Sebut sahaja nama Ustaz Sophian, pasti ada antara kalian kenal figura yang mencetuskan rasa gerun dalam kalangan pekerja warga asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Malaysia. Sebelum mengulas lanjut, pastikan anda tahu apakah yang dimaksudkan pekerja warga asing dan PATI.

Ustaz Sophian atau nama sebenar beliau, Mohd Sophian Mohd Zain, merupakan individu yang bertanggungjawab mendedahkan kegiatan haram PATI yang berniaga di Malaysia menerusi media sosial. Hampir kesemua pendedahan tersebut menjadi tular dan mendapat perhatian rakyat serta pihak berwajib.

Malah, boleh dikatakan nama tersebut tidak asing lagi buat warga asing yang bekerja secara sah di Malaysia terutama dari Indonesia dek kerana laras bahasa yang hampir sama. 

Saat Ustaz Sophian bersuara dan menerjah, pasti ada perniagaan atau premis yang diusahakan PATI mahupun pekerja asing diserbu pihak berwajib dan seterusnya ditutup.



Malaysia sememangnya lubuk emas buat pekerja warga asing mencari rezeki. Tiada masalah seandainya ia dilakukan secara sah, tetapi kebanyakannya dilakukan secara haram. Lebih melampau, PATI turut sama membuka premis haram.

Jadi, wajarlah pendedahan yang dibuat oleh Ustaz Sophian kerana kalau dibiarkan ia akan menjadi barah buat ekonomi dan politik negara. 

Pendedahan demi pendedahan yang dilakukan Ustaz Sophian, sudah pasti mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan pekerja warga asing dan PATI.

Pada Ogos 2023 lalu, sebuah premis perniagaan menjual manisan dari Timur Tengah di Bukit Bintang telah disita Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana beroperasi tanpa lesen. Tindakan tersebut dilakukan setelah video terjahan di premis terbabit oleh Ustaz Sophian tular dalam media sosial.



Namun, kelantangan Ustaz Sophian mula menerima tentangan daripada golongan pendatang asing. Malah, ada pekerja asing yang bekerja secara sah turut tergores hati dengan kelantangan Ustaz Sophian itu. 

Ia menimbulkan polemik dalam media sosial seterusnya mencetuskan perdebatan antara warga tempatan dan asing.

Seorang pengguna TikTok bernama Abiy Putra Tunggal yang dipercayai warga asing yang bekerja secara sah di Malaysia meluahkan kekecewaaan terhadap kenyataan yang dilontarkan oleh Ustaz Sophian terhadap warga asing.



Dalam video yang berlatarkan suara daripada Ustaz Sophian yang melabelkan pendatang haram sebagai binatang, Abiy dilihat tergores hati dengan kenyataan tersebut.

“Ya Allah, sehina ini pendatang asing sehingga kami dikatakan binatang. Kami hanya tumpang mencari rezeki,” tulisnya.

Luahan itu turut disokong oleh para pekerja asing yang lain. Menurut mereka, kenyataan Ustaz Sophian itu terlalu kasar dan menggores perasaan pekerja asing. 

“Mudah-mudahan ucapan ustaz ini berbalik kepada dia sendiri. Kita manusia jangan disamakan dengan binatang. Mudah-mudahan ucapan dia berbalik ke ustaz,” bidasnya.



Perdebatan mula timbul apabila warga tempatan mula masuk membalas komen-komen daripada pekerja warga asing. 

Menurut salah seorang warga tempatan, ramai salah faham dengan kenyataan yang dibuat oleh Ustaz Sophian itu. 

Tegasnya, kenyataan itu hanya ditujukan kepada PATI dan bukan pekerja asing yang mempunyi dokumen sah. 

“Ramai panas ni memang pekak atau tak faham? Terang-terang si Sophian mentioned pendatang haram. Kalau korang masuk secara halal (sah) tak payahlah nak kabut sangat,” tulis salah seorang warga tempatan.



Namun ada juga warga tempatan yang setuju kenyataan daripada Ustaz Sophian itu agak keterlaluan. Walau apapun status, jangan sesekali panggil orang binatang. - KitaReporters


10
10
0
14
0

Copy Link: