KOS sara hidup yang tinggi di kawasan bandar menyebabkan ramai ibu bapa mengeluh untuk menyediakan keperluan harian terutama pembiayaan kepada persekolahan anak-anak mereka.  

Ini menyebabkan mereka terpaksa menggunakan pilihan lain untuk mendapatkan wang termasuk bekerja lebih masa, pajak gadai atau meminjam daripada ah long.

Keluhan dan kegelisahan ibu bapa itu mendapat perhatian Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi dengan menganjurkan Program Back to School 2024. 

Ia diharap dapat memberi bantuan bagi mengurangkan perbelanjaan serta kos yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa pelajar terdiri daripada golongan asnaf dan kumpulan B40 untuk membuat persediaan sebelum persekolahan bermula pertengahan bulan Mac 2024 ini. 


Pengurusan Masjid Al-Hasanah bergambar kenangan bersama sebahagian penaja Program Back to School 2024.


Ketua Biro Kebajikan Masjid Al-Hasanah, Mohd Johaary Abdul Hamid, berkata program itu memberi fokus kepada pelajar-pelajar asnaf, B40 dan anak yatim, membabitkan 278 peserta atau keseluruhan kira-kira 500 orang terdiri dari ibu bapa dan penjaga yang hadir. 

Ia satu usaha yang baik yang patut diteruskan, cuma kali ini pihaknya memberi keutamaan kepada peserta di bawah kariah masjid itu, katanya.

Beliau yang juga Pengarah Program Back to School 2024 berkata, jumlah keseluruhan sumbangan hampir RM60,000 yang diberikan dalam bentuk kupon dan beliau berterima kasih kepada semua penaja yang mengambil bahagian bagi memudahkan ibu bapa membuat persiapan bagi memulakan persekolahan sebelum Ramadan nanti. 

Mohd Johaary Abdul Hamid


"Program seumpama ini sudah dimulakan sejak lima tahun lalu malah Masjid Al-Hasanah menyediakan tabung khas untuk orang ramai menderma bagi memudahkan pengurusan masjid menyalurkan bantuan kepada ibu bapa kumpulan B40, anak-anak yatim dan golongan asnaf.

"Kami juga menyediakan tabung khas, Back to School 2024 yang mana wang yang dikumpulkan dan diinfakkan itu diberikan kepada golongan rentan terdiri daripada wanita, warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan orang miskin," katanya kepada portal berita KitaReporter selepas majlis perasmian Program Back to School 2024 oleh Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Hulu Langat, Dr Ahmad Zaky Ali @ Tahir di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Turut hadir, Nazir Masjid Al-Hasanah, Ustaz Mohd Safian Abd Rahman, penaja-penaja dan ibu bapa penerima bantuan Program Back to School 2024. 

Sebahagian daripada anak-anak yatim dan miskin di bawah kariah Masjid Al-Hasanah yang hadir di Program Back to School 2024.


Beliau berharap program ini dapat diteruskan kerana ia memberi manfaat kepada anak-anak kariah dan memastikan pembelajaran mereka dapat diteruskan tanpa ibu bapa memikirkan masalah membeli dan membuat persiapan untuk persekolahan yang bakal dibuka nanti.

"Alhamdulillah, program seperti ini memberi sedikit kelegaan dan mereka tidak terganggu untuk membuat pembayaran yuran persekolahan, PIBG dan peperiksaan di samping dapat belajar lebih selesa.

"Saya bagi pihak pengurusan Masjid Al-Hasanah mendoakan pelajar-pelajar yang menerima bantuan ini menjadi anak-anak yang soleh dan harapan kepada bangsa dan agama. 

an, apabila berjaya nanti, mereka akan ingat untuk memberi balik sumbangan kepada golongan yang memerlukan terutama golongan rentan," katanya.  


Dr Ahmad Zaky Ali @ Tahir (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kupon Back to School 2024 kepada anak-anak miskin, asnaf dan B40 di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, Selangor.


Bagi Ustaz Mohd Safian, bantuan yang diberikan bukan dalam bentuk wang tunai sebaliknya menggunakan sistem kupon. Setiap pelajar sekolah menengah mendapat tiga kupon bernilai RM150 manakala bagi sekolah rendah, mereka menerima dua kupon bernilai RM100.

"Pemilihan berdasarkan anak-anak asnaf daripada 18 surau di bawah kariah Masjid Al-Hasanah dan kami meminta nama mereka yang layak daripada pengerusi surau. Kupon itu boleh ditebus di beberapa lokasi dan sekolah yang dipilih bagi memudahkan ibu bapa."Sempena Ramadan nanti, Masjid Al-Hasanah akan meraikan anak-anak yatim dalam majlis berbuka puasa dan kami menyediakan tabung khas derma untuk anak-anak yatim bagi memudahkan jemaah memberi sumbangan," katanya.

Ustaz Mohd Safian Abd Rahman


Sementara itu, Dr Zaky Ali berkata usaha dilakukan oleh Masjid Al-Hasanah adalah mengikut sunah Rasulullah SAW kerana Baginda amat mengasihi anak-anak yatim termasuk golongan asnaf dan miskin.

"Pejabat Agama Daerah Hulu Langat amat menghargai usaha-usaha seperti ini dan meminta orang ramai terus menderma bagi membolehkan pengurusan masjid menyampaikan sumbangan kepada lebih ramai golongan memerlukan termasuk anak-anak yatim, ibu tunggal dan golongan OKU. Kami sentiasa memberi sokongan malah membantu untuk menghebahkan program begini," katanya. - KitaReporters

Dr Ahmad Zaky Ali @ Tahir

14
8
0
8
0

Copy Link: