Oleh NORAZLINDA MOHAMMAD

Universiti Teknologi MARA (UiTM)


Dewasa ini, kita sering dikejutkan dengan berita tragedi pembunuhan tragis di kalangan ahli keluarga yang melibatkan suami, isteri, ibu, ayah dan anak-anak.   Isu tekanan hidup, permasalahan jiwa, gangguan emosi ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja  dalam setiap peringkat usia, latar belakang, status dan pendidikan.



Fenomena ini bukan baharu; ia merupakan konflik sosial dan sangat menggusarkan rakyat Malaysia kerana ia melibatkan tekanan perasaan dan permasalahan mental akibat stres, permasalahan kewangan, krisis rumah tangga, kemelut kehidupan yang memberi kesan kepada gangguan emosi, pemikiran, hati dan jiwa manusia.  Isu ini harus ditangani segera sebelum ia menjadi barah dan krisis di dalam masyarakat.

Hakikat yang menyedihkan, kejadian pembunuhan ahli keluarga yang menyayat hati dan semakin membimbangkan orang awam.  

Sekurang-kurangnya enam kes berlaku dalam tempoh Januari hingga ke bulan Mac 2026 ini.  

Melihat kepada insiden kes pembunuhan dan bunuh diri yang mendukacitakan serta merenggut emosi seluruh rakyat Malaysia, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri bertindak tegas dengan memperkasakan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) bagi membantu individu yang menghadapi tekanan perasaan.  

Usaha ini sangat signifikan kerana ia bukan sahaja membendung permasalahan institusi kekeluargaan tetapi juga mengurangkan isu keganasan rumah tangga negara ini secara holistik.  Bak kata pepatah Melayu; mencegah lebih baik dari mengubati.  

Menurut Nancy, sejak Oktober 2021 hingga Disember 2025, sejumlah 156,033 kes klien disantuni dan berjaya diselesaikan melalui PSSS dengan kebanyakan kes melibatkan masalah tekanan perasaan. 

Sudah terang lagi bersuluh, betapa institusi kekeluargaan diuji dengan pelbagai cabaran, masalah kehidupan, tekanan kerja, menguruskan keluarga dan lain-lain.  

Oleh demikian, masyarakat Malaysia perlu bersikap cakna dan prihatin serta sama-sama membantu melaporkan sekiranya ada antara ahli keluarga, sahabat, rakan taulan dan rakan tetangga yang mengalami sindrom tekanan perasaan atau permasalahan mental sebelum terlambat.  

Keluarga terdekat harus peka jika terdapat sindrom tekanan seperti gangguan emosi, kemurungan, keresahan yang dihadapi ahli keluarga.  

Masalah tekanan boleh dielakkan sekiranya sokongan sosial dan komunikasi dua hala yang terjalin antara ahli keluarga berterusan dan efektif.



Umumnya, dalam abad ke-21, kita menghadapi pelbagai ujian dan permasalahan kehidupan dengan menggalas tanggungjawab menyara keluarga, masalah kehilangan pekerjaan, peningkatan kos sara hidup, stres di tempat kerja, ketidakmampuan menyara keluarga dengan adanya komitmen besar serta bebanan hutang dan masalah kewangan yang sememangnya menjerut sebahagian pemikiran masyarakat.  

Harus diingat, usah membiarkan ahli keluarga kita dibelenggu masalah mental kerana ia ibarat bom jangka dan pembunuh senyap jika tidak dibantu segera atau diselia dengan baik; lantas memberi impak besar lagi membahayakan.  

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, (MMA) Dr Thirunavukarasu Rajoo menggambarkan laporan mengenai tragedi yang menimpa keluarga sebagai peringatan jelas berkenaan trend bunuh diri dan tekanan psikologi yang membimbangkan, terutama kepada individu yang bekerja dan berdepan dengan  tekanan sosioekonomi yang berat. 

Usah menormalisasikan sikap individualistik.  Realitinya, pentingnya ahli keluarga dan masyarakat melihat konflik ini secara serius dengan memastikan persekitaran selamat iaitu dengan bertindak segera bagi menangani dan menghentikan sama sekali kes pembunuhan dan trend bunuh diri.   

Individu yang berdepan dengan masalah tekanan mental perlu mendapatkan bantuan profesional segera dengan berjumpa psikoterapi, kaunselor serta mendapatkan nasihat agar dapat membantu meringankan bebanan masalah serta emosi pemikiran yang dilalui.  

Betapa, berat mata memandang berat lagi bahu memikul; perumpamaan ini jelas dengan permasalahan mental yang dihadapi.   

Mereka memerlukan telinga dan bahu untuk menangis bukan sahaja isu permasalahan yang ditanggung dapat dikurangkan tetapi juga menjaga kesihatan mental daripada merosot.  

Jadilah pendengar yang setia dan mempunyai sifat empati. 



Pada dasarnya, terdapat segelintir keluarga yang sama sekali tidak mampu membeli keperluan asas seperti makanan, membayar duit sewa rumah apa lagi membeli rumah sendiri, memberi pendidikan yang mencukupi kepada anak-anak dan membiayai perubatan bagi ahli keluarga yang sakit.  

Apa yang memilukan, akibat kesukaran meminjam wang dari bank, ada yang hilang pedoman dan sanggup meminjam dari ahlong. Individu ini akan mengalami tekanan hidup.  

Ini sangat menjentik hati kita sebagai warga masyarakat apabila mendengarkan sebahagian keluh-kesah dan penderitaan rakyat Malaysia pada era inflasi dan arus kemodenan. 

Melihatkan permasalahan kewangan yang semakin runcing dihadapi sebahagian masyarakat, kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengambil peduli dan telah bertindak membantu golongan yang berpendapatan rendah dan miskin bagi meringankan bebanan kewangan.  

Menyedari akan kos hidup yang semakin meningkat, kerajaan juga telah bertindak meningkatkan gaji atau pendapatan pekerja sektor kerajaan di seluruh Malaysia.  

Ini memberi kekuatan emosi dan sinar harapan kepada masyarakat agar menjalani kehidupan dengan baik.

Seterusnya, kerajaan juga telah berusaha menyalurkan hampir RM20 bilion bagi melaksanakan pelbagai program bantuan untuk golongan berpendapatan rendah dan sekali gus cuba membantu menurunkan kadar kemiskinan tegar negara.  

Langkah kerajaan Malaysia menangani kemiskinan melalui pendekatan bersasar berteraskan data eKasih, dengan peruntukan RM15 bilion pada 2026 untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan semua warga Malaysia melalui Sumbangan Asas Rahmah (SARA).  

Bantuan ini  merangkumi kredit barangan asas, bantuan tunai bulanan JKM, serta pemerkasaan pendidikan (KWAPM) bagi memastikan pelajar miskin tidak tercicir.   

Fokus kerajaan ialah untuk membantu golongan B40 dan miskin yang memerlukan  bantuan subsidi bersasar yang berterusan.



Masyarakat perlu bersikap rasional dan elakkan daripada berfikiran prejudis dan kurangkan stigma bila berhadapan dengan individu yang menghadapi kesihatan mental.  Mereka perlu dibantu dan bukan dihakimi.  

Justeru itu, warga yang mengalami tekanan perlu ada jaringan dukungan sosial serta hubungan keluarga yang kuat bagi mengelakkan tindakan buruk atau kejadian yang tidak diingini.  

Adalah digalakkan seluruh isi rumah, pekerja sektor kerajaan dan swasta peka dan menjalani saringan kesihatan mental.  

Ini bagi memastikan pendekatan awal dapat dikesan, mengenal pasti akar permasalahan dengan cepat.  

Seterusnya individu tersebut boleh dirujuk kepada pakar perubatan psikologi, psikiatri atau institusi mental dan kaunselor yang bertauliah.  

Langkah pengawalan ini membantu melahirkan masyarakat yang berfikiran normal, sejahtera akalnya, waras akan tingkah lakunya serta mengurangkan jenayah pembunuhan dan kes bunuh diri.

Laporan atau liputan media perlu beretika bagi mengelakkan sensasi dan mengurangkan risiko peniruan jenayah (copy-cat crime) oleh khalayak ramai.  

Pengamal media seharusnya bersikap rasional, profesional dan menghormati hak peribadi mangsa dengan tidak melaporkan butiran secara terperinci (in detail) mengenai kes bunuh diri atau keganasan di dalam keluarga akibat tekanan mental.  

Ini bagi menjaga perasaan keluarga dan lingkungan sosial serta masyarakat yang terkesan dengan tragedi pembunuhan tersebut.  

Elakkan mensensasi laporan, liputan media demi nilai komersial. Sebaliknya, laporan seharusnya membangkitkan kesedaran dan mendidik masyarakat agar lebih prihatin dengan masalah tekanan mental atau depresi.  

Laporan media seharusnya lebih bertanggungjawab dan berempati.



