Tindakan murni seorang pelajar India menyuapkan makanan kepada rakannya yang berketurunan Melayu dan dipercayai hadapi masalah Sindrom Down mengundang rasa kagum dan terharu lagi sebak orang ramai.

Video tular dalam media sosial tersebut dirakam oleh seorang guru yang tertarik dengan keikhlasan pelajar itu membantu rakannya untuk makan yang difahamkan juga mengalami masalah rabun.

Video itu sekali gus satu lagi manifestasi kepada aspirasi Keluarga Malaysia, yang mahu rakyat saling berkasih sayang dan tolong menolong tanpa kira rupa dan latar belakang.


Lagi cerita-cerita sebak berkaitan anak-anak Sindrom Down



Menerusi video yang dimuat naik oleh pengguna media sosial bernama @azizahazedi, beliau menjelaskan video itu dirakam ketika sesi waktu rehat persekolahan di sebuah sekolah pendidikan khas.

“Harap video ini membuatkan anda bahagia. Mereka sangat baik, saling mengasihi antara mereka dan penyayang. Video ini dirakam ketika waktu rehat sesi persekolahan.

Mahalaksmi suap Hanisah makan. Saya suka melihat mereka tetapi dalam pada masa yang sama saya sebak,” kongsinya. 



Video tular itu mengundang reaksi pengguna media sosial yang berasa terharu dengan kasih sayang antara kedua-dua kawan itu meskipun berlainan bangsa serta memuji kebaikan pelajar India berkenaan.

“Ini yang selalu orang tak nampak. Cinta dan sayang sesama manusia tanpa mengira agama dan bangsa. Hanya kasih,” kata @SmallorBigGames.

“Sempena bulan kemerdekaan video macam ini banyak bagi kesedaran kita salibg memerlukan,” ujar @syfq_thr21.

“Kagum dengan ibu bapa mereka. Mengajar anak berbuat baik tanpa mengira agama dan bangsa,” tulis @anomdelima.- KitaReporters


12
10
0
12
0

Copy Link: