Hati-hati penipuan badal haji, umrah dan korban murah! Peringatan Persatuan Pelajar Malaysia Mekah!
Published by
KitaReporters
--title--
Persatuan Pelajar Malaysia Mekah (PPMM) tampil mengeluarkan kenyataan rasmi bagi memberi peringatan kepada umat Islam khususnya rakyat Malaysia agar lebih berhati-hati terhadap tawaran pelaksanaan badal haji, umrah, korban, akikah dan agihan makanan yang ditawarkan pada harga terlalu murah oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Yang Dipertua PPMM sesi 2025/2026, Muhammad Iqbal Nursalam itu susulan peningkatan kes penipuan berkaitan pelaksanaan ibadah berkenaan yang didakwa semakin membimbangkan di Arab Saudi.
Menurut beliau, terdapat pihak tertentu yang mendakwa menggunakan khidmat penduduk tempatan atau petugas haji yang memiliki pas khas untuk melaksanakan badal haji di Arafah bagi pihak individu tertentu.
Bagaimanapun, jelasnya, dakwaan tersebut sebenarnya bertentangan dengan peraturan semasa yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi.
“Untuk makluman, peraturan terkini menetapkan bahawa petugas haji semasa bertugas tidak dibenarkan mengenakan kain ihram dan tidak dibenarkan memasuki Masjidil Haram dalam keadaan berihram.
“Sekiranya mereka didapati melanggar peraturan ini, mereka boleh dikenakan tindakan seperti denda atau dihantar pulang oleh pihak berkuasa Arab Saudi,” katanya dalam kenyataan rasmi bertarikh 7 Mei 2026.
Sehubungan itu, PPMM menegaskan bahawa pelajar Malaysia yang berada di kawasan Maekah Al-Mukarramah, Jeddah dan Taif tidak terlibat serta tidak mewakili mana mana pihak dalam sebarang aktiviti penipuan berkaitan badal haji, umrah, korban, akikah dan agihan makanan.

Dalam kenyataan sama, PPMM turut menggariskan beberapa langkah berjaga-jaga kepada masyarakat bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa penipuan.
Antaranya ialah memastikan agensi pelaksana yang dipilih berdaftar secara rasmi dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) serta tidak mempunyai rekod buruk.
“Serahkan amanah pelaksanaan ibadah badal haji, umrah, korban, akikah dan agihan makanan hanya kepada agensi pelancongan yang berdaftar secara rasmi dan dipercayai,” katanya.
Selain itu, masyarakat turut disaran menggunakan platform rasmi yang diiktiraf oleh kerajaan Arab Saudi seperti Tawkeel, Adahi dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar secara sah.
Menurut PPMM, penggunaan platform rasmi amat penting bagi memastikan urusan ibadah dilaksanakan mengikut syariat serta mematuhi undang undang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.
Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa kos sebenar pelaksanaan ibadah haji di Arab Saudi adalah tinggi dan memerlukan perbelanjaan besar.
Katanya, kos minimum permit haji bagi penduduk Mekah dan kawasan sekitarnya bermula sekitar SAR9,000 (sekitar RM9,450) dan belum termasuk kos sara hidup pelaksana.
Manakala, kos sembelihan korban dan akikahah melalui pusat sembelihan rasmi kerajaan Arab Saudi pula bermula sekitar SAR720 (sekitar RM756).
“Bayaran murah untuk badal haji boleh menyebabkan pelaksana menggunakan satu nama untuk menggantikan beberapa individu sekali gus menjejaskan kesahihan ibadah tersebut,” jelas kenyataan itu lagi.
PPMM turut mengingatkan bahawa melaksanakan sembelihan korban, akikah atau agihan makanan tanpa permit sah daripada kerajaan Arab Saudi merupakan satu kesalahan undang-undang yang boleh dikenakan tindakan denda atau penjara.

Kredit foto: FB Share Jer
Tambah kenyataan itu, kerajaan Arab Saudi sentiasa mengemas kini peraturan berkaitan pelaksanaan ibadah demi menjaga keselamatan dan kemaslahatan umat Islam sejagat.
Justeru, masyarakat dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia dan Arab Saudi agar hak jemaah Malaysia serta kemudahan visa tidak terjejas.
PPMM berharap kenyataan tersebut dapat memberi kesedaran kepada masyarakat supaya lebih berhati hati, tidak mudah terpedaya dengan tawaran tidak munasabah serta sentiasa menjaga kesucian ibadah yang dilaksanakan. - KitaReporters

9
13
0
11
0
