PERSATUAN Kebajikan Anak-Anak Pahang Di Ibu Kota (PEKAP) ialah sebuah persatuan yang ditubuhkan khas untuk warga Pahang yang bermastautin di Kuala Lumpur. Peranannya untuk menjadi persatuan yang prihatin terhadap kebajikan anak-anak negeri Pahang yang merantau di Ibu Kota. 

Kini, penubuhan PEKAP sudah mencecah usia 60 tahun dan keahlian PEKAP melebihi 4,000 orang.



Sebagai persatuan bukan kerajaan (NGO), PEKAP banyak bergantung kepada sumbangan individu, syarikat dan korporat selain aset sendiri untuk memberi bantuan kepada ahli terutama dalam kalangan golongan memerlukan seperti asnaf, ibu tunggal dan B40.

Isu dana dan kewangan sentiasa menjadi cabaran utama PEKAP dan jumlah bantuan yang disumbangkan juga sepatutnya sentiasa bertambah. Jika sebelumnya, persatuan itu mengeluarkan bantuan berjumlah RM60,000 setahun, kini ia mencecah lebih RM100,000 dan akan bertambah pada masa akan datang.

Presidennya, Datuk Azman Shah Abdullah, berkata selepas hampir enam dekad ditubuhkan, PEKAP perlu berfikir di luar kota dan merancang masa depan yang semakin mencabar khusus bagi memperkukuh usaha membantu kebajikan ahli terutama golongan asnaf dan B40.


Ibrisam Abdul Rahman (kanan) menyerahkan sumbangan baju raya kepada Mohd Shahar Abdullah sebagai simbolik tajaan Gulatis kepada PEKAP.


Beliau berkata, hasil perbincangan dalam kalangan ahli jawatankuasa (AJK), PEKAP bersetuju menubuhkan sebuah yayasan yang bertujuan menjana dana sendiri untuk kebaikan persatuan selain membuka peluang pekerjaan kepada ahli persatuan dan memperluas program bantuan sosial.

"Tanpa dana mencukupi, usaha membantu ahli akan menjadi terhad walaupun permintaan bantuan semakin meningkat dari semasa ke semasa.

“Sejak ditubuhkan pada September 1966 dan cabaran utama kami ialah kewangan kerana tanpa dana kukuh, banyak usaha kebajikan tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya ketika ditemui selepas majlis Iftar Ramadan PEKAP bersama anak-anak Pahang di ibu kota yang berlangsung di The Gabion Garden Hall, Kuala Lumpur.


Azman Shah Abdullah


Majlis berkenaan dirasmikan Timbalan Menteri Ekonomi, Mohd Shahar Abdullah yang mewakili Menteri Besar Pahang. Turut hadir Timbalan Presiden PEKAP, Abdul Razak Idris serta Pengerusi Gulatis Global Business Sdn Bhd, Datuk Dr Ibrisam Abdul Rahman.

Sempena majlis iftar berkenaan, Gulatis Global Business Sdn Bhd turut menyumbangkan 50 pasang pakaian hari raya kepada golongan asnaf dalam kalangan ahli PEKAP. 

Ahli juga menerima tawaran diskaun istimewa bagi pembelian pakaian sebagai tanda sokongan berterusan syarikat berkenaan.

PEKAP melalui Pengerusi Biro Wanita, Datuk Nor’ashikin Taib menyampaikan duit raya RM250 kepada setiap asnaf terpilih. 

Majlis turut diserikan dengan tazkirah Ramadan yang disampaikan Imam Besar Masjid Khalid Al-Walid, Mohd Nizam Tarmiz sebelum hadirin menunaikan solat tarawih.


Mohd Shahar berbual dengan sebagai ahli PEKAP yang menerima bantuan wang tunai dan baju raya sempena Iftar Ramadan di The Gabion Garden Hall, Kuala Lumpur.


"Jika sebelum ini sumbangan tahunan sekitar RM60,000, jumlah itu kini meningkat kepada lebih RM100,000 setahun. 

“Jumlah ini menunjukkan semakin ramai ahli memerlukan bantuan, justeru kita perlu mencari sumber kewangan yang lebih mampan,” katanya.

Beliau berkata, antara aset dimiliki PEKAP ketika ini ialah ibu pejabat persatuan di Setiawangsa selain bangunan di Sri Petaling yang disewakan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak 2015.

Selain itu, katanya, PEKAP turut membeli hartanah di Alam Impian dan Semenyih sebagai pelaburan jangka panjang bagi menjana pendapatan persatuan.

Menurutnya, hasil pelaburan itu dimanfaatkan untuk membantu ahli yang memerlukan termasuk golongan asnaf. PEKAP juga menubuhkan anak syarikat bagi membolehkan persatuan menjalankan perniagaan secara langsung dalam pelbagai bidang.


Ahli PEKAP gembira kerana selain menerima baju raya percuma, mereka juga menerima duit raya RM250 seorang.


“Alhamdulillah permohonan penubuhan yayasan berkenaan termasuk nama dan kelulusan sudah dikemukakan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Selepas permohonan serta nama yayasan diluluskan, saya akan membawa agenda itu ke Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) untuk mendapat persetujuan ahli.

"Yayasan itu nanti bertanggungjawab mencari dana melalui aktiviti perniagaan dan keuntungan diperoleh akan disalurkan kepada PEKAP bagi membantu lebih ramai ahli. Ia sekali gus menyediakan peluang pekerjaan kepada ahli terutama golongan B40," katanya lagi.


AJK PEKAP bergambar kenangan bersama Mohd Shahar sempena Iftar Ramadan di The Gabion Garden Hall, Kuala Lumpur.


Sementara itu, Mohd Shahar berkata walaupun berada jauh dari negeri kelahiran, anak-anak Pahang di ibu kota perlu terus mengekalkan jati diri dan semangat membantu sesama mereka. 

"Ahli Parlimen Paya Besar itu berkata, kerajaan negeri kini berada di landasan tepat dalam pembangunan ekonomi apabila pendapatan tahunan negeri melebihi RM1 bilion selama empat tahun berturut-turut.

"Pencapaian itu membuktikan Pahang menjadi tumpuan pelaburan dalam dan luar negara, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negeri itu termasuk anak-anak Pahang di ibu kota.

“Ramai anak Pahang berjaya dalam pelbagai bidang termasuk menjadi ketua pegawai eksekutif syarikat besar dan saya berharap mereka turut membantu membuka peluang pekerjaan kepada anak Pahang lain,” katanya.

Beliau turut mengingatkan anak Pahang supaya tidak malu mengakui asal usul mereka kerana negeri itu kini semakin makmur dengan pelbagai projek pembangunan termasuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). - KitaReporters

19
10
0
16
0

Copy Link: