BUSANA ciptaan Ziddaini Putra Tazit (gambar bawah) menampilkan konsep kemerdekaan berasaskan masyarakat majmuk Malaysia. 



Terdapat pelbagai cara rakyat Malaysia menzahirkan kecintaan terhadap negara terutama apabila meraikan sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan pada setiap 31 Ogos mahupun Hari Malaysia yang jatuh pada 16 September setiap tahun.

Bagi Ziddaini Putra Yazit, 45, sambutan Hari Kebangsaan ke-66 pada tahun ini (2023) memberi makna tersendiri apabila beliau berjaya merealisasikan impiannya untuk mereka cipta busana yang berkonsepkan kemerdekaan berasaskan masyarakat majmuk Malaysia.

Bermodalkan RM5000, Ziddaini berjaya menyiapkan sembilan pasang baju yang menampilkan identiti pelbagai kaum utama negara ini yang diperagakan oleh sembilan model cilik.

Selain pakaian tradisi Melayu, beliau turut berjaya menyiapkan busana berkonsepkan masyarakat Cina, India, Kadazan Dusun, Iban serta tentera dan angkasawan.


ADIK Farisha Errina menggayakan busana berkonsepkan Puteri Perak.  


PAKAIAN sari yang mewakili kaum India diperagakan oleh Adik Firra Ilfinna. 


Idea untuk mencipta busana untuk meraikan kemerdekaan tercetus apabila Ziddaini diminta oleh anak saudaranya, Muhammad Fahmi Zafry Zuhair Putra dan Nur Zea Faradina Zuhair Putra supaya mereka cipta pakaian untuk mereka peragakan pada hari sambutan kemerdekaan ke-65 sekolah masing-masing pada tahun 2022.

“Memandangkan ketika itu masa agak suntuk, saya tidak dapat mencari bahan diperlukan bagi menyediakan konsep diinginkan. Walaupun saya dapat menyiapkan busana yang diminta tapi saya tidak berpuas hati dengan penghasilannya.

“Saya yakin saya boleh buat lebih baik daripada itu jika mempunyai masa yang cukup walaupun sebenarnya saya tidak memiliki kepakaran sama ada dalam bidang rekaan fesyen mahupun jahitan,” ujar Ziddaini.

Beliau yang kini menjalankan perkhidmatan gubahan barangan hantaran perkahwinan serta dekorasi pelamin adalah lulusan Sarjana Muda Pengurusan dan Teknologi Pejabat, Universiti Teknologi Mara (UiTM).


ADIK Muhammad Al-Fateh segak bergaya dalam busana pahlawan. 


JASA anggota tentera dikenang melalui rekaan busana ciptaan Ziddaini yang diperagakan oleh Adik Muhammad Fahmi Zafry.


Namun, minatnya yang mendalam pada kerja-kerja seni tangan menyebabkan Ziddaini lebih selesa menceburi bidang berkaitan malah menganggap penyediaan busana sambutan kemerdekaan adalah sesuatu yang kena dengan jiwanya walaupun mencabar.

Justeru, sejak September 2022, beliau mula merancang, mengumpul bahan serta mencari rakan-rakan yang mahu bekerjasama untuk menterjemahkan impiannya mencipta busana bagi menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-66, tahun ini (2023).

“Selain kerana minat, ini adalah cara saya meraikan ulang tahun kemerdekaan serta menzahirkan kecintaan kepada negara selain memupuk semangat yang sama kepada kanak-kanak melalui busana yang saya cipta,” katanya.

Walaupun, konsep dan idea semua busana ini adalah hasil ilham Ziddaini namun ia tidak mungkin mampu disiapkan tanpa kepakaran insan-insan yang sedia berganding bahu bersamanya. 

Apa yang menarik, sebelum ini, mereka tidak saling mengenali tapi akhirnya mampu membentuk satu pasukan untuk sama-sama menjayakan projek berkenaan.


BUSANA etnik Iban menggambarkan kepelbagaian kaum di Malaysia, cantik digayakan oleh Adik Nur Zea Faradina.


 ADIK Norinsyirah Najihah anggun menggayakan busana Kadazan Dusun.


“Saya hanya mengenali mereka melalui carian menerusi media sosial atau atas cadangan kawan-kawan. Setiap mereka mempunyai kepakaran tersendiri, contohnya dalam bidang sulaman, tanjak serta penyediaan busana untuk pelbagai kaum dan etnik. Saya sangat bersyukur kerana mereka sanggup sama-sama menjayakan projek ini walaupun tidak saling mengenali.

“Pada awalnya saya bercadang sediakan hanya dua busana namun memandangkan ramai yang bersedia membantu, kami akhirnya berjaya siapkan sembilan busana. Secara keseluruhan, kami menggunakan 30 meter kain.

“Walaupun saya terpaksa menggunakan duit poket sendiri namun kepuasan yang saya dapat melalui projek ini tidak mampu diukur dengan wang ringgit. Sebagai rakyat Malaysia, saya berbangga dapat menyumbang sesuatu bagi memeriahkan sambutan hari kemerdekaan,” ujarnya.


ADIK Noriqram Nabih memperagakan busana lelaki masyarakat Tionghua yang dikenali sebagai samfu.


ADIK Nur Darwisyah Helena memperagakan busana wanita masyarakat Toinghua yang dikenali sebagai hamfu.


Menurut Ziddaini, hasil kerjanya itu kemudian dimuat naik ke pelbagai medium media sosial dan beliau menerima maklum balas yang sangat positif daripada rakyat Malaysia sehingga ada yang menawarkan untuk membeli atau menempah busana berkenaan.

“Tapi, saya tidak berniat untuk mengkomersialkannya kerana saya anggap busana ini adalah hak eksklusif saya. Begitupun saya bersedia untuk menyewakannya kepada mana-mana pihak yang berminat untuk tujuan majlis tertentu,” kata Ziddaini.

Lebih membuatkan Ziddaini teruja adalah apabila mereka dijemput untuk sama-sama berada di atas pentas sempena Hari Malaysia yang akan disambut di Dataran Merdeka pada 16 September ini.

“Ini adalah satu pengiktirafan pada usaha saya dan akan jadi kenangan seumur hidup. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu merealisasikan impian saya untuk mencipta busana kemerdekaan,” kata Ziddaini. -KitaReporters

ADIK Firdaus Akram segak dengan busana angkasawan.


Penghargaan: 

Idea & Konsep: Ziddaini Putra Yazit

Penyediaaan Busana: Puteri Perak - Wan Azwade Ahmad, Pahlawan - Noor Fadiana Baharom, Hamfu dan Samfu - Fatimah Abdullah, Sari - Vanisha Tailor, Ngepan Iban - Mohd Faikrul Izzat Putit, Kadazan Dusun - Liza Iskandar, Seragam Askar - Mohd Shah b. Mohtar, Angkasawan - Jamaliah Mohd. Sidek, Cef - Norlee Manaf, Tanjak: Lang Menyongsong Angin N.Sembilan - Mohd Sherz, Gajah Gemulong - Fadzil Azwan Mohamad Nan.

Aksesori dan prop: Ngepan iban - Flora Anak Anot, Pahlawan, askar - Hazreen Muhamad, Askar - Rithduan Muhammad, Solekan: Nurul Asyikin Mesli, Raudhah binti Daud, Fotografi: Muhammad Ikmal Mokhzani, Muhammad Afiq Masrizal, Videografi: Syahmie.

Model kanak kanak: Puteri Perak - Farisha Errina Mohd. Faizal, Pahlawan - Muhammad Al- Fateh Fadzil Azwan, Hamfu - Nur Darwisyah Helena Shahril Firdaus, Samfu - Noriqram Nabih Norhisham, Sari - Firra Ilfinna Mohd Faizal, Ngepan Iban - Nur Zea Faradina Zuhair Putra, Kadazan Dusun - Norinsyirah Najihah Norhisham, Askar - Muhammad Fahmi Zafry Zuhair Putra, Angkasawan - Firdaus Akram Mohd. Shukri. 

20
13
0
8
0

Copy Link: