Meriah Ramadan! Jualan Murah Madani Bukit Gantang diserbu! Program moreh colek Larut penuh sesak!
Published byProgram jualan murah Ahli Parlimen Bukit Gantang sempena Hari Raya Aidilfitri mendapat sambutan luar biasa apabila sebanyak 12 ekor lembu dan 2,000 ekor ayam habis dijual dalam tempoh tiga jam.


Program kedai bergerak itu juga menawarkan 40 peratus potongan harga bagi membolehkan penduduk membeli pelbagai barangan yang ditawarkan.
Orang ramai sudah beratur panjang sejak jam 7 pagi walaupun operasi bermula pada jam 8.00
pagi sehingga jam 12 tengah hari.
Ahli
Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, pihaknya
menjual daging lembu dengan harga RM24 bagi sekilogram dan ayam pula dijual
dengan harga RM7 bagi sekilogram.
Katanya, harga ini lebih rendah berbanding dengan harga di pasaran pada ketika ini.


“Walaupun
harga murah, jualan ini tidak melibatkan sebarang subsidi. Ini kerana kita menggunakan
kaedah pembelian pukul untuk mendapatkan harga lebih rendah daripada pembekal dan
seterusnya menyalurkan penjimatan kepada rakyat.
“Program tradisi ini diadakan setiap tahun dengan tujuan membantu orang ramai mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah menjelang musim perayaan Aidilfitri,” katanya ketika ditemui pada program Jualan Termurah Madani sempena Aidilfitri di pekarangan Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang, dekat Taiping pada 18 Mac 2026.

Syed Abu
Hussin berkata, konsep jualan pukal digunakan bagi membantu rakyat mendapatkan
barangan dengan harga lebih rendah.
"Usaha ini dapat membantu kurangkan beban kos sara hidup,” katanya.
Beliau berkata, jika bekalan habis, ia akan ditambah pada esok bagi membolehkan semua rakyat Bukit Gantang mendapatkan barangan keperluan sebagai persiapan menjelang perayaan Aidilfitri.

Sementara itu, program moreh colek kerang, siput dan pelbagai makanan serta minuman yang diadakan di Dangau, Sungai Bayor dekat Selama, Perak habis dimakan dalam tempoh dua jam.
Program anjuran Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dibuat setiap bulan Ramadan mendapat sambutan apabila lebih 1,000 orang hadir untuk menikmati makanan colek.

Program bermula jam 10 malam sehingga 12 tengah malam itu meriah setelah ia diselang seli dengan bunyi permainan bunga api yang memecahkan keheningan malam.
Orang ramai berbaris panjang untuk mendapatkan makanan termasuk laksa, bihun sup, aiskrim, kerang dan siput rebus yang disediakan di bawah khemah oleh petugas yang terbabit dengan program itu.
Tetamu jemputan yang hadir turut menikmati makanan yang disediakan di meja khas sambil tetamu dilayan dengan mesra oleh petugas.

Menurut petugas, pihaknya telah membuat persiapan sejak tiga hari lalu bagi memeriahkan program itu dengan memilih kawasan yang lebih luas bagi keselesaan kepada orang ramai.
Sebelum ini, program tersebut telah dibuat di kawasan yang sempit dan akibatnya , ia mengalami kesesakan dengan orang ramai.
Di kiri kanan jalan raya berhampiran tempat program dipasang pelita minyak yang dibuat daripada buluh menjadikan suasana malam itu dipenuhi dengan cahaya lampu pelita. - KitaReporters

