Dilema Ibu-ibu BDR! Bahagi-bahagi masa jadi ibu, isteri, suri rumah dan tambah pendapatan keluarga!

Published by
KitaReporters

 

Budaya Work From Home (Bekerja Dari Rumah ataui BDR) bukanlah sesuatu yang asing kepada rakyat Malaysia terutama sekali sejak wabak Covid-19 berleluasa pada tahun 2020.



Sejak itu, amalan bekerja dari rumah ini telah menjadi pilihan kepada majikan bagi menjimatkan kos dan memberi kelonggaran kepada para pekerja yang mempunyai kekangan untuk berada di pejabat setiap waktu. 

Bagi para wanita yang sudah berumah tangga dan menjadi ibu pada zaman serba mencabar ini, menambahkan pendapatan keluarga telah menjadi satu keperluan bagi membantu para suami mengukuhkan lagi kewangan keluarga. 

Dilema bagi ibu-ibu ini, bekerja dari rumah menjadi salah satu pilihan dalam pada yang sama menguruskan anak-anak serta hal rumah tangga yang hakiki seperti memasak, membasuh dan mengemas dalam masa yang sama menjalankan pekerjaan sampingan yang semuanya dilakukan di dalam rumah.


 


Secara psikologinya, keadaan ini memberi tekanan yang tinggi kepada ibu tersebut di mana segalanya berada di hadapan mata yang perlu dilaksanakan pada satu masa yang sama. 

Sebagai contoh, ibu yang menjalankan perniagaan menjual makanan dari rumah perlu membeli bahan mentah dan melakukan persiapan bahan-bahan mentah ini bermula pada waktu malam, untuk dimasak pada awal pagi dan menghantar pesanan makanan tersebut kepada pelanggan selepas itu. 

pada masa yang sama, pada waktu pagi ibu-ibu ini perlu membuat persiapan persekolahan anak dan juga menyiapkan sarapan seisi keluarga. 

Bayangkan bagaimana ibu-ibu ini menyusun jadual kerjanya dengan perlu membahagikan masa antara kerja sampingan jualan makanan dan persiapan anak-anak serta suami pada waktu pagi. 

Setelah selesai semuanya pagi tersebut, si ibu pula perlu membasuh pakaian dan memerah idea untuk menu masakan tengah hari apabila anak-anak pulang dari sekolah. 

Selain itu, si ibu sudah tentu juga mempunyai senarai barangan yang perlu dibeli bagi jualan untuk keesokan harinya.

 empat juga si ibu menghembus nafas hela sejenak apabila anak-anak serta suami sudah keluar ke sekolah dan ke tempat kerja. Pulangnya anak-anak pada waktu tengah hari, si ibu yang perlu menjemput mereka dari sekolah dan kembali ke rumah. 

Anak-anak menikmati makanan tengah hari air tangan ibu mereka dan selepas itu, bersedia untuk sekolah atau kelas tambahan pada sesi petang. Sekali lagi si ibu keluar dari rumah untuk menghantar mereka dan terus ke pasar raya untuk membeli barang jualan. 

Tidak berakhir di situ, si ibu memikirkan menu makan malam pula dan membuat persediaan memasak untuk menu makan malam. Tidak lupa juga baju diampaian perlu diangkat, dilipat dan disusun. 

Begitulah padatnya jadual seorang ibu yang bekerja dari rumah. Lelah dan keringatnya tidak pernah berhenti sepanjang hari. 



Bagi penulis, para ibu ini layak untuk diberikan ruang untuk Me-Time di mana mereka dapat keluar bersiar bersama rakan-rakan mungkin seminggu sekali dan tugasan di rumah diambil alih suami seketika. Mungkin dapat menghirup segelas kopi dan sepotong kek bagi meleraikan lelah yang ada saban hari. 

Para ibu yang bekerja dari rumah memerlukan support system atau sistem sokongan yang jitu daripada para suami serta anak-anak bagi mengelakkan mereka burnout (keletihan melampau) atau didefinisikan sebagai satu keadaan di mana seseorang individu itu mengalami keletihan secara fizikal mahupun secara psikologikal yang disebabkan oleh pekerjaan atau kehidupan individu tersebut. 

Mereka juga memerlukan waktu rehat dari semua kerja hakiki di rumah sekitar satu atau dua jam sehari selain waktu tidur.

Ini bagi memberikan peluang sang isteri dan ibu sedikit ruang mengumpul semua tenaga dan merehatkan minda sebelum menghadapi hari keesokannya. 

Benarlah bahawasanya dilema ibu-ibu yang bekerja dari rumah ini lebih berat dari ke pejabat kerana segala kerja rumah berada di hadapan mata setiap masa. - KitaReporters


8
13
0
11
0

Copy Link: