Malaysia hantar al-Quran terjemahan ke Amerika Syarikat, Kanada! Sempurnakan Madinatul Quran! - PM
Published byKerajaan Malaysia sekali lagi menggerakkan Kontena Al-Quran Terjemahan Bahasa Sepanyol ke Kanada dan Amerika Syarikat dalam usaha meratakan mesej dakwah ke seluruh dunia.
Selain mencetak al-Quran, Kerajaan Madani juga menguatkan iltizam menyempurnakan rancangan Madinatul Quran yang kini dalam pembinaan di Putrajaya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam negara yang madani, tunjangnya adalah kepercayaan iaitu dalam konteks ini tiangnya adalah agama.
"Paksi keyakinan iaitu al-Quran menjadi petunjuk kepada insan, ikhtiar yang punya agenda dan sarat dengan makna kepada cita besar kenegaraan.
"Saya singgung sikap prejudis dan melampau sesetengah pihak di Barat mengenai Islam seperti pembakaran al-Quran yang telah menimbulkan kemarahan umat Islam," tegasnya ketika hadir pada Majlis Peluncuran Mushaf Malaysia Madani di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya pada 16 Mac 2026 bagi meraikan ikhtiar besar oleh Yayasan Restu yang kini menjadi projek kenegaraan.
Beliau berkata, dalam menzahirkan kemarahan sebagai respons kepada tindakan Islamofobia itu juga ada yang bersifat kekerasan.

"Namun kita (di Malaysia) menawarkan alternatif, mereka bakar al-Quran, kita cetak sejuta Al-Quran dengan terjemahan sebanyak 30 bahasa yang berlainan.
"Insya-Allah, hari ini kita sekali lagi akan menggerakkan Kontena Al-Quran Terjemahan Bahasa Sepanyol ke Kanada dan Amerika Syarikat dalam usaha meratakan mesej dakwah ini," ujar beliau.
Menerusi Yayasan Restu, mushaf atau mashaf (gaya tulisan) Malaysia kini tersebar ke pelbagai negara, di mana terjemahan al-Quran telah disiapkan dalam 30 bahasa, termasuk Mandarin, Jepun, Jerman dan Swahili, dengan perancangan untuk menghasilkan terjemahan dalam 30 bahasa lagi.
Malaysia kini semakin dikenali sebagai pusat penerbitan dan terjemahan al-Quran, sekali gus menunjukkan bagaimana seni mushaf menjadi jambatan dakwah global.

Perdana Menteri seterusnya menjelaskan, selain mencetak al-Quran, beliau juga menyentuh soal rancangan Madinatul Quran yang kini dalam pembinaan di Putrajaya.
"Saya mahu ini menjadi projek umat dalam dan luar negara. Kompleks Madinatul Quran bukan sekadar gedung indah, tapi harus disusuli dengan pengisian yang bermakna ke arah menjadi pusat pengajian dan penyelidikan (al-Quran)," tambah beliau,
Katanya, beliau turut menyentuh cabaran yang dihadapi umat Islam semasa bahawa tanpa kesatuan dan persefahaman agak sulit untik kita menangani cabaran kompleks peringkat antarabangsa yang didepani oleh umat Islam masa ini.
"Kita akan lakukan sebaik di sebalik kesukaran dan cabaran yang kita hadapi. Al-Quran ada jawabannya dan memberi kekuatan untuk kita semua untuk bekerja lebih kuat," tegasnya.
Kata Anwar, "saya juga ingin zahirkan penghargaan kepada Al-Fadhil Al-Allamah Sheikh Dr. Syeikh Dr Ahmad ‘Isa Al-Ma’sarawi dan Datuk Al-Syeikh Al-Sayyid Afeefuddin Al-Jalani atas doa serta harapan mengenai inisiatif ini.
"Semoga kehadiran para ulama dan segala sumbangan mereka dalam usaha ini akan mendapat barakah Allah SWT," katanya lagi. - KitaReporters/Kenyataan Media

