MENJELANG hari Raya Aidiladha tiba tidak lama lagi, program Free Market BBBC kembali, kali ini sempena Aidiladha, nyata membawa sinar kepada orang ramai terutama golongan yang memerlukan apabila ribuan pengunjung hadir mendapatkan pelbagai barangan percuma termasuk pakaian, buku, kasut, permainan kanak-kanak dan keperluan harian lain.


Free Market BBBC membolehkan sesiapa sahaja mengambil barangan yang disediakan termasuk pakaian secara percuma.



Diadakan pada Sabtu, 9 Mei 2026 lalu, Program bersama Free Market Bandar Baru Bangi Community (BBBC), Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 16, DUN Penyelaras Sungai Ramal, Pengurusan Kompleks PKNS, Pusat Wanita Berdaya (PWB) Sungai Ramal, dan Persatuan Usahaniaga Kompleks PKNS bukan sekadar medan kebajikan malah membuktikan semangat prihatin dan budaya berkongsi masih subur dalam komuniti walaupun keadaan ekonomi semasa tidak menentu.

Penyelaras DUN Sungai Ramal, Mazwan Johar berkata, program Free Market diwujudkan khusus bagi membantu rakyat terutama golongan memerlukan mendapatkan barangan secara percuma.


Pejabat bergerak DUN Sungai Ramal membolehkan orang ramai membuat semakan dan pendaftaran pengundian selain mendaftar untuk khairat kematian.


Beliau berkata, melalui Free Market semua barangan diberikan seratus peratus percuma tetapi program kali ini turut mengadakan aktiviti Jualan Ehsan Rahman (JER) yang menawarkan harga sehingga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.

“Program Free Market juga termasuk dalam konsep kitar semula kerana ramai mempunyai barangan lama yang masih elok tetapi tidak digunakan lagi. Daripada dibuang, lebih baik dibersihkan dan diberikan kepada orang lain yang memerlukan.

“Kadangkala kita tidak sedar ada keluarga yang benar-benar memerlukan pakaian, buku atau barangan asas untuk kegunaan harian mereka,” katanya ketika ditemui portal berita Kitareporters.com di Kompleks PKNS, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Melalui kerjasama itu, pihaknya menyediakan pelbagai kemudahan termasuk khemah dan bantuan publisiti bagi memastikan penyumbang dapat membuka booth dengan selesa selain menarik lebih ramai pengunjung hadir.


Mazwan Johar


"Program seperti itu wajar diteruskan secara berkala terutama menjelang musim perayaan dan sesi persekolahan kerana ketika itu ibu bapa amat memerlukan bantuan bagi menyediakan kelengkapan keluarga dan anak-anak.

“Bila ada program seperti ini, kita harap masyarakat datang beramai-ramai dan mengambil manfaat bersama. Kita tidak boleh bergerak secara individu kerana program kebajikan perlu melibatkan komuniti secara menyeluruh,” katanya.

Mazwan berkata, sempena Free Market kali ini, pihaknya turut menggabungkan program JER yang menawarkan potongan harga sehingga 30 peratus bagi keperluan harian seperti ikan, ayam, daging, telur dan sayur-sayuran.

"Subsidi itu disediakan kerajaan negeri dan disalurkan ke setiap DUN bagi membantu mengurangkan beban rakyat yang semakin terkesan dengan kenaikan kos sara hidup.


Penyumbang turut memberi pelbagai jenis buku bacaan kepada orang ramai secara percuma. 


Sesiapa pun boleh mengambil barangan yang disediakan di Free Market secara percuma, cuma minta dengan baik dan memberi salam.


"Lebih memburukkan keadaan, konflik yang berlaku di Asia Barat memberi kesan tidak langsung kepada ekonomi rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

“Disebabkan itu, kerajaan negeri melalui DUN Sungai Ramal menyediakan bantuan bakul makanan kepada golongan asnaf dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Pertubuhan Wanita Berwibawa (PWB).

“Namun, kita perlukan data yang tepat supaya bantuan benar-benar sampai kepada golongan sasaran terutama asnaf dan keluarga yang benar-benar memerlukan,” katanya.


Bubur kacang dan air balang turut disediakan percuma kepada orang ramai yang hadir pada Free Market Aidiladha di parkir Kompleks PKNS Bangi, Selangor. 


Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menyediakan kenderaan bergerak sempena Free Market Aidiladha BBBC pada Sabtu, 9 Mei 2026.


Sementara itu, Pengasas Bersama Free Market BBBC, Khansa’ Zulkiflee berkata, program kali ini menerima sambutan luar biasa apabila lebih 54 kenderaan penyumbang hadir dari sekitar Bangi, Semenyih malah ada yang datang dari Port Dickson, Negeri Sembilan. 

Beliau berkata, seramai 24 sukarelawan digerakkan bagi membantu melancarkan perjalanan program selain mengawal kesesakan pengunjung yang hadir sejak awal pagi.

“Program sepatutnya bermula jam 8 pagi pada 9 Mei 2026 itu, tetapi seawal 7.30 pagi ramai sudah datang dan banyak barangan juga cepat habis. Setakat ini kita anggarkan lebih 1,500 pengunjung hadir.

“Kita juga menerima maklum balas positif kerana ramai yang berminat menjadi penyumbang pada masa akan datang dan ini menunjukkan masyarakat masih mempunyai semangat berkongsi yang tinggi,” katanya.

Free Market turut disertai klinik kesihatan, pusat pengajian tinggi, PWB, GiatMARA, UiTM, OUM dan KPTM selain KUMON. 

Air Balang Cendol Mak Leenda, Adab Youth Garage, Taski ABIM, MZ Agro Farm dan dan Bakeri Yana yang hadir pula mempromosikan pelbagai program pendidikan dan pembangunan belia.


Khansa’ Zulkiflee 


"Ada juga unit bergerak hasil MPKj bagi memudahkan orang ramai membuat pembayaran cukai taksiran selain pejabat bergerak DUN Sungai Ramal yang membantu orang ramai membuat pendaftaran pengundi dan mendaftar untuk khairat kematian.

"Kami juga berterima kasih kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) yang hadir untuk perpustakaan bergerak selain tim kitar semula minyak masak, dan jualan daging harga rahmah," katanya. 

Beliau berkata, pihak penganjur tidak menetapkan jenis barangan tertentu untuk disumbangkan asalkan masih dalam keadaan baik dan bukan barangan terlarang.

“Sempena Aidiladha, kami memang mengutamakan pakaian kerana ramai keluarga mahu menyediakan pakaian yang elok untuk anak-anak tetapi ada yang tidak mampu membeli baharu.


Mazwan Johar (tujuh dari kiri) bergambar kenangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif  PWB, Siti Faridah Abdul Samad (enam dari kiri) dan penerima bakul makanan sempena Free Market Aidiladha di Kompleks PKNS Bangi, Selangor.


“Konsep Free Market sangat mudah, sesiapa sahaja boleh ambil barangan secara percuma tetapi kita minta mereka beri salam, minta dengan sopan dan elakkan berebut,” katanya.

Menurutnya, program itu bukan sahaja membantu golongan memerlukan, malah menjadi platform terbaik menggalakkan budaya memberi dalam masyarakat selain mengurangkan pembaziran.

Katanya, ramai sebenarnya mempunyai lambakan pakaian dan barangan di rumah tetapi tidak tahu hendak disalurkan ke mana sehingga ada yang membuang begitu sahaja.

“Kalau kita lihat tong pakaian atau tong kitar semula di tepi jalan, banyak yang penuh dan melimpah. Keadaan itu bukan sahaja mencacatkan pemandangan tetapi boleh menyebabkan pencemaran.

“Sebab itu Free Market bukan sekadar program kebajikan tetapi usaha membina masyarakat lebih prihatin, saling membantu dan menghargai nilai barangan yang masih boleh digunakan,” katanya. - KitaReporters


Ahli Majlis Zon 16 MPKj, Bukhari Bachok (lima dari kiri) dan Pengasas Bersama Free Market BBBC, Kelana Putra Muhamad (empat dari kiri) bergambar kenangan bersama pengunjung dan sukarelawan Free Market Aidiladha.

21
16
0
6
0

Copy Link: