Kes-kes penderaan dan penganiayaan terhadap pesakit, yang dilakukan oleh caregiver (penjaga pesakit) yang terlalu burnt out (keletihan melampau), bukan kes terpencil. Ia berlaku di mana mana di seluruh dunia.  



kes terkini yang disiarkan oleh media Sinar Harian mengenai seorang isteri di indonesia yang menyimbah air panas ke atas suami yang terlantar akibat strok, sehingga maut, bukan kes yang memeranjatkan.

Kes dari laporan polis dan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) beberapa bulan yang lalu, di mana seorang anak memukul ibunya yang uzur, kerana tak tahan dengan karenah ibunya yang sakit strok dan nyanyuk juga melibatkan caregiver yang mengalami tekanan hidup. 

Di India, pula seorang lelaki menolak ibunya dari bangunan tinggi kerana tidak lagi mampu menanggung beban menjaga ibunya yang tua dan sakit strok.

Di Jepun, fenomena “caregiver murder-suicide” menjadi istilah yang semakin biasa, di mana pasangan dibunuh, kemudian penjaga mengambil nyawa mereka sendiri. 

Di United Kingdom dan United States, mahkamah sendiri mengiktiraf kes-kes ini sebagai tragedi akibat tekanan melampau, bukan sekadar jenayah biasa. 

Persoalannya , sampai bila kita mahu anggap ini kes terpencil?



Burnout caregiver sebenarnya jarang  kelihatan. Mereka ini insan-insan yg Allah pilih untuk memikul amanah besar.  

Orang akan cakap: "Allah tidak akan pilih awak menjadi caregiver ni esabab Allah tau awak mampu" Jadi awak kena kuat, kena tabah dan gandakan kesabaran awak."

Apa pun, burnout caregiver bukan sekadar penat. Ia adalah keadaan kronik yang sudah tidak dapat dikawal,  gabungan keletihan fizikal, tekanan emosi, kemurungan, dan rasa terperangkap tanpa jalan keluar.

Kajian global menunjukkan caregiver berisiko tinggi mengalami:

  • 1. Kemurungan dan anxiety
  • 2. Gangguan tidur kronik
  • 3. Masalah kesihatan fizikal
  • 4. paling membimbangkan,  hilang kawalan emosi

Dalam keadaan ini, garis antara kasih sayang, tanggungjawab, amanah  dan kemarahan menjadi kabur. Apa yang lebih menyayat hati, kebanyakan pelaku bukan orang asing. Mereka adalah suami, isteri, anak, ahli keluarga dan penjaga yang setia

Mereka ini lah yang selama ini dianggap “hero senyap” atau wira yg tak didendang. Tetapi apabila sistem sokongan ini gagal, “hero” dan " heroin" ini akhirnya rebah,  dan jatuhnya bukan perlahan, tetapi jatuh berderai, lalu menghancurkan segala yang pernah dilakukan dengan keikhlasan dan kasih sayang. 

Bila manusia dipaksa kuat tanpa henti, satu hari nanti dia akan meletup dan yang menjadi mangsa adalah orang paling dekat dengannya.



Kegagalan sistem yang kita nampak dengan jelas ialah, dari segi realitinya.

Ramai caregiver di Malaysia menjaga pesakit, tanpa latihan tertentu, tanpa sokongan ahli keluarga dan masyarakat setempat. Caregiver juga tidak ada sumber kewangan yg mencukupi, juga menjaga pesakit tanpa bantuan psikososial, dan tanpa waktu rehat yang cukup 

Penjagaan jangka panjang sering dianggap tanggungjawab peribadi, bukan isu kesihatan awam. Inilah kesilapan besar.

Kerana bila caregiver runtuh dan rebah, pesakit juga terancam. Jadi apa yg perlu dilakukan sebelum terlambat. Cadangan daripada Pertubuhan Ketenangan Minda Malaysia atau Malaysian Relief Mind Association (MaRMA): 

1. Pengiktirafan rasmi caregiver sebagai “golongan berisiko”.

Kementerian Kesihatan khususnya Pusat Kecemerlangan mental, perlu melihat caregiver sebagai kumpulan yang memerlukan intervensi, bukan sekadar penyokong pesakit.

2. Sokongan respite care (rehat sementara)

Sediakan pusat jagaan sementara atau bantuan komuniti supaya caregiver boleh berehat walaupun seketika. Ini seperti cadagan MaRMA wujudkan pusat rehat sementara untuk caregiver dan pusat rehab untuk pesakit skizo.

3. Saringan kesihatan mental berkala

Caregiver perlu disaring untuk tanda burnout dan kemurungan,  bukan tunggu mereka “meletup”. Adakan saringan kesihatan bergerak untuk caregiver yang tidak dapat keluar rumah sebab menjaga pesakit. 

4. Peranan komuniti & NGO

Organisasi seperti MaRMa boleh jadi platform sokongan emosi, perkongsian, dan advokasi. Komuniti setempat cakna mengenai masalah pesakit dan caregiver. Surau dan masjid minkan peranan mereka beri bantuan.

5. Pendidikan keluarga

Ahli keluarga lain tidak boleh lepas tangan. Beban mesti dikongsi, bukan diserahkan kepada seorang sahaja. Wujudkan akta dan peraturan dimana mereka atau ahli keluarga yang tidak bertanggungjawab bantu caregiver boleh didakwa.



Kes-kes yang berlaku hari ini adalah tanda amaran. Jika tiada tindakan, lebih ramai caregiver akan jatuh dan berdepan dgn masalah kesihatan mental. 

Secara tidak langsung lebih ramai pesakit akan menjadi mangsa. Pada masa yang sama, lebih banyak keluarga akan hancur dalam diam dan menyebabkan institusi  kekeluargaan mengalami kepincangan. 

Akhir sekali, kita selalu bercakap tentang hak pesakit. Tetapi jarang kita bertanya siapa menjaga penjaga kepada orang sakit. 

Kerana hakikatnya, bila caregiver hilang daya, dan kewarasan, tragedi bukan lagi kemungkinan, tetapi ia menunggu masa untuk berlaku. 

Ia  boleh terjadi pada bila-bila masa dan kepada sesiapa dan mana-mana caregiver termasuk orang yang kita tak jangka boleh "meletup" kerana kita lihat keimanannya kukuh, kesabarannya tinggi dan ketabahan dirinya yang sangat kebal. 

Justeru sebelum terlambat kerajaan dan pihak-pihak tertentu termasuk keluarga dan komuniti setempat bantu lah caregiver untuk mengurangkan tekanan dan bebanan mereka. - KitaReporters

 

15
11
0
15
0

Copy Link: