Bila ABAH Bersuara| Bila air tak menitis pada fajar 1 Syawal! Bukan baharu! Banyak kali dah berlaku!
Published byMALAM 1
Syawal di Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur. Pukul 12.30 malam menuju ke fajar
1 Syawal. Keluarga sedang sibuk menyediakan keperluan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Tiba-tiba aliran air jadi perlahan dan semakin perlahan, kemudian hanya menitis. Akhirnya bekalan air terputus terus. Tiada pilihan, air tangki terpaksa diguna. Tentunya tidak bertahan lama.

Jika ada notis awal boleh juga menyimpan air. Tetapi jika paip pecah menyebabkan tiada notis, pengguna terpaksa menanggung susah, terutama pada hari perayaan.
Kasihan penduduk Danau Kota dan beberapa kawasan lain terlibat dalam kawasan Gombak, Setapak dan Wangsa Maju. Ketika air diperlukan membuat persediaan Aidilfitri, ia berhenti mengalir. Air tiada pada waktu yang salah. Hanya beberapa jam kemudian baharu bekalan beransur-ansur pulih.
Menurut makluman
diberi, bekalan terputus kerana paip pecah. Alasan ini bagai sudah menjadi
irama lagu yang sejak sekian lama bermain pada telinga warga tiga kawasan
tersebut.
Ini kerana
terputus bekalan air boleh dikatakan kerap berlaku di kawasan Gombak, Setapak
dan Wangsa Maju. Bagai sudah sinonim. Setip kali bekalan terputus, puncanya ialah
paip pecah.
Bila dan di
mana paip pecah ada dimaklumkan. Tetapi jarang diberi perincian kenapa paip
pecah. Kerana tekanan tinggikah? Atau kerana paip lama tidak lagi mampu
menyerap tekanan, tambahan ketika volume penggunaan air tinggi?
Mungkin boleh
diberi alasan hari raya penggunaan air meningkat berganda. Kerana itu paip
tidak dapat menampung aliran pada tekanan tinggi lalu pecah. Tetapi insiden
paip pecah berlaku bukan sahaja pada hari perayaan.
Pada waktu lain pun sering berlaku. Yang dapat penulis duga ialah paip tidak mampu menahan tekanan kerana kebanyakannya paip lama. Macam manusia juga, jika sudah berusia semakin kurang daya tahan.

Wangsa Maju ialah kawasan padat penduduk. Jumlah warganya makin bertambah dengan pembinaan projek perumahan, terutama kondo, yang rancak bagai cendawan selepas hujan.
Kerana itu
juga kegunaan air bertambah. Tekanan kuat perlu untuk membolehkan air naik ke
kediaman tinggi, misalnya kondo yang melebihi 30 tingkat. Seksa paip untuk
melakukan kerja ini! Jika sudah tidak berdaya memang boleh pecah.
Sementara
pertumbuhan penduduk pesat, sistem bekalan air tetap sama. Saiz paip masih tidak
berubah. Dipercayai kebanyakan paip tersebut merupakan paip lama yang sudah
berusia beberapa dekad.
Apabila isu
ini tidak diambil tindakan sewajarnya, insiden terus terjadi. Paip tidak
diganti dengan yang lebih besar sesuai dengan keperluan penduduk. Paip lama yang
tidak diganti menjadi semakin fragile.
Sepatutnya langkah diambil memperbesar atau mengganti paip lama, bukan menunggu paip pecah! Yang susah ialah para pengguna.
Oleh kerana
perkara ini kerap berlaku, adalah baik bagi syarikat pembekal air di Kuala
Lumpur khususnya melihat masalah ini secara menyeluruh serta mengambil tindakan
sebelum berlaku kejadian, bukan menunggu kejadian.
Tentu sudah
dapat diandaikan paip bersaiz kecil dan lama tidak dapat bertahan pada era
sekarang. Beberapa dekad lalu mungkin itu boleh diterima. Tetapi sekarang
dengan kemajuan dan perkembangan pesat penduduk, semua perlu pengubahsuaian.
Paip bersaiz kecil dan lama perlu diganti segera tanpa berlengah. Jika usaha ini dapat dilakukan masalah terputus bekalan air di kawasan Gombak, Setapak dan Wangsa Maju dapat dikurangkan.

Penulis
percaya pihak terlibat akan meneliti perkara ini dengan mengambil langkah
proaktif menangani isu berkenaan. Elakkan ketidakselesaan, malah kemarahan
penduduk apabila terputus bekalan air, terutama pada musim perayaan.
Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir batin. - KitaReporters

