Konflik ketenteraan antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran yang masih berlarutan membimbangkan rakyat seluruh dunia sehingga menjejaskan beberapa jadual penerbangan baru-baru ini akibat peperangan berkenaan.



Penulis sempat menemu bual salah seorang Jemaah umrah dari Segamat yang terkandas di Madinah pada bulan Mac lalu akibat pembatalan penerbangannya pulang ke tanah air disebabkan penutupan ruang udara negara berkenaan.

Menurut Mohd Qhairul Nazri Ridwan, 38, dia terkandas di Madinah lebih 144 jam (6 hari) selepas penerbangan pulang ke tanah air dibatalkan pada saat akhir akibat konflik peperangan antara Israel, Amerika Syarikat dan Iran, yang bermula pada 28 Februari 2026. 

“Saya bersama isteri, anak, ibu mentua serta adik ipar berlepas ke tanah suci pada 18 Februari 2026. 

"Kami sepatutnya pulang ke Malaysia pada 28 Februari 2026 lalu tetapi penerbangan kami telah dibatalkan beberapa jam sebelum pulang ketika sedang menunggu kebenaran masuk ke dalam Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah (King Abdulaziz International Airport), Jedco iaitu nama pusat menunggu sebelum dibenarkan masuk ke lapangan terbang di sana. 

"Ketika sudah dapat pelepasan masuk, kami mendapat informasi penerbangan yang sepatutnya berlepas pada pukul 1 pagi dibatalkan lebih kurang pukul 8.30 malam. 

"Jadi, pihak pengelola umrah kami membuat keputusan untuk membawa kami pulang di mana tarikh baharu kami terima untuk pulang ke Malaysia adalah pada 1 dan 2 Mac 2026 tetapi belum ada informasi penerbangan yang sah," katanya. 

Qhairul Nazri sekeluarga mengalami kesukaran pada awalnya kerana terpaksa menunggu di Jeddah dengan dua penerbangan pulang pada 1 dan 2 Mac 2026 turut dibatalkan. 

Sehubungan itu, syarikat pengelola umrah telah membuat keputusan untuk memindahkan jemaah ke Madinah pada 2 Mac, sementara tunggu penerbangan seterusnya pada 5 Mac 2026. 


 


"Saya sekeluarga merasa terkejut kerana tidak menyangka timbul konflik antara Iran-US dan Israel sehingga membawa kepada peperangan yang berlaku ketika bulan Ramadan ketika isu Palestine juga masih belum selesai. 

"Saya merasa sedih dengan keadaan ini kerana pada bulan yang mulia ini dunia dicemari dengan kemelut peperangan. 

"Namun saya menganggap keadaan terkandas di sini sebagai peluang untuk perbanyak ibadah di Tanah Suci. 

"Alhamdulillah kami semua sihat semasa di sana cuma ada masalah kesihatan ringan seperti batuk dan selsema serta saya agak risau dengan keadaan anak yang masih lagi kecil berusia empat tahun serta ibu mentua yang merupakan warga emas," kongsinya. 

Menurutnya lagi, kos penginapan 24 jam pertama selepas dua pembatalan ditanggung oleh pihak MAS iaitu pada 28 Februari dan 2 Mac, manakala pada 3 sehingga 4 Mac pengelola umrah memaklumkan akan menampung kos penginapan. 

"Hanya pada 5 Mac kos ditanggung sendiri oleh jemaah. Harapan kami ketika ini adalah berharap pihak kerajaan dapat membantu rakyat Malaysia yang terkandas di Madinah mahupun Mekah semasa berlakunya konklik ketenteraan itu. 

"Ini kerana ada jemaah yang terpaksa menampung sepenuhnya kos perbelanjaan akibat pembatalan penerbangan dan tambahan kos penginapan. 

"Lebih membimbangkan lagi, kos perbelanjaan agak tinggi pada bulan Ramadan terutama kos penginapan dan lain-lainnya," ujarnya lagi.



Sementara itu, abangnya, Mohd Qhairul Nizam Ridwan, 40, merasa bimbang dan juga gementar apabila mengetahui adiknya serta keluarga terkandas di Madinah. 

"Sebagai abang, saya merasa bimbang dan juga gementar apabila mengetahui penerbangan adik saya dibatalkan. 

"Kami ada berhubung melalui WhatsApp dan panggilan video. Ia memberikan kelegaan apabila mengetahui keadaan mereka baik-baik sahaja ketika itu. 

"Kami mengikuti berita dari semasa ke semasa perkembangan konflik ini dan mendoakan ada keajaiban berlaku di mana semua jemaah dapat pulang dengan segera dan selamat ke tanah air," katanya menceritakan detik-detik kecemasan masa itu. 

Sebelum ini, pembatalan penerbangan Malaysia ke beberapa negara Asia Barat berlaku rentetan daripada tindakan beberapa syarikat penerbangan dunia yang terpaksa menghentikan operasi secara sementara. 

Ia berikutan penutupan ruang udara di beberapa buah negara di Asia Barat susulan konflik peperangan antara Israel, Amerika Syarikat dan Iran yang memuncak. - KitaReporters

10
7
0
12
0

Copy Link: