Demi dapatkan duit kertas baharu! Untuk dijadikan duit raya! Ramai beratur panjang di depan bank!
Published byKehangatan sambutan Hari Raya Aidilfitri kian terasa. Kurang daripada beberapa hari lagi, umat Islam di seluruh dunia bakal menyambut hari lebaran tersebut setelah sebulan menjalani ibadah berpuasa.
Penulis terkejut apabila baru-baru ini terlihat satu barisan yang panjang, sejauh kira-kira 200-300 meter panjangnya, di luar sebuah premis bank.
Setelah disiasat rupanya, orang ramai beratur panjang untuk mendapat giliran penukaran wang kertas baharu untuk dibuat duit raya. Penulis tidak menyangka sehingga begitu sekali panjangnya pelanggan beratur di luar premis bank berkenaan.
Ada antara orang ramai ini sanggup membayar upah kepada orang lain untuk mengelakkan beratur panjang di bank bagi mendapatkan wang kertas baharu sebagai persediaan untuk dijadikan duit raya bagi tetamu yang hadir nanti khususnya kanak-kanak pada raya nanti.

Penulis sempat menemu ramah seorang daripada orang ramai tersebut, Hashim Abdul Ghaffar, 56, yang berkongsi pengalaman beratur lebih dua jam di luar premis bank tersebut.
“Saya datang seawal pukul 7 pagi, kemudian saya meletakkan kenderaan saya dan mula beratur kira-kira pukul 8 pagi. Saya ingat saya yang paling awal. Rupanya ada yang awal lagi.
"Bank hanya buka pukul 10 pagi. Jadi suka atau tidak, kami terpaksa menunggu dua sehingga tiga jam hanya untuk mendapatkan wang kertas baharu.
“Saya juga baru dapat menukar duit baharu selepas beberapa percubaan di beberapa bank yang lain,” katanya ketika ditemui di Bandar Segamat.
Selain itu, Normah Hassan, 63, turut berkongsi pandangan bila melihat ramai warga emas turut beratur panjang dalam cuaca yang panas pada bulan puasa.
"Saya pergi melihat sendiri dan berasa kasihan terutama terhadap warga emas yang terpaksa berdiri beberapa jam sebelum bank dibuka dan urusan selesai.
"Ramai sungguh orang datang tukar duit raya. Jadi, bertabahlah dekat empat jam lebih juga nak sampai giliran," kongsinya.

Waktu operasi bank bagi penukaran nota wang kertas yang baharu
bermula seawal pukul 10 pagi sehingga 1 tengah hari sahaja.
Waktu yang diperuntuk ini difikirkan terlalu singkat bagi orang ramai untuk membuat urusan beratur dan penukaran wang ini di premis bank.
Rata-rata orang ramai berharap bank-bank tidak menetapkan
waktu had penukaran wang kertas bagi setiap pelanggan kerana jumlah pelanggan
yang hadir di bank sangat ramai sehingga terpaksa beratur di luar premis. - KitaReporters
