SIKAP berani dan prihatin Mohamad Najmi Daud, seorang orang kelainan upaya (OKU) sanggup terjun ke sungai untuk berusaha menyelamatkan mangsa yang terjatuh ketika menjala ikan di Kompleks Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besut, Terengganu, mendapat sanjungan orang ramai. : KitaReporters

Awei sedang menarik mayat mangsa lepas untuk diangkat ke atas bot


Mohamad Najmi, 31, atau lebih terkenal dengan panggilan Awie dari Kampung Timor, Kuala Besut walaupun tidak sempurna seperti orang lain tetapi sanggup bertarung nyawa untuk menyelamatkan insan lain yang menimpa musibah. 

Kejadian berlaku ketika seorang buruh dipercayai terjatuh ketika menjala ikan. Awie terjun untuk menyelamatkan mangsa. 

Bagaimanapun usaha Awie tidak kesampaian apabila mangsa, Azman Che Mat, 45, dari Kampung Bukit Mas, Tanah Merah, Kelantan hilang sejurus terjatuh ke dalam sungai.

Mangsa lemas Azman Che Mat dari Tanah Merah, Kelantan


Awie yang digelar pakar menyelam bagaimanapun menemui mayat mangsa  pada 5.30 petang pada 9 Oktober 2020 lalu.

Usaha Awie yang menemui mayat mangsa sebelum pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian mendapat pujian dan penghargaan orang ramai.

Tular dalam media sosial ramai netizen mengangkat beliau sebagai “hero” kerana berjaya menemukan mayat mangsa lemas.

Mohamad Nazmi Daud atau terkenal dengan Awie digelar hero oleh netizen kerana berani menyelam mencari mangsa yang lemas.


Awie OKU pakar menyelam


Awie dikatakan mahir menyelam dan khidmatnya sering digunakan untuk membantu mencari mangsa yang lemas di daerah Besut.

Menurut Awie, dia memberanikan diri terjun untuk mencari mangsa kerana pernah beberapa kali mencari benda hilang di dasar sungai itu.

"Pada mulanya saya mencari sekitar bawah jeti, tetapi tidak jumpa dan mencari di tempat mangsa terjatuh sebelum terpegang lengannya dan angkat mayatnya naik ke atas dengan bantuan anggota bomba," katanya.


Isteri mangsa, Noraini Mohd Nor, 44, berkata dia dan suami datang dari Tanah Merah, Kelantan ke jeti berkenaan kira-kira 9 pagi untuk membeli ikan.

"Sejak kami berkahwin pada Ogos lalu, suami akan membawa bersama jala untuk menjala ikan setiap kali diajak ke sini.

"Ketika kejadian, saya pergi menyimpan ikan di kereta sebelum melihat orang ramai riuh di jeti memaklumkan terdengar bunyi benda jatuh.

"Pada masa itu, saya menyedari suami terjatuh sungai selepas melihat ada sebelah seliparnya dan jala di tempat dia menjala," katanya. 

Isteri mangsa lemas Noraini Mohd Nor ketika menunggu mayat mangsa di Jeti Kuala Besut


Menurutnya, suaminya sudah membuat persiapan untuk menjala ikan dengan membaiki jala yang rosak sejak malam semalam.

Katanya, suaminya menjala sekadar hobi sahaja dan mereka sebenarnya bercadang mahu pulang selepas selesai menjala kira-kira 3.30 petang.

Tular dalam media sosial memuji keberanian Awei


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut, Mohamad Jusoh berkata, mayat mangsa ditemui di kedalaman tiga meter di dasar sungai. 

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut bagi tindakan lanjut.  - KitaReporters

79
12
9
4
5

Copy Link: