Isu keganasan rumah tangga bukan lagi kisah terpencil. Ia telah berlaku sejak beberapa abad yang lalu. Kes penderaan dan keganasan rumah tangga kerap berulang, menyakitkan, dan lebih tragis apabila mangsa seolah-olah “terperangkap” dalam pilihan sendiri.  



Lebih mengejutkan, ada wanita yang tetap memilih untuk berkahwin dengan lelaki yang sudah ada rekod penderaan dan sejarah hitam yang melingkari hidup lelaki berkenaan.

Persoalan yang sering bermain pada fikiran masyarakat ialah: “Kenapa masih pilih lelaki macam tu?” " dah tak ada lelaki yang baik ke dalam dunia ni." "Dah tau dia ada sejarah hitam, ganas dan viral kisahnya kenapa masih berkahwin dengan dia".

Apa pun, realitinya tidak semudah yang kita sangka dan persoalkan. Menyalahkan mangsa bukan jalan penyelesaian dan jawapan pada kemusykilan terhadap persoalan berkenaan.

Penulis tertarik dengan perkongsian Fazlina Kamarazaman dalam Facebook yang mendapat 3.7 ribu like dan hampir 1000 komen mengenai isu ini. 

Perkongsian ini lebih membuka mata tentang faktor psikologi yang sering tidak disedari, apabila terjadi kes kes sebegini. Antaranya: 

1. Bila Satu Kebaikan Menutup Segala kekurangannya (Halo Effect)

Dalam psikologi, fenomena halo effect membuatkan seseorang nampak “sempurna” hanya kerana satu kelebihan.

Lelaki itu mungkin, nampak alim, pandai bercakap atau memujuk, romantik pada awal perkenalan. Ini menyebabkan, sisi gelapnya ditutup oleh persepsi awal yang indah.

2. Bila Hati Dah Sayang, Otak Mula Cari Alasan (Cognitive Dissonance)

Bila emosi dah terikat, logik mula dikompromi. Mangsa akan mula percaya, “Dia dah berubah”, “Bekas pasangan dia yang salah” atau “Orang fitnah dia”

Ini dipanggil konflik dalaman, untuk kurangkan sakit hati. Jadi minda “adjust” realiti supaya selari dengan perasaan.

3. Lelaki Manipulatif Bukan Biasa-Biasa

Ramai pelaku penderaan sebenarnya bijak bermain emosi. Mereka gunakan teknik gaslighting (iaitu buat mangsa rasa bersalah dan keliru), bermain dengan sifat simpati di mana dia akan tunjuk imej “lelaki baik yang teraniaya”. Mangsa akhirnya keliru untuk bezakan mana satu realiti, mana satu lakonan.

4. Bila Keganasan Dah Jadi “Normal”

Bila seseorang itu membesar dalam suasana penuh keganasan dan kurang rasa kasih sayang, umpamanya , jeritan dan tengking herdik dianggap biasa, manakala memukul dianggap “cara mendidik”. Maka, bila jumpa pasangan agresif, ia tidak lagi nampak sebagai bahaya, tetapi perbuatan itu dianggap “normal”.

5. Tekanan Masyarakat: Kahwin Itu Wajib, Bukan Pilihan

Dalam budaya kita wanita bujang sering dipandang rendah. Ada juga kepercayaan “isteri kena sabar ubah suami” kerana syurga isteri di bawah tapak kaki suami. Tekanan ini buat ramai wanita memilih untuk bertahan, walaupun jelas berisiko.

6. Trauma Bonding: Cinta Yang Menyakitkan Jadi Ketagihan.

Ini paling bahaya. Kerana hubungan yang ada berputar pada kitaran: sayang → dera → pujuk → ulang balik.

Ini akan mencipta ikatan emosi yang kuat, seolah-olah mangsa “ketagih” dengan kitaran itu.

7. “Dengan Aku Dia Takkan Buat Macam Tu” (Bias Optimisme)

Ramai percaya mereka adalah “ terkecuali ”. Walaupun tahu sejarah lelaki itu: “Dia pukul bekas isteri… tapi dengan aku mesti lain, mustahil dia nak buat aku.” Inilah ilusi yang sering memakan diri.



Apa yang boleh dijelaskan di atas dari perspektif psikologi klinikal, keadaan ini bukan soal “bodoh” atau “lemah”.

Sebaliknya ia adalah gabungan trauma, emosi, dan manipulasi. 

Otak manusia memang cenderung menafikan ancaman bila hati sudah terikat. Mangsa sering berada dalam keadaan “psychological trap” sedar bahaya, tapi tak mampu keluar dari lingkungan bahaya itu

Pakar juga menegaskan pelaku penderaan jarang berubah tanpa intervensi undang undang yang serius dan rawatan profesional seperti rawatan psikologi. 

Masyarakat tidak boleh menyalahkan mangsa sahaja . Kita perlu fahami sistem yang adakalanya gagal melindungi mangsa penderaan. Setiap kali kes begini berlaku, masyarakat cepat menghukum, "Kenapa pilih lelaki macam tu?” “Sendiri cari masalah.” 

Bagaimanapun hakikatnya, ramai wanita tidak nampak jalan keluar, mereka terperangkap dalam manipulasi emosi dan paling menyedihkan, sistem sokongan masih lemah. 

Umpamanya ada pihak berkuasa yang akan cakap macam ni: "Itu urusan rumah tangga mereka. Biar mereka selesaikan cara baik, Hari ni gaduh esok baik, kita yang beria-ia tolong esok dia baik suami isteri kita yang disalahkan." 

Apa pun ini pesanan untuk semua. Kes-kes penderaan dan keganasan rumah tangga seperti ini harus jadi amaran kepada semua wanita dan keluarga mereka. 

Kenalilah tanda awal lelaki berkenaan. Selidik sejarah keganasan mereka. Lihat pada sikap mereka, adakah mereka ini jenis baran, cepat marah, terlalu mengawal dan mengongkong, cemburu buta, suka mengeluarkan perkataan yang menghina, pandai manipulatif, ringan tangan dan kaki untuk memukul,  dan beberapa tanda yang boleh dilihat pada awal perkenalan dan sewaktu bercinta. Apa pun yang paling penting,  Cinta bukan alasan untuk menutup mata terhadap bahaya. 

Cinta juga bukan satu hukuman dan wanita tidak memilih untuk disakiti dan dianiaya.  Tetapi dalam banyak kes apa yang dapat kita lihat, wanita sering dipandu oleh emosi , trauma dan manipulasi halus. 

Kesilapan mereka memilih suami boleh memusnahkan masa depan mereka. Benar kata-kata Prof Muhaya  ini, "wanita paling malang adalah wanita yang tersalah pilih suami. - KitaReporters


18
13
0
15
0

Copy Link: