Murid ni telan buku Geografi ke? Guru terkejut! Hampir 10 pelajar jawab peperiksaan macam buku teks!
Published bySubjek Geografi sering dianggap antara mata pelajaran yang memerlukan daya ingatan tinggi kerana pelajar perlu memahami fakta berkaitan bumi, struktur alam, benua, cuaca, bentuk muka bumi serta pelbagai istilah saintifik dan kemanusiaan.
Namun di sebalik tanggapan sesetengah pelajar yang
menganggapnya susah atau membosankan, masih ramai sebenarnya yang sangat
meminati subjek ini sehingga mampu menjawab soalan peperiksaan dengan begitu
cemerlang dan tersusun.
Perkara tersebut dikongsikan oleh seorang guru
Geografi (dulunya disebut mata pelajaran Ilmu Alam) menerusi Thread apabila dia meluahkan rasa kagum terhadap jawapan anak
muridnya yang bukan sahaja tepat, malah hampir sama seperti dalam buku teks
sekolah.
Hantaran pertama dimuat naik guru berkenaan
memaparkan jawapan seorang pelajar berkaitan topik benua-benua dunia. Guru
tersebut secara berseloroh menulis:
“Murid ni telan buku geografi ke?”
Perkongsian itu kemudian menarik perhatian ramai netizen yang rata-ratanya kagum melihat cara pelajar tersebut menjawab soalan dengan begitu lengkap dan tersusun.

“Tak boleh salahkan pelajar sebab Geografi seronok,”
tulis salah seorang netizen.
Malah ada juga yang menganggap subjek Geografi lebih menarik berbanding Sejarah. “Unpopular opinion: Geografi lagi best daripada Sejarah”

Pada masa sama, ramai netizen menyifatkan perkongsian seperti itu wajar diperbanyak kerana kebanyakan kandungan tular hari ini sering memaparkan sisi negatif pelajar.
“Biasakan viral jawapan pelajar yang perform begini. Asyik viral yang jawab merapu dan voice note je. Masih ramai pelajar kita yang menghargai ilmu dan ambil berat dengan pelajaran,” ujar netizen tersebut.
Manakala dalam hantaran kedua pula, guru berkenaan berkongsi jawapan pelajar bagi topik struktur bumi untuk Bab 5 Tingkatan 1.
Dia nyata lebih teruja apabila pelajar itu berjaya memperoleh markah penuh bagi soalan tersebut.
“Ibu ayah patut bangga murid tingkatan 1 boleh dapat markah penuh bagi Bab 5 tajuk Struktur Bumi, hebat masya-Allah,” tulisnya bangga.
Perkongsian itu sekali lagi dibanjiri pujian netizen
yang menyifatkan pelajar tersebut bukan sahaja rajin mengulang kaji, malah
memahami teknik menjawab peperiksaan dengan baik.
“Obviously pelajar ni rajin ulang kaji dan tahu teknik menjawab. Bravo!”

Selain isi jawapan yang kemas, tulisan tangan
pelajar itu turut mencuri perhatian ramai kerana dianggap begitu cantik dan
menyenangkan mata guru yang memeriksa kertas.
“Tengok tulisan pun menenangkan hati guru yang
menanda,” puji netizen tersebut.
Dalam pada itu, seorang netizen berpandangan kecemerlangan
pelajar sebenarnya turut dipengaruhi cara pengajaran guru di dalam kelas.
“Cikgu pun patut bangga sebab cara pemgajaran dia bagus sampai anak minat nak ambik tahu dan belajar.”
Hantaran ketiga pula mungkin paling mengejutkan apabila guru tersebut memaklumkan hampir 10 orang pelajar di kelas sama menjawab peperiksaan dengan gaya yang hampir serupa seperti buku teks.
“Baru selesai tanda kertas peperiksaan kelas mereka.
Hampir 10 orang gaya jawapan mereka sama buku. Mereka telan buku geografi
berjemaah ke?”
Situasi itu membuatkan ramai netizen percaya
pelajar-pelajar tersebut mempunyai budaya belajar berkumpulan yang sangat baik.
“Mereka ada study berkumpulan tu. Sudah set jawapan untuk soalan sekian–sekian.”
Perkongsian guru tersebut nyata memberikan suasana
positif dalam media sosial apabila ramai netizen mula berkongsi pengalaman
masing-masing meminati subjek Geografi sejak di bangku sekolah.
Lebih menarik, ramai juga berharap lebih banyak kisah kecemerlangan pelajar seperti ini diketengahkan agar masyarakat dapat melihat masih ramai pelajar yang cintakan ilmu dan bersungguh-sungguh dalam pelajaran. Tahniah adik-adik semua! Tahniah juga kepada guru-guru! Selamat Hari Guru! - KitaReporters

