Forum Dialog Bahrain! Dr Zulkifli Al-Bakri wakili Malaysia! Bincang kewujudan bersama dengan aman!

Published by
KitaReporters

Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (kanan) disambut oleh urus setia forum yang juga wakil kerajaan Bahrain dan turut diiringi Shazryll Zahiran. - Kredit foto: FB Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri


SENATOR Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berada di Manama, Bahrain pada 2 November 2022 untuk memenuhi jemputan Presiden Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam Bahrain, Shaikh Abdulrahman bin Mohammed bin Rashid Al-Khalifa, ke Forum Dialog Bahrain dengan tema “East and West for Human Coexistence”.

Ketibaan beliau disambut oleh urus setia forum  yang juga wakil kerajaan Bahrain. Turut bersama Duta Besar Malaysia di Bahrain, Shazryll Zahiran serta pegawai kedutaan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri


Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri membentangkan kertas kerja dalam Forum Dialog Bahrain yang dianjurkan secara bersama oleh Majlis Hukama Muslimin dan King Hamad Global Centre for Peaceful Coexistence di Isa Cultural Centre pada 3 Nov 2022 . - Kredit foto: FB Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri


Forum yang dianjurkan secara bersama oleh Majlis Hukama Muslimin dan King Hamad Global Centre for Peaceful Coexistence tersebut telah dirasmikan oleh Raja Bahrain, Al-Malik Hamad bin Isa Al-Khalifa.

Datuk Dr. Zulkifli diberi penghormatan untuk membentangkan kertas kerja berhubung fiqh dan praktikal kewujudan bersama dengan aman (peaceful co-existence) di Malaysia dalam forum berkenaan.

Forum ini menghimpunkan tokoh ulamak, para pemimpin pelbagai agama dan pemimpin politik seluruh dunia bagi membincangkan usaha mempromosikan toleransi beragama, keamanan, isu perubahan iklim dan sekuriti makanan pada peringkat global. 

Antara tetamu kehormat yang hadir adalah Syeikhul Azhar, Fadhilatul Imam Al-Akbar Prof. Dr. Ahmed Al-Tayeb.

Dalam kunjungan tersebut Dr Zulkifli turut mengunjungi Kedutaan Malaysia di Manama, Bahrain dan bertemu diaspora Malaysia di Bahrain.



Sementara itu, pada 4 November 2022, beliau menghadiri Mesyuarat Tetap Majlis Hukama Muslimin kali ke-16 yang dipengerusikan oleh Syeikhul Azhar, Fadhilatul Imam Al-Akbar Prof. Dr. Ahmad El-Tayeb selaku Pengerusi Majlis Hukama Muslimin.

Hubungan yang erat antara Datuk Dr. Zulkifli dengan organisasi-organisasi Islam di dunia Arab serta penglibatan beliau secara aktif dalam pelbagai persidangan, forum, dan keanggotaan peringkat antarabangsa menzahirkan keyakinan tinggi oleh dunia luar kepada Malaysia dalam menyampaikan sumbangsaran kepada kemajuan dunia Islam, dan menjadi model negara umat Islam contoh pada peringkat global. - KitaReporters



Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri bertemu sahabatnya, Presiden Organisasi Eropah bagi Pusat-Pusat Islam di Geneva, Switzerland,  Syeikh Mehadjri Ziane yang turut hadir sempena Forum Dialog Bahrain di Manama, Bahrain. - Kredit foto: FB Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri 

9
18
0
11
0

Copy Link: