Siang malam, kawasan perumahan di Bukit Sentosa di bawah seliaan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) yang biasanya sunyi, diganggu dengan bunyi eksos bingit, daripada motosikal dan kereta yang diubah suai. 



Balai polis berdekatan tidak membantu, laluan sunyi di luar pagar komuniti seolah-olah menjadi tempat ujian kenderaan.

Bila sesekali keluar memandu di waktu malam, dikejutkan pula dengan kehadiran penunggang motosikal yang tidak berlampu atau basikal lajak budak-budak semuda 7-8 tahun dari perumahan flet berhampiran.

Bonggol yang dibina sepanjang jalan seperti tidak dipedulikan, mereka tetap memandu laju, sudahlah lampu-lampu jalan hanya akan terang secara automatik menjelang pilihan raya, membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Mungkin ramai yang akan berkata: Ahhh! Inikan kawasan pinggiran bandar, takkanlah nak terang macam bandar raya pula. Masalahnya, keadaannya sama sahaja, seperti di Subang Jaya, contohnya.

Bukankah perumahan di Subang Jaya di bawah seliaan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBPJ)? Bermakna ia adalah sebuah bandar raya. Bukankah sebuah bandaraya sepatutnya, meriah dan terang di mana-mana?

Tidak juga, lampu tetap malap, kalau menyala. Cuba lalu di laluan menghala ke Lebuh Raya Persekutuan (Federal Highway), kampung paling hulu yang pernah saya lawati pun lebih terang dan meriah.



Berbalik kepada masalah yang penduduk Bukit Beruntung/Bukit Sentosa, Rawang hadapi. Mungkin pihak berkuasa harus mengambil tindakan proaktif, adakan sekatan jalan berkala atau memeriksa kenderaan yang tidak berlampu.

Pernah terjadi kepada seorang penduduk yang hendak masuk simpang ke kanan, tiba-tiba melambung seorang penunggang motosikal di atas cermin depan, entah dari mana penunggang ni datang. 

Rupa-rupanya bila diperiksa semula dashcam yang dipasang, penunggang itu tidak menyalakan lampu, tidak memakai topi keledar dan lagi parah, motosikal tidak ada cukai jalan.

Nasib baiklah, beliau hanya mengalami luka di kaki. Pada mulanya badan kaku di tengah jalan tetapi apabila kebetulan seorang doktor berhenti untuk memeriksa, tiba-tiba penunggang motosikal tadi bangun terhinjut-hinjut.

Nasib pemandu kereta tadi lebih teruk, kereta remuk di bahagian hadapan dan seperti biasa, walaupun penunggang motosikal itu salah, pemandu kereta terpaksa menggunakan insurans kenderaan beliau untuk memperbaiki keretanya yang rosak teruk, ditambah beban kehilangan bonus tidak tuntut (NCD).



Sepanjang jalan lama dari persimpangan Perodua sehinggalah ke pekan Bukit Sentosa, seolah-olah berada di dalam hutan belantara, gelap gelita, lampu kereta pun tidak mampu menerangi jalan.

Penunggang motosikal pula seolah-olah mencabar pemandu kenderaan lain untuk melanggar mereka, ada yang tidak berlampu depan dan belakang. 

Apabila dibunyikan hon, seolah-olah pemandu kereta pula yang bersalah, mereka tunjuk jari tengah, atau mungkin ibu jari, sebab terlalu gelap, memang tidak nampak!

Ura-ura pilihan raya umum (PRU) akan diadakan tidak lama lagi memang menggembirakan kami, bukan kerana tidak sabar untuk memilih calon, tetapi tentu sekali jalan-jalan Persekutuan, jalan raya dan jalan kampung akan diterangi seawal 6 petang.

Ketika kempen pilihan raya lepas dijalankan, lampu-lampu jalan di dalam taman perumahan saya menyala 24 jam, siang dan malam.

Apabila berakhirnya pilihan raya, waktu yang paling “menyedihkan” kerana tiba-tiba lampu jalan yang sebelum ini terang benderang akan malap dan akhirnya padam.



Sudah sampai masanya untuk kerajaan untuk memperkenal lampu solar untuk kegunaan harian, sekurang-kurangnya mereka dapat mengurangkan kos bil elektrik, jika itulah yang menjadi beban.

Kos selenggaraan hampir tiada, mungkin pihak berkuasa hanya perlu memastikan lampu-lampu dipasang di tempat tinggi atau “diikat” dengan ketat agar tidak dicuri.

Waktu paling getir jika menggunakan lampu solar ini ialah musim tengkujuh. Dua hari tanpa matahari, gelaplah lampu. Tetapi ia lebih baik dari tiada lampu langsung.

Lampu jalan solar yang dijual di atas talian memang efisyen. Saya telah memasang lebih 10 lampu solar di sekeliling rumah lebih dari dua tahun, tidak pernah rosak. 

Saya tidak pernah mengira penjimatan kos elektrik, tetapi jika ada gangguan elektrik sekalipun, kawasan luar rumah masih terang. 

Jiran-jiran lain pun sudah mula beralih kepada lampu solar. Kawasan kami menjadi terang di waktu malam tanpa menggunakan lampu elektrik berlebihan seperti sebelum ini.

Memasang solar untuk menerangi seluruh rumah memang belum dapat digapai kerana kosnya yang terlalu tinggi, tetapi memadai dengan dengan lampu-lampu solar di luar rumah setakat ini.



Bayangkan jiran saya yang memasang panel solar di atas bumbung kini hanya perlu membayar elektrik kurang dari RM20 sebulan berbanding sebelum ini yang mencecah sehingga RM600-RM700 sebulan.

RM20 untuk penggunaan maksimum perkakas elektrik terutama pendingin hawa tanpa had. Hanya sediakan duit untuk kerap servis alat-alat elektrik!

Tetapi ia akan mengambil masa lama untuk “pulang modal” kerana kosnya dalam lingkungan berpuluh ribu ringgit juga.

Tiba masanya untuk kita sebagai pengguna beralih kepada kuasa solar! - KitaReporters

8
10
0
11
0

Copy Link: