Masjid sebagai platform penduduk! Santuni masyarakat, imarahkan masjid! Jamuan raya eratkan ukhuwah!
Published byMengimarahkan masjid dengan solat subuh berjemaah yang dihadiri hampir 500 jemaah bertambah memeriahkan lagi program Majlis Jamuan Sarapan Raya Aidilfitri 2026 anjurah Masjid Kariah Kampung Rinching Hulu (MKKRH), Semenyih, Selangor pada 4 April 2026.

AJK MKKRH menyediakan hidangan pada program Majlis Jamuan Sarapan Raya Aidilfitri 2026.
Program yang mendapat kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Rinching Hulu dan Rinching Tengah itu dimulakan dengan solat subuh berjemaah kemudian disusuli kuliah subuh yang disampaikan oleh penceramah jemputan.
Nazir masjid itu, Hambali Parjan, berkata perancangan yang dibuat itu bagi memastikan jemaah dan tetamu yang hadir mendapat manfaat mengumpul pahala untuk akhirat di samping bergembira menyambut kemeriahan Hari Raya Aidilfitri di pekarangan masjid.

Hambali Parjan (kanan) menyampaikan cenderahati kepada ahli jawatankuasa, petugas dan pegawai MKKRH bagi sesi tahun 2023 sehingga 2025.
Menurutnya,
walaupun program itu sudah berlanjutan diadakan sejak enam tahun lalu (2020), namun
Ahli Jawatankuasa MKKRH sentiasa melakukan penambahbaikan khusus bagi
memastikan ia berjaya ke arah mengimarahkan masjid serta mengeratkan ukhuwah
antara penduduk.
Tambahnya,
pada musim perayaan sebeginilah penduduk yang hadir pada program itu akan
membawa bersama-sama ahli keluarga mereka termasuk yang bertugas di luar dari
negeri Selangor untuk diperkenal kepada ahli jawatankuasa masjid dan juga
surau supaya mudah untuk berurusan jika berlaku sesuatu masalah khususnya
membabitkan kematian.
Jelasnya, apabila penganjuran membabitkan JPKK ia juga memberi peluang kepada jawatankuasa berkenaan untuk mendampingi penduduk bagi menyebarluaskan maklumat terkini mengenai usaha dilakukan kerajaan bagi membina kesejahteraan hidup rakyat.

Kanak-kanak turut menerima duit raya sumbangan MKKRH yang disampaikan Hambali.
“Secara
kebetulan juga kami dapat mempelbagaikan fungsi masjid yang bukan setakat
tempat membuat amal ibadat, tetapi juga menjadi platform bagi menyantuni penduduk
dengan program mengeratkan hubungan ukhuwah dan membina jalinan kemesraan
bertegur antara satu sama lain.
“Penduduk
pelbagai kaum dan agama turut menyertai program ini, sekali gus kita
membantu kerajaan Madani mewujudkan hubungan muhibah serta semangat perpaduan
bagi menzahirkan kehidupan harmoni,” ujarnya.
Hambali
berkata, pada program itu juga, MKKRH menghargai sumbangan tenaga dan khidmat
pegawai dan ahli jawatankuasa masjid bagi sesi tahun 2023 sehingga 2025 apabila
memberi cenderahati diatas komitmen mereka melaksanakan tugas supaya pengurusan
masjid berjalan lancar.
Tambahnya, MKKRH turut menghargai jasa penduduk, pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang secara sukarela malah sentiasa bersama membantu ahli jawatankuasa masjid menjayakan sesuatu program terutama bercorak agama dan kemasyarakatan.
“Pada program ini pelbagai sumbangan yang diterima daripada individu prihatin, aktivis masyarakat dan NGO kita turut agihkan pula kepada pelajar tahfiz supaya turut sama menikmatinya infak yang diterima MKKRH,” ujarnya.

Hambali (duduk, tengah) bersama-sama AJK MKKRH yang menjayakan program berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi JPKK, Samsuddin Zainal, berkata program itu bukanlah sahaja majlis meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri tetapi juga medan terbaik jawatankuasa berkenaan mendampingi penduduk termasuk mereka yang pulang bercuti.
Jelasnya,
walaupun program itu secara santai dan tidak begitu formal tetapi sudah cukup
bagi JPKK mendengar rungutan atau pandangan daripada penduduk terutama mengenai
keselamatan serta pembangunan sosial ke arah mewujudkan keharmoian hidup dalam
pelbagai komuniti.
Ketua
program berkenaan, Ir Noor Samsudin Kandar pula melahirkan rasa bersyukur majlis itu
dapat berjalan dengan lancar malah berjaya mengumpul penduduk daripada pelbagai
komuniti untuk bersama-sama meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Ia juga diharapkan dapat mengimarahkan MKKRH disamping menyuntik motivasi dalam kalangan penduduk supaya meluangkan masa untuk datang solat berjemaah disamping mengikuti kuliah pengajian agama yang diadakan,” katanya. - KitaReporters

Hambali (duduk, tengah) merakamkan kenangan bersama sebahagian pelajar tahfiz, petugas dan pegawai MKKRH.
