Penganjuran Pesta Panjut Kuala Kangsar 2026 oleh Kerajaan Negeri Perak berjaya menarik puluhan ribu pengunjung, sekali gus menghidupkan suasana malam di Bandar Diraja itu dengan cahaya ribuan pelita yang dipasang di pesisiran Sungai Perak.


Sebuah panjut yang direkabentuk rumah tradisional Melayu

Sebuah panjut yang menarik dipamerkan di persisiran Sungai Perak di Kuala Kangsar

Rata-rata pengunjung membanjiri kawasan itu untuk melihat dengan lebih dekat panjut yang direka bentuk dan hiasan secara kreatif oleh lapan agensi kerajaan, NGO (satu)  dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dengan 13 penyertaan.

Sebanyak 21 penyertaan dengan lebih 27,830 pelita panjut dipasang menerangi Bandar Diraja Kuala Kangsar.

Sepanjang pesta berlangsung, sebanyak 27,830 pelita panjut telah digunakan bagi menghasilkan pelbagai bentuk hiasan kreatif.

Antara tema yang diketengahkan peserta adalah berteraskan identiti dan warisan tempatan seperti Masjid Ubudiah. Istana Kenangan, Istana Iskandariah. Labu Sayong, Menara Jam Kuala Kangsar dan Rumah Tradisional Melayu.

Selain penggunaan pelita, terdapat juga peserta yang menggunakan bahan kitar semula seperti tin makanan dan minuman bagi menghasilkan dekorasi yang kreatif.


Loh Sze Yee (kiri) tertarik dengan rekabentuk secara kreatif pada panjut yang menyertai pertandingan Pesta Panjut Kuala Kangsar di persisiran Sungai Perak di Kuala Kangsar.

Jumlah keseluruhan hadiah bagi kategori agensi, NGO dan JPKK adalah RM24,000, manakala RM9,000 lagi diperuntukkan sebagai hadiah saguhati dan sumbangan penyertaan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Perak, Loh Sze Yee, penganjuran pesta yang dipertanding bermula pada 15 Mac telah melabuhkan tirai pada 16 Mac 2026.

“Saya difahamkan kira-kira 10,000 pengunjung hadir menyaksikan acara berkenaan termasuk pelancong antarabangsa, manakala jumlah kehadiran pada malam kemuncak dianggarkan meningkat kepada 20,000 orang,” katanya pada majlis perasmian penutup serta penyampaian hadiah pesta tersebut di Kuala Kangsar pada 16 Mac 2026.

Loh optimis penganjuran pesta ini selari dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), di mana Negeri Perak menyasarkan 10.5 juta pelancong domestik dan 1.1 juta pelancong antarabangsa.

“Program seperti ini berperanan memperkukuh kedudukan negeri Perak sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan pengalaman budaya unik.

“Selain itu, kerajaan negeri turut membantu peserta terutamanya dari segi kos minyak pelita bagi memastikan tradisi memasang panjut dapat diteruskan dengan lebih meriah dan berlangsung lebih lama berbanding kebiasaannya,” ujarnya.


Kira-kira 10,000 pengunjung hadir menyaksikan Pesta Panjut Kuala Kangsar 2026.


Sehubungan itu Loh berkata, beberapa cadangan penambahbaikan ialah acara meriam tradisional selain pertandingan panjut bagi memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Selain itu, menyediakan perkhidmatan bot di Sungai Perak untuk membawa pengunjung melihat keindahan panjut dari tengah sungai pada waktu malam.

“Pengalaman menaiki bot pada waktu malam di Sungai Perak disifatkan sebagai tarikan unik yang mampu memberikan sudut pandangan menarik kepada pengunjung untuk merakam gambar dan video,” katanya.

Beliau berharap Pesta Panjut Kuala Kangsar akan menjadi acara tahunan, sekali gus memelihara warisan budaya, memupuk semangat kebersamaan komuniti serta memperkukuhkan identiti Kuala Kangsar sebagai bandar yang kaya dengan tradisi dan budaya.


Loh Sze Yee (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar memenangi tempat pertama bagi agensi kerajaan


Pada pertandingan itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar memenangi tempat pertama membawa pulang hadiah RM5,000, manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (kedua) RM4,000 dan Pejabat Daerah Kuala Kangsar RM3,000 di tempat ketiga.

JPKK Kampung Padang Changkat pula meraih hadiah pertama RM5,000 bagi kategori JPKK, diikuti JPKK Kampung Sungai Siput tempat kedua RM4,000 dan JPKK Kampung Kuala Sayung Hulu menang hadiah ketiga dengan RM3,000. -

- KitaReporters 


Loh Sze Yee (dua dari kiri) menyampai hadiah tempat pertama dimenangi JPKK Kampung Sayung Hulu bagi kategori JPKK yang menyertai pertandingan itu.

3
8
0
11
0

Copy Link: