Pelajar Pondok Taklim dan Tahfiz Minhajul Abidin, Pokok Sena terpaksa menggunakan bangunan asal sebagai asrama kerana bangunan baharu belum siap dibina berikutan kekurangan dana.


PELAJAR di Pondok Taklim dan Tahfiz Minhajul Abidin, Pokok Sena, Kedah tidak diabaikan pelajaran akademik mereka apabila turut mendapat pendidikan formal hasil kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Setar bagi membimbing mereka.

Kelas Pendidikan formal itu juga yang mendapat kerjasama Lembaga Zakat Negeri diadakan setiap hari seperti sekolah biasa cuma selama dua jam bermula pukul tiga membabitkan pelajar pondok yang menduduki tahun satu hingga tingkatan lima.

Mereka dibimbing tenaga pengajar bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Matematik, Bahasa Inggeris, Sejarah dan sebagainya bagi menjamin mereka boleh menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan membuka peluang untuk mereka meneruskan pengajian akademik lebih tinggi.


Sebahagian pelajar dalam kalangan anak asnaf dan anak yatim pondok meneruskan aktiviti mengaji dan hafazan al-Quran walaupun pada hari cuti hujung minggu. 


Pengerusinya, Mohd Zahid Mat Saad, berkata atas nasihat pihak terbabit, pengurusan pondok menyambut baik saranan supaya diberikan pendedahan pendidikan formal kepada pelajar di pondok berkenaan, bagaimanapun kerana masalah perbelanjaan dan kos lain mereka terpaksa mengikuti kelas di situ sahaja.

Menurutnya, ini selaras penubuhan pondok itu adalah bagi membimbing dan memberi peluang kepada pelajar terbabit mendalami bidang ilmu agama secara percuma memandangkan mereka daripada dalam kalangan anak asnaf, miskin, mualaf dan anak yatim.

Tambahnya, apabila melihat mereka itu berkeliaran tanpa tujuan sekitar kampung dan pekan dia berusaha menubuhkan pondok berkenaan di atas tanah seluas dua ekar lebih dan mempelawa pelajar menerusi ibu bapa atau penjaga menimba ilmu di situ.

“Mereka ini akan mengikuti kelas mengaji al-Quran termasuk hafazan yang dibimbing oleh beberapa ustaz sehingga mampu menjadi seorang tahfiz, di samping berjaya dalam akademik yang membuka jalan untuk ke pusat pengajian yang lebih tinggi.

“Paling menarik mereka menghafal al-Quran ini memiliki daya ingatan semula jadi yang kuat apabila mampu untuk mengingati apa sahaja pelajaran bagi mata pelajaran akademik disampai tenaga pengajar setiap hari, saya berasa amat bersyukur,” ujarnya.


Makan dalam satu dalang menjadi perkara biasa kepada pelajar pondok yang bertujuan merapatkan lagi hubungan antara mereka serta menjadi amalan sunah.


Mohd Zahid yang lebih dikenali panggilan Pak Su ditemui ketika menerima kunjungan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyampaikan infak dan sumbangan orang ramai serta pelbagai pihak kepada pondok itu pada 5 Oktober 2023.

Pondok itu yang beroperasi tanpa mengenakan sebarang bayaran kepada para pelajarnya ditubuhkan lima tahun lalu dan semua aktiviti diadakan dalam satu bangunan asal sebelum beralih ke surau yang dibina hasil sumbangan dana orang ramai dan pelbagai pihak pada 2021.

Beliau berkata, kini pihak pondok berusaha untuk menyiapkan bangunan asrama dilengkapi kelas mengaji al-Quran serta pelbagai kemudahan asas lain namun tergendala pembinaan kerana tidak mempunyai dana yang cukup selepas binaan asas didirikan dua tahun lalu.


Bangunan asrama baharu yang akan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk kelas mengaji tergendala pembinaan kerana kekurangan dana.


Menurutnya, dia dengan dibantu rakan-rakan sentiasa berusaha mengumpul dana bagi menyiapkan pembinaan bangunan berkenaan walaupun terpaksa mengambil masa yang agak lama demi keselesaan pelajar untuk mengaji al-Quran.

Jelasnya, dia berasa amat terharu apabila ada dalam kalangan mereka yang bukan beragama Islam datang untuk memberi sumbangan termasuk barangan basah apabila mengetahui kewujudan pondok berkenaan di pedalaman Kampung Kuala Lanjut, Mukim Lesung.

“Mereka berasa gembira apabila pihak pondok menerima sumbangan ini yang sebelum itu mereka berasa ragu-ragu kerana tidak beragama Islam dan selepas diberi penjelasan serta penerangan dari segi agama individu terbabit berasa terharu.

"Sebagai tanda terima kasih kepada penduduk kampung yang banyak memberi sokongan pihak pondok mengadakan kelas pengajian agama kepada warga emas sebanyak tiga kali seminggu yang dibimbing ustaz jemputan dan sebagainya," kata beliau.

Kepada mereka yang berhajat mendapatkan maklumat lanjut mengenai pondok berkenaan boleh menghubungi Mohd Zahid Maat Saad menerusi telefon 019 4466425. - KitaReporters

Mohd Zahid Mat Saad (tengah) menerima sumbangan diinfak pelbagai pihak yang prihatin untuk meringankan bebanan operasi pondok.


Surau Rahmatul Ihsan digunakan untuk pelbagai aktiviti pengajian agama termasuk mengadakan kelas agama untuk warga emas kampung berdekatan sebanyak tiga kali seminggu.

19
11
0
12
0

Copy Link: