Ramadan Berkat! 7,440 keluarga asnaf terima bantuan Islamic Relief! Di Malaysia dan luar negara!
Published byRamadan adalah bulan yang penuh keberkatan, di mana umat Islam digalakkan untuk menggandakan ibadah serta memperbanyak amalan kebajikan termasuk bersedekah dan membantu mereka yang memerlukan.

Program agihan pek makanan MySedekah Ramadan di Sarikei, Sarawak.
Dalam kegembiraan menyambut bulan mulia ini, Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) terus memastikan golongan kurang berkemampuan turut merasai keberkatan Ramadan melalui pelbagai program bantuan Ramadan yang dilaksanakan di dalam dan luar negara.
Pada tahun 2026 ini, IR Malaysia telah menyalurkan bantuan kepada 5,070 keluarga di seluruh negara melalui beberapa inisiatif termasuk MySedekah Ramadan, Ramadhan Relief dan MySinggah Ramadan.
Setiap keluarga menerima pek makanan atau baucar tunai yang disesuaikan mengikut lokasi dan keperluan masing-masing, bagi memastikan bantuan yang diberikan benar-benar memberi manfaat kepada penerima.
Pada peringkat antarabangsa pula, sebanyak 2,370 keluarga telah mendapat manfaat melalui bantuan Ramadan IR Malaysia setakat ini.
Daripada jumlah tersebut, 500 keluarga di Gaza, Palestin menerima hidangan iftar, manakala 100 keluarga di Sudan, 770 keluarga di Indonesia dan 1,000 keluarga di Filipina menerima sumbangan pek makanan.
Agihan pek makanan MySedekah Ramadan di Sudan.
Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, Siti Fadilah Mohd Hood berkata, program bantuan Ramadan dilaksanakan oleh rangkaian Islamic Relief di seluruh dunia setiap tahun bagi membantu golongan rentan.
“Kami berusaha memastikan komuniti yang memerlukan, sama ada di Malaysia mahupun di negara-negara yang terjejas akibat konflik dan krisis kemanusiaan, dapat menjalani ibadah Ramadan dengan bekalan keperluan asas yang mencukupi.
“Kami amat bersyukur atas sokongan penaja korporat dan penderma individu yang membolehkan kami menjangkau ribuan keluarga pada tahun ini.
“Bantuan ini bukan sahaja meringankan beban mereka, malah memberi semangat dan harapan untuk menyambut Ramadan dengan lebih tenang dan bermakna,” katanya.

Siti Fadilah Mohd Hood menyampaikan sumbangan baucar tunai MySedekah Ramadan kepada penerima di Ipoh, Perak.
Sementara itu, salah seorang penerima manfaat bantuan pek makanan Ramadan, Faridah, 70, dari Melaka berkata, sumbangan pek makanan yang diterimanya benar-benar memberi kelegaan dan membantu meringankan beban kehidupannya.
“Mak cik ni ibu tunggal. Dalam usia begini, mak cik masih lagi ambil upah buat kerja-kerja kampung macam bersihkan rumah orang dan cuci kereta di ‘car wash’.
“Upah yang dapat itulah mak cik guna untuk tampung belanja mak cik dan anak. Pernah juga beberapa hari tak ada orang panggil kerja, jadi mak cik hanya makan ikan bilis campur bawang dan cili saja untuk alas perut.
“Mak cik ucapkan banyak-banyak terima kasih. Mudah-mudahan orang yang beri bantuan ini, bersama keluarga mereka, sentiasa sihat dan dimurahkan rezeki untuk menunaikan haji dan umrah,” kongsinya.
Pelaksanaan projek ini turut dibantu oleh para sukarelawan yang memainkan peranan penting dalam memastikan proses agihan bantuan berjalan lancar di lokasi-lokasi terlibat.
Faridah berkongsi kisah hidupnya dan bersyukur dengan bantuan pek makanan yang diterima.
Seorang sukarelawan, Allysha, pelajar tahun dua Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, penglibatannya dalam program MySinggah Ramadan pada 7 Mac 2026 di Masjid Kariah Bangi merupakan pengalaman pertamanya menyertai program kemanusiaan.
“Hari ini saya berpeluang menziarahi empat buah rumah dan menyampaikan sumbangan. Keadaan setiap rumah yang saya kunjungi memang daif dan serba kekurangan.
“Pengalaman ini membuka mata dan memberi pengajaran kepada saya. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada dan tolong orang yang kita perlu.
“Semoga bantuan yang diberikan sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka untuk berpuasa dan menyambut Aidilfitri,” katanya.
Allysha (empat dari kiri) dan rakan-rakan FEP UKM bergambar bersama Dato' Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah IR Malaysia (lima dari kanan) dalam program MySinggah Ramadan.
IR Malaysia merakamkan penghargaan kepada penaja-penaja termasuk Maybank Islamic Berhad (Maybank Islamic), Yayasan Sime Darby (YSD), Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (ANSARA Malaysia), serta semua penyumbang kempen MySedekah Ramadan.
Sokongan mereka memainkan peranan penting dalam memastikan program bantuan ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan memberi manfaat kepada lebih ramai keluarga yang memerlukan.
Kempen MySedekah Ramadan terus menjadi salah satu platform penting bagi masyarakat untuk bersama-sama menyebarkan kebaikan dan semangat kebersamaan sepanjang bulan Ramadan.
IR Malaysia komited untuk meneruskan usaha-usaha kemanusiaan ini bagi memastikan lebih ramai keluarga yang memerlukan terus mendapat sokongan, khususnya pada bulan yang penuh kemuliaan. - KitaReporters/Kenyataan Media
