Sudah menjadi tradisi setiap tahun pada bulan Ramadan, agihan bubur lambuk dilakukan oleh pihak masjid dan individu bagi niat sedekah kepada penduduk setempat. 



Bagi Masjid Jannatul Firdaus di Kampung Jawa, Segamat, pihak masjid berjaya mengagihkan kira-kira 1,000 pek bubur lambuk setiap hari secara pandu lalu di pekarangan masjid tersebut di Kampung Jawa, Segamat bermula pada 24 Februari 2026.

Menurut Pengerusi Masjid Jannatul Firdaus, Abdul Latif Mat Som, 64, bubur lambuk dibuat dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Jannatul Firdaus dan mengagihkan pek juadah berbuka puasa secara percuma sepanjang Ramadan ini melalui program Dapur Iftar Ramadan 1447H.

"Inisiatif agihan bubur lambuk secara ‘drive thru’ atau pandu lalu ini berkonsepkan agihan makanan bermasak untuk diedarkan kepada golongan asnaf, B40, mualaf dan golongan yang memerlukan setiap hari sepanjang Ramadan.

"Menu masakan bubur lambuk yang dimasak menggunakan resepi rahsia ini disediakan secara bergotong-royong oleh 18 orang AJK Masjid Jannatul Firdaus bermula seawal pukul 7.30 pagi di dalam pekarangan masjid.


 


"Bubur lambuk masjid ini sangat istimewa kerana resepi bumbu rahsia berusia lebih setengah abad selain ia dimasak oleh kumpulan 'air tangan orang lama'. 

"Program ini merupakan sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial itu turut memberi tumpuan khas kepada golongan ‘rider’ yang memainkan peranan penting dalam ekonomi gig di Segamat, Labis dan Sekijang," katanya ketika ditemui di Kampung Jawa, Segamat. 

Tambah Abdul Latif, ramuan bubur lambuk ini seperti beras, rempah ratus, daging, kekacang serta sayuran memberikan tenaga selepas seharian berpuasa. 

"Inisiatif itu merupakan simbol komitmen berterusan pihak masjid dalam menyantuni masyarakat khususnya warga kurang berkemampuan.



"Usaha ini adalah salah satu cara pihak masjid untuk menyumbang semula kepada masyarakat melalui tabung masjid. 

"Pada masa yang sama, kita mahu orang ramai kembali ke masjid pada bulan Ramadan ini dalam menyemarakkan semangat gotong-royong dalam bulan penuh barakah ini. 

"Bagi pengunjung yang inginkan merasai kelainan bubur lambuk ini mereka boleh hadir secara 'walk in' selepas waktu asar namun berdasarkan siapa cepat dia dapat," kongsinya.


 

Inisiatif ini perlu dipuji kerana orang yang memerlukan tahu ke mana arah tuju bagi mendapatkan makanan bagi berbuka pada bulan puasa ini. 

Tabung masjid yang didermakan orang ramai dapat disumbangkan semula kepada komuniti setempat dan dapat dipanjangkan sebagai sedekah jariah kepada yang memerlukan terutama pada bulan puasa ini. - KitaReporters

 

 

15
18
0
9
0

Copy Link: