Jangan ikut sahaja. Jaga juga batas agama. Usah diberi muka. Buat apapun tak apa. Perlu kawal ke mana juga.
Bila salah tegur segera. Ambil masa dekati mereka. Tanya khabar, kongsi rasa. Gali apa masalah mereka. Atau cukupkah layanan kita.
Sudah tahu apa topik kita hari ini?

Ya masih dalam suasana keluarga. Satu famili menikmati kualiti masa bersama. Tak cukup ketawa, bergurau senda. Alhamdulillah sangat bahagia.
Sayang tak bermakna boleh pejam mata semua perkara yang tak betul. Batas pergaulan dengan anak perempuan perlu dijaga. Sentuhan, pakaian, tingkah laku dan aurat harus manis pada mata.
Juga anak lelaki hormat pada ahli keluarga perempuan dalam rumah. Jangan melampau batas walau halal.
Ada hikmah duduk di rumah ini. Yang selama ini kita tak nampak, kongsi Sham dalam mesejnya kepada saya.
"Selama ini, kami sekeluarga hanya berjumpa di rumah waktu makan dan menonton TV, itupun jika terserempak.
"Selebihnya masing masing buat hal sendiri. Tak berkurung dalam bilik, bermain telefon. Tapi syukur, keadaan merubah semua itu. Suami buat peraturan. " kata Sham.
Siang hari ada masa ditetapkan untuk bermain telefon. Masa lain, gotong royong buat kerja rumah. Semua kena tolong. Selain fokus pada pelajaran dan bermain.
Dan buat kali pertama, kata Sham, dia melihat dua anak remaja lelaki dan dua anak remaja perempuannya berganding bahu buat kerja. Satu suasana yang sangat menyentuh hati.
Suami juga yang buat jadual. Anak perempuan bantu mak. Anak lelaki tolong abah. Tak ada yang merungut, membantah. Semua patuh.

Dua minggu semuanya berjalan lancar. Sangat berkesan. Pintu pagar di cat baharu. Pokok ditrim kemas. Porch dicuci bersih. Rak buku disusun kemas. Itu kerja anak teruna.
Adak dara pula? Sudah tentu di dapur. Belajar memasak. Kalau selama ini duduk makan sahaja, dua minggu ini sudah pandai memasak. Walau yang ringan, sudah tahu buat kari, masak lemak cili api dan buat sambal tumis. Berkat asuhan mak yang mula berkeras.
Mereka sudah kenal rempah ratus dan ulam-ulaman. Syukur kata Sham anak-anaknya tidak mmemberontak. Malah selepas makan malam mereka boleh sama sama duduk lipat baju sambil menonton TV.
Sesuatu yang semua orang dalam rumah langsung tak mahu ambil tahu sebelum ini.
"Sebelum ini, saya seorang yang bersilat nak siapkan semua kerja." ujar Sham
Ya Allah, betapa keputusan Sham dan suami memberi impak positif terhadap keluarga mereka. Setiap tugasan dibuat dengan patuh. Moga Allah kekalkan kasih sayang keluarga Sham sampai ke jannah.

Iktibar kisah ini:
Mendidik anak remaja pada zaman sekarang bukan perkara mudah. Perubahan emosi pada usia remaja sememangnya rapuh dan ibu bapa perlu lebih berhati-hati agar tidak tersalah langkah.
Ada sesetengah ibu bapa yang bertindak ingin menjadi rakan kepada anak remaja mereka. Tetapi jika tersalah langkah akan menjadi sebaliknya.
Tidak mudah apabila anda menghadapi sikap anak remaja dalam hidup, terutama yang gemar memberontak.
Kawal emosi dan bertenang. Walaupun rasa dicabar, jalan terbaik adalah berfikir dengan baik, dan elakkan daripada menggunakan emosi dan mengamuk kepada anak-anak.
Berrfikir secara rasional. Tunjukkan kepada mereka yang anda masih mempunyai kuasa terhadap diri mereka dan mempunyai hak untuk mengawal mereka.
Setiap tindakan mereka terima dengan positif. Balas dengan senyuman dan jangan marah tanpa usul periksa. Beli jiwa mereka dengan pujukan dan nasihat.
Kekuatan mental dan fizikal ibu bapa amat diperlukan agar anak-anak boleh menjadi insan yang berguna dan berjaya.
Mereka harta kita, anugerah Ilahi. - KitaReporters
