Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU)


MALIKA Amiri, 21, seindah nama secantik rupa parasnya. Bibirnya merah dioles gincu dan pipi merah jambu itu menambah seri wajahnya. 

Namun di sebalik wajah cantiknya itu masih tersimpan kisah sedih kerana tempat kelahirannya adalah Kabul, Afghanistan yang kini diperintah oleh puak Taliban sejak Ogos 2021.

Jangan katakan bersolek, untuk keluar rumah juga sesuatu yang tabu (larangan) untuk wanita Afghanistan apatah lagi bersuka ria.

Namun kebebasan sebenar untuk Malika adalah peluang untuknya melanjutkan pengajiannya ke peringkat lebih tinggi dan gadis ini sangat bersyukur kerana peluang itu menjelma di bumi bertuah ini.

“Saya agak bertuah kerana sempat menamatkan pengajian pada peringkat sekolah menengah pada 2019 sebelum Taliban mengambil alih Afghanistan. Pada 2021 saya menerima tawaran untuk belajar di Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU).

“Walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga saya terima tawaran ini kerana ini sahaja satu cara untuk saya sambung pengajian. Di Afghanistan, kami perempuan tidak dapat berbuat demikian,” katanya.


Malika Amiri (kanan) dan Fawzia Khoda Rahim bertuah dapat melanjutkan pengajian di Malaysia. 


Gadis ini ditemui pada satu program bakti siswa di penempatan Desa KEDA, Seberang Paya Kercut di Alor Setar, Kedah pada 14 Januari 2024 lepas.

Mahasiswa jurusan Sains Komputer itu juga memberitahu, bukan mudah untuknya ke Malaysia kerana Taliban melarang wanita untuk ke luar negara tanpa mahramnya.

“Jadi saya terpaksa ditemani bapa saya ke Iran dahulu sebelum saya berlepas ke Malaysia ketika itu,” katanya.

Malika mempunyai harapan yang tinggi untuk menamatkan pengajiannya di AIU dan berharap untuk pulang ke tanah airnya semula bagi berbakti.

“Namun saya tidak tahu bagaimana itu akan menjadi realiti kerana Taliban melarang wanita untuk bekerja dan wanita juga tidak akan selamat jika berani melakukan perkara yang dilarang itu.

“Saya berdoa keadaan akan berubah juga satu hari nanti dan saya dapat pulang bekerja di sana. Atau mungkin saya akan bekerja di sini sahaja atau negara lain sementara waktu,” katanya yang ingin menceburi bidang teknologi maklumat.


Malika Amiri memeluk seorang kanak-kanak kerana merindui adiknya di Kabul, Afghanistan sambil diperhatikan oleh Fawzia Khoda Rahim (kanan).


Hal yang sama dikongsi oleh rakan senegaranya, Fawzia Khoda Rahim, 21, yang memberitahu dia sangat bersyukur kerana dapat belajar di Malaysia yang aman damai.

“Kerana ilmu saya redah semua ini walaupun ada kalanya saya sangat merindui keluarga di Kabul. Sudah dua tahun di Malaysia dan tidak bertemu dengan keluarga.

“Saya cuba menikmati kehidupan di sini sebaik mungkin dan menikmati rahmat yang Tuhan berikan iaitu kebebasan walaupun saya mungkin tidak berpeluang kembali ke Kabul lagi.  

"Jika saya kembali saya mungkin hidup seperti dahulu terkongkong kerana di sana banyak larangan untuk perempuan seperti kami. Puak Taliban tidak akan membenarkan semua itu. 

"Selepas habis pengajian mungkin kami akan menetap di Malaysia atau negara lain untuk bekerja,” katanya.

AIU yang diasaskan oleh bilionair Tan Sri Syed Mokthar Albukhary itu kini menempatkan sebanyak 1,126 mahasiswa dari 60 negara termasuk dari negara bergolak yang ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Albukhary. - KitaReporters

11
13
0
8
0

Copy Link: