Tular dalam media sosial mengenai kehilangan seorang warga emas bernama Yaacob Lateh, yang dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak 4 Julai 2021.


MISTERI kehilangan seorang warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Lubuk Kawah, dekat Jertih, Terengganu, masih menjadi teka teki, meskipun sebuah motosikal miliknya sudah ditemukan kira-kira 15 kilometer dari kampung tersebut.

Mangsa, Yaacob Lateh, 83, dilaporkan tidak pulang selepas keluar bersendirian dengan sebuah motosikal kira-kira 8.30 pagi Ahad 4 Julai 2021.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kehilangan

Penduduk sudah menemukan motosikal milik mangsa.


Yaacob Lateh



Yaacob, yang mengalami masalah lemah daya ingatan, dikatakan keluar rumah dengan menunggang motosikal Modenas Kriss berwarna hitam dengan memakai kemeja-T lengan panjang kuning, kain pelikat dan kopiah.

Kehilangan warga emas berkenaan mendapat perhatian penduduk setempat selepas tular dalam media sosial yang memohon orang ramai mendoakan keselamatan Yaakob.

Berikutan kehilangan warga emas tersebut operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini tertumpu di kawasan hutan Kampung Bukit Mali dekat Bukit Payong, Hulu Besut.


Motosikal milik Yaacob ditemukan di Kampung Bukit Mali, Hulu Besut


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad ketika mengesahkan perkara itu berkata, ia susulan penemuan motosikal dinaiki mangsa oleh orang awam di tepi jalan di kawasan itu pada kira-kira 5 petang Isnin 5 Julai 2021. 

Katanya, motosikal Modenas Kriss yang ditunggang mangsa itu ditemukan kira-kira tiga kilometer dari jalan utama oleh orang awam yang kebetulan melalui jalan tersebut.

“Motosikal ditemukan dalam keadaan terbalik dan terdapat sepasang selipar berhampiran dipercayai milik mangsa dan mangsa dipercayai berjalan kaki untuk keluar dari kawasan tersebut,” katanya.


Abdul Rozak Muhammad


Anggota polis bersama sekor anjing pengesan turut digunakan dalam pencarian Yaacob.


Abdul Rozak berkata, operasi SAR yang bermula 9 pagi pada Selasa 6 Julai 2021 turut membabitkan Unit Anjing Pengesan Polis Diraja Malaysia (K9), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan penduduk kampung. 

Katanya, sehingga kini pasukan SAR masih gagal menemukan mangsa atau mendapat petunjuk terbaharu.

“Mangsa juga dipercayai dalam keadaan lemah kerana faktor usia dan polis tidak menolak kemungkinan mangsa masih belum makan,” katanya kepada media selepas pelancaran program Op Bantu di Perumahan Awam Pelagat Tiga, Seberang Jertih, pada Rabu 7 Julai 2021.

Beliau berkata, radius pencarian membabitkan 55 anggota penyelamat akan diperluas namun keadaan di lokasi yang berbukit dan belukar (yang terdapat di kawasan terbabit) agak menyulitkan pergerakan. - KitaReporters


Operasi mencari Yaacob di hutan Kampung Bukit Payong, Hulu Besut

6
2
55
2
2

Copy Link: