Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bagan Serai/Beriah di Perak tidak melupakan golongan asnaf pada bulan Ramadan bagi meringankan beban golongan itu untuk membuat persiapan menyambut hari raya Aidilfitri.


Sebahagian asnaf yang hadir pada Program Penyampaian Zakat dan Majlis berbuka Puasa di Bukit Merah Laketown, Bagan Serai/Beriah.

Sebanyak RM18,000 zakat keuntungan perniagaan pada tahun lepas (2025) diberikan kepada golongan berkenaan.

Majlis penyampaian yang berlangsung dalam suasana penuh keberkatan dan ukhuwah itu disampaikan oleh Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak Datuk Sham Mat Sahat.

Sham berkata, pihaknya menyampaikan zakat perniagaan bagi tahun lepas (2025) sebagai tanda keprihatinan terhadap mereka yang memerlukan.

“Program seperti ini amat bermakna kerana ia bukan sahaja mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat, malah menjadi medan untuk berkongsi rezeki dan meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan ini.

“Semoga usaha murni yang dilaksanakan oleh pihak PPK ini akan terus diberkati serta menjadi inspirasi kepada lebih banyak pihak untuk bersama-sama membantu dan menyantuni masyarakat yang memerlukan,” katanya pada majlis penyampaian zakat perniagaan dan majlis berbuka pusat di Bukit Merah Laketown Resort di Bagan Serai, Perak pada 12 Mac 2026.

Sham berkata, sebelum ini pihaknya telah membayar zakat perniagaan sebanyak RM76,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan pihak majlis telah memulangkan RM18,000 untuk disampaikan kepada asnaf pada peringkat unit-unit peladang di kampung-kampung di Bagan Serai.

Menurut beliau, PPK Bagan Serai/Beriah mempunyai 33 unit peladang dan terdapat lima PPK di Daerah Kerian.

Beliau yang juga Pengerusi PPK Bagan Serai/Beriah berkata, pihaknya mencatat keuntungan hampir RM700,000 pada tahun 2025 dan hampir RM600,000 pada tahun 2024.

“Kita menjangkakan keuntungan itu akan meningkat pada tahun ini (2026),” katanya.


Sham Mat Sahar (tengah) menyerahkan zakat kepada seoerang ketua unit peladang di Bukit Merah Laketown di Bagan Serai pada 12 Mac 2026.

Dalam perkembangan lain, Sham berkata, kenaikan harga diesel dijangka memberi kesan besar kepada sektor pertanian khususnya pesawah padi kerana kebanyakan operasi sawah menggunakan bahan api tersebut.

Menurutnya, hampir semua aktiviti pertanian padi bergantung kepada diesel termasuk penggunaan jentera pembajak, jentera menuai serta operasi lain di kawasan sawah.

“Pesawah yang mengerjakan sawah padi ini menggunakan diesel sepenuhnya. 

"Jentera pembajak, jentera padi dan operasi di sawah semuanya menggunakan diesel, bukan petrol. Jadi apabila harga diesel naik, sudah tentu ia memberi kesan kepada pesawah,” katanya

Beliau menjelaskan pihak PPK akan mengadakan mesyuarat Ahli Jemaah Pengarah (AJP) pada 16 Mac 2026 ini bagi membincangkan langkah terbaik untuk mengurangkan kesan kenaikan kos tersebut.

Katanya, antara perkara yang akan dibincangkan termasuk langkah penjimatan operasi serta cadangan kepada kerajaan bagi melindungi kepentingan pesawah padi.

“Memang kenaikan harga diesel ini membebankan. Kita sebagai pengerusi dan ahli jemaah pengarah akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya sektor pertanian, khususnya pesawah, diberi pengecualian atau bantuan subsidi,” jelasnya.

Beliau turut menyatakan bahawa sekiranya nelayan boleh menerima subsidi bahan api, pesawah juga sewajarnya dipertimbangkan untuk menerima bantuan yang sama memandangkan industri padi merupakan sektor penting dalam keselamatan makanan negara.

Tambahnya lagi, kenaikan harga diesel bukan sahaja memberi kesan kepada kerja di sawah tetapi turut menjejaskan kos operasi lain seperti pengangkutan benih padi, operasi loji benih serta kos logistik yang semuanya menggunakan kenderaan berasaskan diesel.

Sehubungan itu, pihak PPK di seluruh negara yang terlibat dalam industri padi dijangka akan berbincang bersama bagi merangka cadangan kepada kerajaan termasuk kemungkinan menaikkan harga lantai padi atau meningkatkan subsidi bagi membantu pesawah menampung kenaikan kos operasi. - KitaReporters

0
0
0
0
0

Copy Link: