Sudah menjadi tradisi puluhan tahun sejak 1974, Jambatan Sewo, Kecamatan Sukra, Kabupaten Indramayu, Jawa Barat beberapa hari sebelum dan selepas hari raya akan sibuk dengan kegiatan pelik tapi menarik ini. 



Banyak pemandu kenderaan atau penunggang motosikal atau basikal akan memperlahan perjalanan dan melempar beberapa keping duit syiling di atas jalan di jambatan itu. Selain duit syling ada juga yang melemparkan duit kertas.

Dan terdapat beberapa individu lelaki dan wanita dari muda hingga sudah berusia membawa penyapu panjang khas bagi menangkap duit syiling yang dilontar itu.


Keadaan Jambatan Sewo yang sentiasa sibuk


Walaupun tidak semua pengguna jambatan itu akan melontar duit, namun masih ramai yang berbuat demikian kerana menganggap sebagai sumbangan ‘tolak bala’.

Tradisi ini dikatakan dikaitkan dengan kisah legenda tempatan mengenai dua beradik, Saedah dan Saeni, yang kononnya mendiami sungai di bawah Jambatan Sewo. 



Saeni, seorang penari ronggeng Pantura, dipercayai berubah menjadi buaya kerana melanggar pantang. 

Mitos ini menimbulkan kepercayaan bahawa membuang syiling di jambatan dapat memberi keselamatan kepada pengguna jalan.

Dan mitos ini kian mengental pascakemalangan maut bas dari Boyolali pada 11 Mac 1974 yang meragut 67 nyawa di Kali (sungai) Sewo. 



Ia membuat sebahagian masyarakat kuat percaya dengan mitos itu dan perlu dihormati dengan melempar duit syiling jika melalui jambatan itu andai tidak mahu ‘kena bala’. 

Namun sepanjang tempoh itu kemalangan masih berlaku di jambatan itu kerana ada pengutip duit syiling ini dilanggar kenderaan ketika menjalankan operasi.

Dan bagi Aidilfitri 2026 lalu, pihak polis menjalankan operasi mengusir pengutip duit syiling yang jumlahnya sampai ratusan pada satu-satu masa. 



Malah Gabenor Jawa Barat, Mulyadi melalui bupati (pegawai daerah) memberi duit raya kepada para pengutip itu agar tidak meneruskan operasi mereka.

Namun bagi para pengutip duit raya ini sukar dihalang. Mereka menghilang apabila anggota polis datang dan selepas tiada polis mereka kembali membuat kerja yang sama.  



Pada para pengutip duit raya itu, pemberian duit raya daripada pemerintah daerah hanya dianggap rezeki tambahan. 

Mereka ambil duit raya itu, tapi tetap menyapu mencari duit syiling. Ini kerana hasil daripada kutipan duit syiling itu dapat dijadikan rezeki raya.

Bagi yang sanggup menjalankan kerja menyapu duit syiling dari pagi hingga lewat malam, mereka mampu mengumpul sekitar Rp500 ribu (sekitar RM120 sehari). 

Rezeki ini berjalan selama dua minggu iaitu seminggu sebelum dan selepas Hari Raya.

Mereka hanya perlu membeli penyapu khas berharga Rp10,000 – Rp20,000 (RM2.30-RM4.60) untuk dua minggu dan digunakan sepanjang minggu.

Selain itu, mereka perlu bertahan panas di tepi jalan atas jambatan sejauh beberapa ratus meter dari jambatan itu.  Ia dianggap sebagai mengemis dengan bekerja.

Walaupun ramai yang berebut mengutip duit syiling, namun masih belum ada tragedi pergaduhan berebut syiling kerana menganggap apa yang dipertoleh adalah rezeki masing-masing.

Selain duit syiling terdapat juga duit kertas yang dilempar pengguna jalan.




Tetapi adakah tradisi mengutip duit syiling ini akan berterusan? Ini kerana pentadbir daerah sudah dalam perancangan untuk menjadikan jalan atas jambatan itu bebas daripada pengemis.  

Adakah langkah itu berkesan? Ini kerana golongan pengutip duit jalanan ini kreatif cara mencari rezeki dan tahu cara berurusan dengan petugas keselamatan.

Dan kegiatan mengumpul duit syiling ini terus menjadi bahan kontens kepada golongan influencer (pempengaruh). - KitaReporters


12
10
0
14
0

Copy Link: