Syawal bukan sekadar meraikan kemenangan dengan sambutan Aidilfitri tetapi dalam masa sama juga dapat memupuk semangat persaudaraan dalam kalangan penduduk setempat dengan cara tersendiri.


Penduduk mula memasuki ruang tanah perkuburan untuk hadiri Majlis Tahlil Perdana yang diadakan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pandan Dua


Selain ziarah menziarahi keluarga dan jiran tetangga, majlis tahlil juga secara tidak langsung mencerminkan semangat kebersamaan masyarakat setempat dalam mengimarahkan Syawal.


Mengamimkan doa yang dibaca oleh Imam 2, Jalal Abas


Ini dibuktikan apabila hampir 500 penduduk menghadiri Majlis Tahlil Perdana anjuran Masjid Kariah Kampung Pandan Dua yang diadakan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pandan Dua di sini, sejurus selepas solat sunat Aidilfitri pada 21 Mac 2026.

Program diadakan antara lain sebagai mengenang dan mendoakan mereka yang telah kembali ke rahmatullah.


Dari kiri, Dato Ismail Ibrahim, Abdul Radzi Ahmad dan Jalal Abas ketika ditemu bual oleh TV3


Imam 1 yang juga bekas Ketua Kampung, Abdul Radzi Ahmad berkata, tanah perkuburan itu mula dibuka pada tahun 1986, selari dengan pembinaan masjid,  jumlah penduduk ketika itu tidak melebihi 500 orang.

Menurutnya, kini penduduk semakin bertambah dengan pertumbuhan pesat melalui pembangunan kawasan perumahan, maka penganjuran program seumpama ini akan dapat mengukuhkan hubungan komuniti.

“Tahlil Perdana ini merupakan amalan tradisi yang pernah dilaksanakan sebelum ini, namun terhenti akibat pandemik COVID-19. Kini ia dihidupkan semula hasil kesepakatan penduduk,” katanya.


Mohamad Sabri Azhari


Seorang penduduk, Mohamad Sabri Azhari pula berkata, program seumpama itu tidak lain pastinya bertujuan mendoakan dan memohon keampunan untuk arwah-arwah serta mengingatkan diri sendiri akan kematian dan akhirat.

"Selain itu, hubungan silaturahim antara keluarga dan masyarakat setempat juga dapat dipererat lagi selain sama-sama memberi peluang saling berdoakan secara beramai-ramai dengan penuh keinsafan," katanya.

"Program ini juga secara tidak langsung dapat mengeratkan ukhwah penduduk, mengingatkan akan kematian, serta membudayakan amalan bersedekah dan berdoa bersama-sama semasa menyambut lebaran," jelasnya.


Penduduk menziarahi pusara ahli keluarga usai solat sunat Aidilfitri dan menyertai Majlis Tahlil Perdana.

Bersama kita mendoakan insan yang sudah berpulang kepada Sang Pencipta. Semoga mereka ditempatkan di sisi orang yang beriman dan beramal soleh.

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1447H/2026M. - KitaReporter

13
9
0
19
0

Copy Link: