NORLIDA Abu Hassan menangis sambil kedua-dua belah tangannya memegang bantal busuk dan dia sedang dipujuk oleh suaminya pada 31 Januari 2021.


BANTAL busuk yang biasa menemani tatkala arwah Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek, 7,  tidur setiap malam tiba telah mengiringinya pada hari pengebumian jenazahnya dalam suasana kesedihan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Kampung Simpang Bekoh, Jasin, Melaka pada petang 1 Februari 2021.

Bantal yang menjadi kenangan abadi itu dibawa oleh ibu angkat Amir, Norlida Abu Hassan, 50, ke tanah perkuburan itu sebagai mengenangkan sepanjang hidup anak angkat kesayangan itu yang tidak dapat berpisah dengan bantai itu sewaktu tidur.


Lagi kisah-kisah duka berkaitan penderaan:

https://kitareporters.com/search?search=penderaan


ARWAH adik Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek. - Kredit Foto : ihsan Pembaca


Semasa tinggal bersama Norlida, bantal tersebut adalah mainan Amir dan sebelum tidur biasanya arwah akan memeluk serta mencium bantal itu dan sekiranya tidak berbuat demikian dia seolah-olah tidak dapat tidur dengan lena. 

Norlida yang memanggil dirinya ummi, manakala Amir pula dipanggil adik memberitahu media, ketika dia (adik) sedang lena tidur biasanya bantal busuk itu sentiasa berada di sisinya atau dipeluk dalam dakapannya. 

Menurutnya, dia membawa bantal itu di tanah perkuburan tersebut sebagai mengenangkan Amir  pernah tinggal bersama keluarganya dengan bantal kesayangannya  serta melepaskan rindunya buat kali yang terakhir terhadap anak angkat itu yang dianggap seperti anak kandungnya sendiri. 


SELEPAS kematian adik Amir, Norlida tidak jemu-jemu membawa bantal busuk itu kemana sahaja dia pergi. - Kredit foto: Berita Harian


``Kalaulah tiada bantal ini  susah sedikit adik hendak tidur sebab saya tahu perangai adik dan pernah anak-anak saya bergurau dengan menyembunyikan bantai itu lalu adik mencari merata tempat dalam rumah dan apabila tidak berjumpa dia menjerit mahukan bantal sebagai teman tidurnya. 

``Kami sekeluarga tahu adik budak baik dan dia selalu dengar cakap orang-orang tua dan kami amat menyayangi dirinya selain kami teramat sedih dengan kematiannya berpunca disyaki didera oleh ibu kandungnya sendiri,’’ katanya yang tinggal di Bukit Beruntung, Rawang, Selangor.


NORLIDA (tengah) pada tangannya tetap berada bantai busuk sebagai mengenangkan kehilangan anak angkat kesayangan itu semasa berada di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Kampung Simpang Bekoh, Jasin. - Kredit Foto : Ihsan Pembaca.


 Sebelum meninggalkan tanah perkuburan Kampung Padang Lebar itu dengan langkah yang agak lemah petang 1 Februari 2021, Norlida dengan wajah sedih berada di pusara Amir sambil  berkata, ``ummi pulang dulu ye dan insya-Allah ummi akan  selalu datang  ke sini (tanah perkuburan) dan adik duduk baik-baik dengan tenang." 

``Bukan saya seorang yang bersedih malah anak-anak saya turut terharu dengan kehilangan adik dengan cara sebegitu dan selama adik tinggal bersama hampir tujuh tahun kami cukup jaga adik dan kami tatangkan dia bagaikan minyak yang penuh,’’ katanya lagi. 

Anak syurga itu mula dipelihara oleh Norlida ketika berusia dua bulan sehingga 13 Oktober 2020 selepas ibu kandungnya mengambil semula arwah untuk tinggal bersamanya di Taman Krubong Jaya, Paya Rumput, Melaka.


VAN yang membawa jenazah adik Amir untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar selepas disolatkan di Madrasah Asy-Syakirin pada 1 Februari 2021. - Kredit Foto : Harian Metro


Walaupun ketika itu betapa berat hati Norlida serta anak-anaknya untuk melepaskan adik kepangkuan ibu kandung tetapi apa kan daya mereka tetap reda kerana ibu kandungnya adalah berhak segalanya untuk memiliki anaknya. 

Namun pada kira-kira pukul 4 petang, 29 Januari 2021 lalu, keluarga Norlida dikhabarkan berita duka bahawa Amir sudah meninggal dunia di rumah tersebut akibat mati lemas di dalam sebuah tong air setinggi 60.9 sentimeter. 

Bagaimanapun hasil siasatan awal , Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Melaka,  Asisten komisioner Mohd Sukri Kaman berkata pihaknya mengsyaki mangsa didera oleh ibu kandung dan bapa tiri mangsa pada hari tersebut.


SAAT bahagia ketika adik Amir tinggal bersama Norlida. 


Ini kerana pihak polis mendapati ada kesan lebam dan beberapa kecederaan lama serta baharu terdapat dibadan mangsa. 

Beliau berkata, pihaknya juga menemui kesan luka kecil sepanjang tiga sentimeter dibelakang kepalanya. 

``Walaupun begitu adalah terlalu awal untuk mengesahkan punca kematian mangsa dan luka kecil yang ada itu kemungkinan Amir dipukul dengan objek tumpul ataupun terjatuh di lantai,’’ katanya.


KALI terakhir adik Amir bertemu dan keluar makan bersama Norlida dan anaknya, Tuhfah Nazira ialah pada November 2020 selepas arwah tinggal bersama ibu kandungnya. - Kredit Foto : mStar


Berikutan dengan kejadian itu, ibu kandung yang berumur 32 tahun serta bapa tiri Amir berusia 38 tahun ditahan reman oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Air Keruh, Melaka, Mohd Anuar Ostadi selama tujuh hari bermula 30 Januari 2021 lepas. - KitaReporters

0
1
1
0
1

Copy Link: