver yang menyambut raya dalam keadaan hati yang berat. Ketika orang lain bergembira memakai baju raya dan mengambil gambar keluarga, mereka sedang memastikan ubat pesakit dimakan tepat waktunya. Mereka juga memastikan pesakit dijaga dengan baik dan tidak mengalami tekanan, serta memastikan suasana rumah kekal tenang.
Bagi mereka, hari raya bukan lagi tentang kemeriahan, dan hari bertemu sanak saudara, tetapi hari raya adalah tentang kesabaran, pengorbanan dan kasih sayang yang tidak pernah habis untuk pesakit yang mereka jaga dan rawat. Tiap hari yang berlalu tetap sama dengan tugas dan tanggungjawab yang mereka galas.

Dalam hal ini, masyarakat jarang melihat pengorbanan yang dilakukan oleh caregiver ini. Kadang kita hanya nampak rumah yang tak ceria dan sunyi sepi, tetapi kita tidak dapat menyelami hati yang kuat di dalamnya dan rasa kesedihan yang mereka tanggung.
Sebenarnya caregiver juga manusia biasa. Mereka juga rindu suasana raya seperti orang lain. Mereka juga mahu ketawa, berkumpul dengan keluarga dan menikmati hari raya tanpa beban, tetapi mereka tiada pilihan.
Bagi mereka, melihat orang sakit yang dijaga tenang dan selamat ini sudah cukup menjadikan hari raya mereka penuh makna.
Mungkin sudah tiba masanya masyarakat lebih memahami kehidupan caregiver. Bagi yang tidak dapat berkunjung ke rumah orang yang menjaga pesakit, satu panggilan telefon, atau sekadar bertanya khabar boleh memberi makna besar kepada mereka.
Sebaliknya bagi mereka yang ingin berkunjung ke rumah yang ada pesakit pula, saya berikan sedikit panduan untuk melawat pesakit dan penjaga pesakit ketika hari raya.
Antaranya datanglah dengan membawa sedikit makanan atau buah tangan yang boleh menggembirakan mereka. Sebab caregiver adakalanya tak sempat memasak kerana kesibukan menjaga pesakit.
Kalau datang bertandang jangan terlalu lama, sampai pesakit gelisah dan caregiver keletihan. Sebab caregiver perlu uruskan si sakit dan tetamu yang terlalu lama membuatkan penjaga pesakit rasa serba salah.
Ketika bertandang ke rumah pesakit, jagalah tingkah laku, jaga suara jangan terlalu bising dengan gelak ketawa dan kemeriahan melampau.
Rumah yang ada orang sakit bukan seperti rumah biasa sebab pesakit ada macam-macam karenah dan perlukan ketenangan. Yang ada pesakit mental biasanya keadaan bising boleh trigger pesakit atau menyebabkan penyakit mereka datang tiba-tiba.

Apapun yang paling penting jangan datang atau berkunjung masa hari raya ini hanya untuk cukupkan adat ziarah pada hari raya sahaja sebaliknya datanglah dengan perasaan empati dan simpati, fahami keadaan rumah yang ada pesakit.
Bagi penjaga pesakit, setiap hari adalah perjuangan dan hari raya hanyalah hari biasa yang mereka cuba “rasakan” seperti hari istimewa.
Kehadiran ringkas tetamu tapi penuh ihsan, sudah cukup untuk menjadi hadiah hari raya paling bermakna untuk mereka. - KitaReporters

