Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) menganjurkan Majlis Kasih Syawal 2026 bagi meraikan 178 penghuni Rumah Seri Kenangan Cheras pada 15 April 2026 lalu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.


Siti Fadilah Mohd Hood (berdiri, kiri) dan Irma Hasmie (tengah) mengagihkan sumbangan duit raya kepada penghuni Rumah Seri Kenangan Cheras.


Majlis yang berlangsung turut menghimpunkan rakan strategik, ikon kemanusiaan serta rakan media dalam suasana penuh kemesraan dan kasih sayang.

Majlis Kasih Syawal merupakan satu inisiatif IR Malaysia yang bertujuan menyantuni komuniti, khususnya warga emas, di samping menghargai sokongan berterusan daripada rakan-rakan kerjasama yang sentiasa bersama dalam menjayakan misi kemanusiaan organisasi.

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang majlis termasuk jamuan makan, persembahan nyanyian oleh Afad Raihan, agihan duit raya serta penyerahan sumbangan barangan keperluan penghuni seperti 2 unit peti ais, lampin dewasa dan sabun basuh baju hasil sumbangan dan tajaan orang ramai kepada Rumah Seri Kenangan Cheras. 

Selain itu, IR Malaysia turut mengagihkan duit raya dan pek makanan panas kepada para penghuni Rumah Seri Kenangan Cheras yang berada di kawasan asrama, yang uzur akibat kekangan fizikal dan kesihatan.


Syed Saleh Syed Abdul Rahman (dua dari kanan) menyerahkan simbolik sumbangan lampin dewasa dan sabun basuh baju kepada Zulkeflee Hazeh diiringi oleh Siti Fadilah dan Anuar Ab Ghalim.


Pengerusi IR Malaysia, Dato’ Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, program seumpama ini mencerminkan komitmen berterusan organisasi dalam memperkukuh nilai kemanusiaan dan menyebarkan kebaikan kepada golongan yang memerlukan, tanpa mengira latar belakang.

“Aidilfitri adalah waktu untuk kita kembali kepada fitrah, mengukuhkan silaturahim, menyebarkan kasih sayang dan meraikan kebersamaan. 

“Melalui Majlis Kasih Syawal ini, kami ingin memastikan para penghuni di sini turut merasai kegembiraan dan kemeriahan Syawal, tanpa merasa dilupakan oleh masyarakat.

“Majlis ini bukan sekadar acara sambutan Aidilfitri, tetapi merupakan tanggungjawab dan keprihatinan kita terhadap komuniti, khususnya golongan warga emas yang merupakan khazanah berharga buat kita,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa sokongan berterusan daripada rakan strategik, ikon kemanusiaan dan rakan media amat penting dalam memastikan usaha-usaha kebajikan dapat diperluaskan kepada lebih ramai golongan yang memerlukan.

“Setiap sokongan yang diberikan, sama ada dalam bentuk sumbangan, kerjasama mahupun hebahan, memainkan peranan besar dalam membantu kami menyampaikan bantuan dan harapan kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya.


Afad Raihan (kanan) menghiburkan suasana Majlis Kasih Syawal 2026 dengan mendendangkan lagu Puji-pujian dan Lebaran ini.


Majlis yang diacarakan oleh pempengaruh terkenal, Fendi Mohammad (Foodie Fendi) turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pelawat Rumah Seri Kenangan Cheras, Dato’ Seri Zulkeflee Hazeh; Timbalan Pengerusi Puspanita Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datin Rosnida Musa; Ahli Lembaga Pemegang Amanah IR Malaysia, Datuk Nur Iskandar A Samad; Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, Siti Fadilah Mohd Hood; Timbalan Penguasa Rumah Seri Kenangan Cheras, Anuar Ab Ghalim; serta ikon-ikon kemanusiaan IR Malaysia, Irma Hasmie, Cef Imelda dan Adi Saujana.

IR Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan majlis ini termasuk para penaja; Mek Buyong Kitchen, Cendol Sawit Melawati, Mat Telawi Trading, DOSZ Coffee, BeliKek.Com, Foodtalks & Bangi Golf Resort, Laksa Redup Rimba, Layannn Titbits, HWC Coffee serta penaja-penaja individu. - KitaReporters/Kenyataan Media


8
13
0
6
0

Copy Link: