Tragedi berdarah! Seorang nelayan maut, 2 terselamat! 2 bot fiber berlanggar di muara Sungai Setiu!
Published by
KitaReporters
--title--
Seorang nelayan maut dan dua lagi nelayan terselamat apabila bot mereka berlanggar dari arah bertentangan di muka muara Sungai Setiu di Kampung Mangkok, Setiu, Terengganu pada 4 April 2026.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6.15 pagi, mangsa yang bernama, Mohd Adli Zakaria, 53, dari Kampung Baru Penarik, Setiu meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala dua nelayan yang selamat ialah Tengku Anuar Tengku Mohamad, 55, juga dari Kampung Baru Penarik dan Anuar Che Karim, 60, yang tinggal di Kampung Mangkok.
Kejadian itu dipercayai berlaku ketika bot jenis fiber TRS 1697 yang dinaiki Mohd Adli dan Tengku Anuar datang dari Jeti Kampung Baharu Penarik untuk keluar ke laut menangkap udang.
Sementara bot juga jenis fiber yang dinaiki Anuar seorang diri dalam perjalanan pulang ke jetinya di Kampung Mangkok selepas mencadat sotong di laut.

MAYAT Mohd Adli Zakaria dibawa ke Hospital Setiu, Terengganu untuk dibedah siasat.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata sebaik tiba di tempat kejadian bot yang dipandu Tengku Anuar dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh bot Anuar yang datang arah bertentangan.
Katanya, akibat perlanggaran itu, mangsa Mohd Adli yang sedang berada di hadapan bot tercampak sebelum terjatuh di dalam botnya dan tidak sedarkan diri.
Manakala Tengku Anuar dan Anuar terselamat tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mohd Zain berkata, selepas kejadian itu Mohd Adli dibawa ke Hospital Setiu tetapi mangsa disahkan sudah meninggal dunia akibat dipercayai kecederaan serius di kepalanya.
Akibat kemalangan tersebut bot mangsa telah mengalami kerosakan di bahagian hadapan. - KitaReporters

BOT mangsa mengalami kerosakan di bahagian hadapan selepas kejadian di muka muara Sungai Setiu di Kampung Mangkok, Setiu, Terengganu pada 4 April 2026

Bot Fiber Anuar Che Karim selepas berlaku kemalangan di muka muara Sungai Setiu di Kampung Mangkok, Setiu, Terengganu pada 4 April 2026
10
14
0
10
0
