Lidah Pengarang| Raya terkejut? Tetap indah di hati! Suasana kelam kabut momen diingati sentiasa!
Published bySetiap tahun, kisahnya hampir serupa. Ramadan sudah di penghujung, barulah ramai tersedar Aidilfitri sebenarnya semakin dekat.


Ketika sebahagian orang sibuk mengemas rumah, menukar langsir dan menyusun balang kuih, masih ada yang baru teringat baju raya belum dibeli, tiket belum ditempah dan cuti belum dipohon.
Inilah yang sering disebut sebagai raya terkejut.
Bukan sengaja mahu bertangguh. Kekangan kerja, urusan keluarga dan rutin harian membuatkan masa terasa bergerak terlalu pantas.

Pejam celik, lagu raya sudah berkumandang. Pusat beli belah pula penuh sesak. Media sosial dipenuhi gambar persiapan Syawal yang serba cantik.
Mahu tidak mahu, debaran pun bermula.
Ada yang kelam kabut mencari duit raya di kaunter bank padasaat akhir. Ada yang pening memikirkan menu pagi raya yang masih belum diputuskan.
Ada juga yang sempat menyambar apa sahaja baju di rak, asalkan ada persalinan baharu untuk menyambut lebaran.
Namun di sebalik kecoh dan kelam kabut itu, ada sesuatu yang lebih bermakna.


Suasana kampung menjelang Syawal, seisi keluarga bergotong royong memasang langsir sebagai tanda persiapan menyambut hari lebaran.
Raya bukan pertandingan rumah paling cantik atau kuih paling banyak. Raya ialah tentang kembali kepada keluarga, kepada kemaafan dan kepada hubungan yang mungkin lama terjarak dek kesibukan hidup.
Walaupun langsir lama masih terpasang, kuih sekadar seadanya dan pakaian tidak sedondon warna, Aidilfitri tetap membawa rasa yang sama. Hangat, dekat dan penuh kasih.
Malah saat kelam kabut inilah yang selalunya menjadi kenangan paling manis.
Kisah tersalah beli saiz baju, rendang terlebih masin atau perjalanan pulang yang panjang sering bertukar menjadi cerita lucu setiap kali raya menjelma semula.
Itulah warna warni raya orang kita. Tidak sempurna tetapi penuh makna.

Jadi, jika tahun ini anda tergolong dalam pasukan raya terkejut, usah gelisah. Tarik nafas, senyum dan nikmati apa yang ada.
Kerana akhirnya yang paling diingati bukanlah sempurna atau tidak persiapan kita, tetapi siapa yang ada di sisi saat takbir Aidilfitri bergema.
Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin daripada kami semua di KitaReporters

Seisi keluarga menyusun kuih raya menandakan persiapan Syawal.