Langkah bersama bagi menstabilkan pendapatan serta memperkukuh institusi keluarga dan masyarakat merupakan sosial dan kesihatan yang utama bukan sahaja mewujudkan keluarga bahagia, tetapi juga melindungi keluarga dan melahirkan masyarakat yang sejahtera.  

Permasalahan mental juga boleh berlaku akibat pengasingan atau perasaan kesepian tanpa dukungan, sokongan keluarga dan komuniti.  

Kurangkan stigma, persepsi negatif dengan melabel individu tersebut sebagai “orang gila”, “mental tidak stabil”, “mengada-ngada”, “bahaya” dan “ganas”. 

Usah mendiskriminasikan dan memprovokasi mereka yang menghadapi tekanan perasaan kerana ia akan mengundang, risiko, insiden dan perkara yang lebih buruk.  

Mereka memerlukan bukan sahaja panduan tetapi juga sokongan masyarakat agar mereka dapat menjalani kehidupan normal.  

Orang ramai boleh mengetahui tahap kesihatan mental dengan menjalani Ujian Skala Kemurungan, Kebimbangan dan Tekanan (DASS) yang disediakan melalui laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia.  

Masyarakat juga boleh melakukan saringan kesihatan mental atas talian dan memperoleh keputusan dengan segera melalui MyMinda dalam aplikasi MySejahtera. 

Individu seharusnya bijak mengurus tekanan emosi dengan baik.  Belajar mengawal emosi secara baik, berfikir positif dan jangan biarkan emosi mengawal diri kerana ia akan mengundang tekanan mental kepada diri sendiri.  

Tingkatkan komunikasi dengan berbicara dan berkongsi masalah tersebut dengan insan yang berfikiran positif, keluarga dan orang yang boleh dipercayai.   

Dapatkan bantuan khidmat nasihat dari kaunselor. Cara ini boleh memotivasi diri dengan mengurangkan stress; krisis atau beban permasalahan yang dihadapi dapat ditangani dengan sebaiknya.

Selain itu, pastikan menjaga kesihatan mental dengan optimum.  Jalani kehidupan dengan gaya hidup sihat, mengamalkan pemakanan yang seimbang, rehat yang mencukupi, bersosial, berinteraksi dengan baik sebagai terapi jiwa agar diri tidak keseorangan.  

Pendekatan agama juga penting dengan mempertingkat iman dan takwa agar jiwa kuat dan tidak kosong.  

Menghadiri ceramah yang disampaikan serta mendekatkan diri dengan Allah SWT melalui doa dan zikir. Ini dapat mengelakkan diri daripada berfikiran negatif, kusut dan putus asa sekiranya diri diuji dengan masalah.  

Pengurusan masa dan kehidupan yang seimbang dapat mengelakkan tindakan yang menyimpang, sekali gus mencorakkan emosi yang sejahtera dan mengurus tekanan atau masalah dengan pendekatan rasional serta jiwa yang tenang.

Sekiranya anda ingin mendapatkan bantuan untuk diri sendiri atau memberi sokongan kepada mereka yang memerlukan khidmat sosial boleh menghubungi:

  • Perkhidmatan Kesihatan Mental & Sokongan Psikososial (MHPSS) - di talian 03 - 2935 9935 atau 014 - 322 3392;
  • Talian Kasih - melalui aplikasi WhatsApp 019 - 261 5999 (bantuan aduan keganasan rumahtangga, penderaan dan lain-lain);
  • Talian HEAL 1555 - bagi yang memerlukan bantuan Psikososial
  • KSK-Care - JAKIM melalui aplikasi WhatsApp 0111 - 959 8214; atau
  • Befrienders - Kuala Lumpur di talian 03 - 7627 292



Tuntasnya, semua pihak iaitu kerajaan, kementerian yang terlibat, badan kebajikan dan masyarakat perlu berganding bahu menangani permasalah tekanan mental dengan ihsan dan efektif.  

Usaha menstabilkan kesihatan mental, pendapatan yang seimbang menjamin kepuasan dan keselesaan hidup bagi menyara keluarga, keselamatan rumah serta memperkukuh jaminan sosial institusi kekeluargaan dan masyarakat.  

Intervensi dan langkah yang baik perlu diteruskan bagi mengurangkan permasalahan mental dan menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia secara menyeluruh.  

Hargai keluarga dan orang yang tersayang bagi melahirkan masyarakat yang sejahtera, hormat dan lebih yakin selaras dengan gagasan Malaysia Madani. 


Norazlinda Mohammad ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka. Artikel ini adalah pandangan penulis.


11
14
0
18
0

Copy Link: