Wan Ahmad Nabil memungut sampah dari rumah penduduk yang menggunakan perkhidmatannya. - Kredit foto: Speed Media


KEKANGAN hidup kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana pandemik Covid-19 mendorong seorang pemuda untuk mengikis sifat malu kerana melakukan kerja yang mungkin tidak sanggup dibuat oleh orang lain.

Demi kelangsungan hidup khusus bagi membalas jasa bagi menjaga kedua-dua ibu bapa serta empat adik- beradiknya, Wan Ahmad Nabil, 30, mengenepikan pandangan serong penduduk apabila melakukan kerja memungut sampah sepenuh masa sejak hujung tahun lalu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sampah


Sebelum itu beliau bekerja sebagai tukang urut tradisional sejak berusia 18 tahun dan dikenali ramai di Kampung Kutan Sungai, Pasir Pekan, Kelantan, tidak pernah terfikir untuk melakukan kerja berkenaan tetapi demi membela nasib keluarga, semua sifat malu terpaksa dibuang asalkan dapat mencari rezeki halal.

Ketika PKP mula dikuatkuasakan saya sukar meneruskan kerja sebagai tukang urut apabila Prosedur Operasi Standard (SOP) pandemik Covid-19 diperketatkan menyebabkan punca pendapatan hilang terus dan fikiran menjadi buntu apabila salah seorang adik diberhentikan kerja.


Wan Ahmad membuang sifat malu demi kelangsungan hidup bersama keluarga.


“Bagi menyara keluarga, pada peringkat awal saya bercadang berniaga minuman tetapi memandangkan situasi PKP mungkin sukar pula mendapat pelanggan sebelum nekad melakukan kerja memungut sampah ini.

”Apabila sudah sampai tahap punca pendapatan hilang terus, saya tidak perlu lagi berasa rendah diri serta malu asalkan kerja ini halal selain tidak mahu menagih simpati daripada orang lain atau menunggu bantuan sampai,” kata Wan Ahmad.


Perkhidmatan yang diberikan Wan Ahmad menyenangkan penduduk membuang sampah.


Beliau berkata, dia terpaksa berfikir secara positif, menebalkan muka dengan bertanya jiran tetangga dari rumah ke rumah sekitar kampung jika ada sampah yang hendah dibuang ke dalam tong sampah yang disediakan majlis daerah.

Menurutnya, sesetengah penduduk yang tinggal agak jauh ke dalam kampung terutama warga emas agak sukar untuk keluar membuang sampah ke dalam tong yang ditempatkan di tepi jalan besar, jadi Wan Ahmad mengenakan sedikit upah untuk mengangkutnya.

Wan Ahmad berkata, dia berasa bersyukur apabila kerja baharu itu mendapat sokongan dan kerjasama daripada penduduk kampung yang dikunjunginya terutama penghulu kampung beliau Abdul Rahman yang turut memberi sumbangan motosikal roda tiga bagi memudahkan mengangkut sampah.


Wan Ahmad turut gembira kerja baharunya itu turut mendapat sokongan penghulu kampung yang menyumbangkan motosikal roda tiga.


Mengenai upah bulanan, beliau hanya mengenakan bayaran hanya RM30 sebulan dan akan datang untuk memungut sampah selang sehari. Manakala bagi rumah penduduk di luar kawasan kampungnya, upah dinaikkan sedikit. 

Beliau berkata, ketika kampungnya dikenakan PKP Diperketatkan (PKPD) menyebabkan pergerakannya untuk mengangkut sampah termasuk dari rumah-ruamh penduduk seperti di Kampung Kutan Tengah, Kampung Kutan Hilir dan Kampung Kutan Hulu terhalang, pendapatan pun terjejas baru-baru ini.


Wan Ahmad berharap dapat memberikan perkhidmatan itu kepada penduduk di kampung berdekatan seperti Pasir Pekan.


"Demi kesejahteraan kesihatan semua penduduk saya terpaksa bersabar seketika dan berharap selepas ini akan mendapat lebih ramai penduduk menggunakan perkhidmatan memungut sampah ini termasuk mereka yang tinggal sekitar Pasir Pekan.

“Perkhidmatan memungut sampah saya ini bukan sahaja meringankan bebanan penduduk untuk membuang sampah tetapi secara tidak langsung juga membantu pihak berkuasa tempatan mengekalkan suasana bersih dan nyaman dalam kampung,” katanya.

Bagi penduduk yang berminat menggunakan khidmat memungut sampah Wan Ahmad, boleh menghubungi beliau menerusi nombor telefon  017 946 9285. - KitaReporters


Perkhidmatan memungut sampah oleh Wan Ahmad turut menceriakan suasana kampung.

__________________________________________________

16
2
5
0
0

Copy Link: