Diari Mama Masscom| Realiti pahit seorang caregiver! Ikhlas jaga namun dituduh dera, bunuh tanpa niat!
Published byPeranan caregiver atau penjaga pesakit dalam masyarakat sering dipandang sepi, walhal merekalah tulang belakang kepada penjagaan pesakit kronik di rumah.

Dalam diam, mereka memikul tanggungjawab besar, tanpa latihan formal, tanpa sokongan mencukupi, dan sering kali tanpa penghargaan. Namun mereka tetap menggalas tanggungjawab ini dengan penuh keikhlasan.
Baru-baru ini, penulis diberitahu mengenai satu kisah benar yang sangat menyentuh hati. Sepasang suami isteri mengambil tanggungjawab menjaga ibu yang diserang strok.
Dalam keadaan serba kekurangan dan tanpa bantuan ahli keluarga lain, termasuk suami wanita yang sakit strok berkenaan. Pasangan suami isteri ini menjalankan amanah yang diberi dengan penuh keikhlasan.
Di samping itu pasangan ini turut membesarkan anak anak mereka seramai tiga orang yang berusia antara dua hingga enam tahun. Hidup sangat sukar bagi mereka.
Namun, takdir bertukar tragedi apabila ibu tersebut terjatuh di rumah dan meninggal dunia beberapa hari kemudian. Lebih mengejutkan, hasil bedah siasat mendapati wujud unsur kecederaan yang ditafsir sebagai penderaan.
Akibatnya, pasangan ini bersama anak-anak mereka telah ditahan reman selama 13 hari dan disiasat di bawah kesalahan membunuh tanpa niat, iaitu di bawah Seksyen 304 (B) Kanun Keseksaan. Bayangkan jika anda dalam situasi begini apa yang anda fikir dan rasakan.

Situasi ini membuka persoalan besar sejauh mana sistem dan masyarakat benar-benar memahami realiti kehidupan seorang caregiver?
Sebenarnya menjaga pesakit strok atau terlantar bukan tugas mudah. Ini pengalaman peribadi penulis yang menjaga suami yang sakit stroke terlantar.
Risiko seperti jatuh, luka tekanan (bed sores), atau kecederaan fizikal adalah antara komplikasi biasa dalam penjagaan jangka panjang, walaupun dengan penjagaan rapi.
Namun, apabila insiden tidak diingini berlaku, seperti jatuh atau kematian yang tak disengajakan, caregiver sering menjadi pihak pertama yang dipersalah, dituduh, tanpa penelitian menyeluruh terhadap konteks sebenar yang berlaku.
Lebih membimbangkan, ramai caregiver sebenarnya:
- 1. Menjaga pesakit secara sepenuh masa tanpa latihan khusus
- 2. Berdepan tekanan fizikal dan emosi yang tinggi
- 3. Tidak menerima sokongan daripada ahli keluarga lain
- 4. Terdedah kepada risiko tindakan undang-undang
Sehubungan itu, isu ini menuntut perhatian serius semua pihak. Sudah tiba masanya pendekatan lebih menyeluruh diambil bagi melindungi kebajikan caregiver.
Antara langkah yang wajar dipertimbangkan:
- 1. Penyediaan latihan asas penjagaan pesakit di rumah
- 2. Sokongan psikososial secara berkala kepada caregiver
- 3. Bantuan kewangan atau elaun khas kepada penjaga sepenuh masa
- 4. Garis panduan jelas dalam siasatan kes melibatkan pesakit terlantar, agar tidak berlaku prejudis terhadap caregiver

Caregiver sebenarnya memainkan peranan penting dalam mengurangkan beban fasiliti kesihatan negara. Tanpa mereka, sistem kesihatan awam akan lebih terbeban di mana pihak hospital terpaksa menanggung ramai pesakit yang tidak dijaga ahli keluarga dan penjaga di rumah.
Justeru dalam hal ini, masyarakat perlu lebih empati dan erlu mengubah persepsi terhadap caregiver yang telah dengan relanya mengambil tanggungjawab menjaga mereka yang sakit.
Daripada terus menghukum, adalah lebih wajar untuk memahami tekanan dan cabaran yang dihadapi caregiver setiap hari. Empati, sokongan, dan keprihatinan komuniti amat penting bagi memastikan golongan ini tidak terus terpinggir atau menjadi mangsa salah faham.
Apa yang ingin penulis sampaikan ialah kisah ini bukan sekadar satu kes terpencil, tetapi cerminan realiti yang mungkin dihadapi ramai caregiver di luar sana.
Mungkin banyak lagi kes-kes yang tidak diketengahkan dan tidak diceritakan pada masyarakat. Mereka terpaksa menerima takdir yang tertulis dalam hidup mereka dengan keadaan yang sangat menyedihkan dan jiwa yang sangat tertekan
Menjadi caregiver adalah satu amanah besar. Namun, tanpa sokongan dan kefahaman yang sewajarnya, keikhlasan itu boleh disalah tafsir malah membawa kepada implikasi undang-undang yang berat.
Sudah tiba masanya kita melihat caregiver bukan sebagai suspek, tetapi sebagai insan yang perlu dilindungi. - KitaReporters
