DI SEBALIK deretan bangunan dan kesibukan kota raya, wujud sebuah pusat yang menjadi tempat berteduh, belajar dan membina harapan buat puluhan anak istimewa yang selama ini sering dipandang sepi masyarakat.


PPDK Titiwangsa adalah ‘rumah kedua’ kepada kanak-kanak serta remaja berkeperluan khas untuk mengenal dunia luar dengan lebih yakin.


Beroperasi sejak 2006 di Taman Maluri, Kuala Lumpur, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Titiwangsa bukan sekadar tempat latihan dan terapi, sebaliknya menjadi ‘rumah kedua’ kepada kanak-kanak serta remaja berkeperluan khas untuk mengenal dunia luar dengan lebih yakin. 

Pengerusinya, Raihanah Abdullah berkata, pendekatan pemulihan dalam komuniti memberi ruang kepada golongan orang kurang upaya (OKU) menerima sokongan dan latihan berhampiran tempat tinggal tanpa perlu dihantar ke institusi jauh.

Beliau berkata, pusat di bawah naungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu memberi fokus kepada pemulihan asas seperti pertuturan, pendidikan khas, latihan pergerakan serta kemahiran kehidupan harian.


Sebahagian ibu bapa dan anak-anak istimewa yang hadir di Majlis Ramah Mesra PPDK Titiwangsa.


“Di sini, seperti guru-guru, kami bukan sahaja mengajar mereka kemahiran asas tetapi membantu meningkatkan keyakinan diri supaya mereka mampu berdikari dalam kehidupan seharian.

“PDK ini juga menjadi tempat mereka merasa dihargai dan diterima, bukan dipinggirkan,” katanya ketika ditemui sempena Majlis Ramah Mesra PPDK Titiwangsa di De Moccis Boutique Hotel, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Turut hadir, Ahli Dewan Negara yang mewakili golongan Orang Kurang Upaya (OKU), Senator Isaiah D. Jacob.

PPDK Titiwangsa kini menempatkan 50 pelatih berusia antara empat hingga 35 tahun dengan bimbingan lapan tenaga pengajar dari jam 8 pagi hingga 1 tengah hari setiap Isnin hingga Jumaat.

"Antara latihan diberikan termasuk aktiviti motor kasar dan halus, komunikasi, pengurusan diri serta latihan vokasional ringan seperti melipat baju, mengemas katil, mencuci pinggan dan menanam pokok.


Raihanah Abdullah (kiri)


"Latihan itu bukan sekadar rutin harian, tetapi persediaan untuk membolehkan mereka hidup lebih berdikari dan berpeluang bekerja suatu hari nanti.

“Malah anak saya sendiri selepas setahun mengikuti latihan praktikal di sini kini mampu bekerja di restoran makanan segera. Ini membuktikan anak-anak istimewa juga boleh berjaya jika diberi peluang dan latihan yang sesuai,” katanya.

Justeru, beliau mahu masyarakat memahami bahawa golongan autisme juga termasuk dalam kategori OKU dan jumlah mereka semakin meningkat setiap tahun.

“Dulu ramai yang memandang pelik apabila melihat anak-anak istimewa berada di tempat awam, tetapi sekarang masyarakat semakin terbuka.


Tugas mengendalikan anak-anak istimewa memerlukan kesabaran tinggi kerana setiap pelatih mempunyai karakter dan emosi berbeza.


“Sebab itu kami selalu bawa mereka keluar bersama komuniti supaya masyarakat kenal mereka dan bukan terlalu selesa dalam kelompok sendiri,” katanya.

Beliau berkata, antara program dijalankan termasuk aktiviti mobiliti, lawatan ke negeri-negeri seperti Kedah, kunjungan ke PDK lain serta membawa anak-anak istimewa menunaikan umrah.

“Pada awalnya memang saya bimbang untuk membawa mereka ke Tanah Suci, tetapi Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.

“Sehingga kini lebih 50 anak istimewa berjaya dibawa menunaikan umrah dan pengalaman itu meningkatkan keyakinan diri mereka,” katanya lagi.


Antara aktiviti harian di PDK Titiwangsa ialah latihan mengenal huruf dan nombor, kemahiran sosial, pengurusan diri, perkembangan bahasa serta latihan motor halus dan kasar.


Raihanah berkata, pembabitan ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan perkembangan anak-anak lebih konsisten.

“Ibu bapa bukan sekadar menghantar anak ke PDK tetapi mereka perlu belajar cara meneruskan latihan di rumah.

“Mereka perlu sabar, kuat semangat dan sanggup berkorban kerana membesarkan anak istimewa bukan perkara mudah,” katanya.

Dalam pada itu, Raihanah berkata, walaupun berdepan kekangan sumber kewangan dan tenaga kerja, semangat membantu golongan berkeperluan khas tidak pernah luntur.

"PDK bukan sekadar pusat terapi tetapi simbol harapan bahawa setiap individu tanpa mengira kekurangan berhak diberi peluang untuk hidup bermaruah. Anak-anak istimewa ini juga sebahagian daripada masyarakat. 

“Mereka bukan untuk dipinggirkan sebaliknya perlu diberi ruang, perhatian dan peluang supaya dapat hidup bersama komuniti seperti orang lain,” katanya.


Asma Adibah Nor Azmi


Sementara itu, Penyelia PPDK Titiwangsa, Asma Adibah Nor Azmi berkata, pusat itu menggunakan pendekatan pembelajaran santai dan interaktif supaya pelatih lebih mudah memberi tindak balas.

"Di PDK Titiwangsa, kami ada empat kelas termasuk kelas praakademik dan aktiviti yang dilakukan termasuk terapi, jahitan, masakan dan kraf tangan.

“Kami banyak menggunakan pendekatan belajar sambil bermain berbanding suasana pembelajaran formal di sekolah biasa. Melalui permainan dan aktiviti santai, mereka lebih mudah belajar berkomunikasi dan bersosial.

"Antara aktiviti harian dijalankan termasuk latihan mengenal huruf dan nombor, kemahiran sosial, pengurusan diri, perkembangan bahasa serta latihan motor halus dan kasar. 

"Bagi pelatih dewasa pula, latihan vokasional ringan diperkenal bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan alam pekerjaan," katanya.


 

Isaiah D. Jacob (tiga dari kiri) tetamu VIP sempena Majlis Ramah Mesra PPDK Titiwangsa di De Moccis Boutique Hotel, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. 


Asma yang sudah lebih 11 tahun berkhidmat di pusat itu mengakui tugas mengendalikan anak-anak istimewa memerlukan kesabaran tinggi kerana setiap pelatih mempunyai karakter dan emosi berbeza.

“Ada pelatih autisme yang menjadi agresif apabila meningkat usia dewasa,, justeru kami perlu memberi mereka ubat penenang. Jika berlaku keadaan tertentu, kami akan berbincang dengan ibu bapa demi keselamatan semua.

"Pendekatan psikologi dan komunikasi lembut amat penting ketika berdepan anak-anak istimewa. Tidak boleh berkasar dengan mereka kerana lama-kelamaan mereka akan menganggap guru seperti ibu bapa sendiri.

“Bila sudah rapat, kita sendiri rasa sayang kepada mereka seperti anak sendiri,” katanya. - KitaReporters

19
12
0
5
0

Copy Link: