Makna Arafah, 9 Zulhijah! Wukuf, mustajab doa, keampunan, kesabaran! Pengalaman tak mungkin dilupakan!

Published by
KitaReporters

Arafah akan tetap menjadi kenangan yang sukar dilupakan bagi sesiapa sahaja yang pernah berada di sana apabila tibanya hari wukuf.


Suasana suatu ketika dahulu menjelangnya wukuf di Arafah.

Padang Arafah adalah sebuah dataran luas sekitar 25 kilometer dari Mekah,10 kilometer dari Mina dan 6 kilometer dari Muzdalifah. Di sinilah kemuncaknya wukuf apabila tibanya 9 Zulhijjah saban tahun.

Tahun 2026 tanggal 9 Zulhijah adalah pada Selasa 26 Mei 2026 di mana jemaah haji melakukan wukuf di Padang Aràfah.

Malah ia dianggap sebagai salah satu waktu paling mustajab untuk berdoa serta dianjurkan bagi umat Islam yang tidak menunaikan ibadah haji untuk berpuasa sunat.

Bagi jemaah haji yang berada di Padang Arafah ia merupakan kemuncak haji. Jutaan jemaah haji berkumpul di Padang Arafah untuk melaksanakan wukuf, iaitu berada di sana sejak tergelincir matahari hingga terbenam.

Hadis riwayat Tirmidzi dan Nasai ada menyebut Rasulullah S.A.W. bersabda: "Haji itu adalah Arafah". Wukuf di Arafah juga merupakan saat paling mustajab untuk berdoa.

Malah bagi umat Islam yang tidak menunaikan haji, puasa Arafah amat digalakkan seperti mana hadis riwayat Muslim yang membawa maksud, Rasulullah S.A.W .pernah bersabda "Puasa pada hari Arafah, aku berharap kepada Allah agar menghapus dosa tahun sebelumnya dan tahun selepasnya."


Berdoa tetap tidak dilupakan kerana ia adalah salah satu tempat mustajabnya doa.

Pengalaman penulis ketika berwukuf di Padang Arafah kira-kira 10 tahun yang lalu sememangnya pengalaman yang memerlukan banyak kesabaran.

Dengan hanya beralaskan karpet dan tikar berhimpit-himpit bersama jemaah-jemaah haji lain di atas tanah yang gersang. Lebih perit lagi apabila ingin ke tandas. Terpaksa beratur panjang menanti giliran.

Sesekali melangkah ke khemah sebelah yang dihuni oleh jemaah dari Thailand serta berjiran dengan jemaah dari Brunei dan Indonesia.

Alhamdulillah satu tekad, tutur yang sama saling tolak ansur walaupun berlainan negara. Allah permudah cara antara satu sama lain.

Pengalaman yang amat mahal ini adalah realiti yang ditempuhi selain dari cabaran melontar tiga jamrah, bermalam di Muzdalifah dan Mina serta mengumpul anak batu untuk jamrah tatkala itu.

"Labbaikallah huummalabbaik, labbaikalah sharikalahkalabbaik, innalhamda, waniaqmata lakawalmuk,lasharikalah" tetap menjadi laungan keramat yang tidak dapat dilupakan sehingga menjelangnya Aidiladha 2026 ini. - KitaReporters


Suasana yang pelbagai suatu ketika dahulu semasa wukuf di Arafah.

14
15
0
14
0

Copy Link: