MEMELIHARA dan memuliakan anak yatim merupakan tanggungjawab umat Islam. Rasulullah SAW bersabda: “Saya dan orang yang memelihara anak yatim itu dalam surga seperti ini. Baginda mengisyaratkan dengan jari telunjuk dan jari tengahnya serta merenggangkan kedua-duanya.” (HR Bukhari) : KitaReporters

Gambar fail 2019... Sebahagian anak yatim bersama ahli jawatankuasa Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam Al-Ihsan (PKAYIA) dan penjaga di hadapan asrama terletak di Sungai Kerpan, Lipis, Pahang. - Kredit foto: Siti Najihah Amney Noor 


Lagi cerita-cerita berkaitan anak yatim:

https://kitareporters.com/search?search=anak+yatim


Perkara ini memberikan isyarat jelas kepada umat Islam bahawa kita perlu memberikan perhatian serius serta pembelaan bagi membolehkan anak yatim hidup selesa, sempurna seperti orang lain yang mempunyai ayah dan ibu.

Agama Islam menggariskan panduan yang cukup mudah, iaitu anak yatim yang miskin dan perlu pembelaan wajar diberikan bantuan untuk membiayai kehidupan mereka, terutamanya memenuhi keperluan kebajikan tertentu termasuk pendidikan.

Pencetus Ummah (PU) Nor Hamizi Jamaludin (kanan) yang mewakili pewakaf dan disaksikan Mustapa Long (kiri) menyampaikan replika kunci van sekolah kepada Yang Dipertua PKAYIA, Abdul Rahman Mohamad (tengah) di Sungai Kerpan, Lipis baru-baru ini. - Kredit foto: Siti Najihah Amney Noor 


Berkaitan hal ini, tergambar perasaan gembira dan ceria malah tidak terungkap dengan kata-kata hanya mampu bersyukur dalam kalangan seramai 50 orang anak yatim yang tinggal di asrama Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Al-Ihsan (PKAYIA) Lipis apabila menerima sumbangan sebuah van sekolah dan zakat dalam satu majlis di Sungai Kerpan, Lipis baru-baru ini.

Van sekolah yang bernilai RM43,000 itu merupakan sumbangan Koperasi Muafakat Makmur Berhad (Ko-Makmur) bersama Makmur Gold Holding Sdn. Bhd, Kuantan, manakala Rural Capital Berhad sebuah syarikat di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) turut menyumbangkan wang zakat bernilai RM5,000 dan sejumlah RM6,000 untuk pengurusan asrama PKAYIA Lipis.

Pencetus Ummah (PU) terkenal di Pahang, Nor Hamizi Jamaludin mewakili pewakaf menyampaikan replika kunci van sekolah kepada Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar (PLB) Satu, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad yang juga Ahli Parlimen Lipis merangkap Yang Dipertua PKAYIA yang hadir di majlis tersebut.

Abdul Rahman Mohamad (dua dari kanan) sambil disaksikan oleh Raja Sarimah Raja Jamaluddin (tengah) menyampaikan sumbangan zakat untuk anak yatim dan pengurusan asrama kepada Timbalan Yang di Pertua PKAYIA, Ali Parto di Sungai Kerpan, Lipis. - Kredit foto: Muhamad Hariri 


Manakala pada majlis yang sama, Mara Pahang menerusi Program Mara Prihatin@Lipis, Rural Capital Berhad, iaitu sebuah syarikat di bawah Ibu Pejabat Mara Kuala Lumpur turut beramal jariah menyumbangkan wang zakat bernilai RM11,000 untuk pengurusan dan kebajikan anak yatim asrama tersebut telah disempurnakan penyampaiannya oleh Abdul Rahman kepada Timbalan Yang Dipertua PKAYIA, Datuk Ali Parto serta disaksikan oleh Pengarah Mara Pahang, Raja Sarimah Raja Jamaluddin

Abdul Rahman dan Raja Sarimah juga turut meluangkan masa bergotong-royong bersama seramai 30 orang kakitangan pejabat Mara Pahang membersihkan persekitaran kawasan dan mengecat premis asrama serta pejabat pengurusan PKAYIA Lipis di Sungai Kerpan.

Abdul Rahman Mohamad (kanan) dan Raja Sarimah Raja Jamaluddin (kiri) bersama kakitangan Mara Pahang sedang bergotong-royong mengecat premis asrama PKAYIA. - Kredit foto: Muhamad Hariri


Kakitangan Mara Pahang juga bergotong-royong memasak juadah tengah hari untuk menyantuni anak yatim di asrama PKAYIA dan para tetamu yang hadir. - Kredit foto: Mara Pahang


Yang turut hadir, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long; Setiausaha Koperasi Muafakat Makmur Berhad (Ko-Makmur) Kuantan, Mohd Khairul Azam Awang; Naib Yang Dipertua PKAYIA Lipis, Muhamad Hariri Abdul Majid dan ahli jawatankuasa pertubuhan tersebut.

Menurut Abdul Rahman, beliau dan pengurusan PKAYIA sangat berterima kasih kepada Ko-Makmur, Mara Pahang dan Rural Capital Berhad atas amal jariah berkenaan kerana cukup signifikan dapat menceriakan anak yatim di asrama tersebut, iaitu kemudahan berulang alik ke sekolah, pengurusan asrama termasuk makanan.

Abdul Rahman Mohamad (duduk depan, kiri) bersama tetamu dan anak yatim di hadapan van sekolah sumbangan Koperasi Muafakat Makmur Berhad, Kuantan. - Kredit foto: Muhamad Hariri 


"Kehidupan anak-anak yatim ini termasuk pentadbiran asrama dibiayai sepenuhnya menerusi ihsan dana daripada dermawan luar dan sekitar Lipis termasuk pemimpin setempat malahan sumbangan ketiga agensi berkenaan hari ini sebagai tanggungjawab sosial mampu meringankan beban pengurusan PKAYIA.

"Saya selaku Ahli Parlimen Lipis dan rakan-rakan pemimpin setempat sentiasa memantau serta memberikan bantuan sekadar termampu untuk melancarkan pengurusan asrama ini yang kini menampung jumlah permintaan urusan kebajikan dan tempat tinggal yang semakin ramai dalam kalangan anak yatim di Lipis," kata Abdul Rahman.

SITI NAJIHAH AMNEY NOOR


Sementara itu, Pengurus Asrama PKAYIA, Siti Najihah Amney Noor berkata, selaku diamanahkan dalam bidang pengurusan asrama di situ, dia amat bersyukur dan gembira menerusi sumbangan amal jariah agensi tersebut kerana dapat meringankan pengurusan PKAYIA khususnya pengangkutan, pembiayaan makanan dan kebajikan anak yatim.

"Sebelum ini, sejak sembilan tahun asrama cemerlang anak yatim ini dibuka, kita menggunakan sebuah van yang uzur dan kerap rosak sehingga mengganggu urusan pengangkutan anak yatim ke sekolah termasuk kegiatan kemasyarakatan di luar, sekali gus memerlukan kos membaiki kerosakan dan menyewa kenderaan lain.

"Alhamdulillah, sumbangan van sekolah dan wang zakat cukup bermakna bagi anak yatim asrama ini dan bagi pihak pengurusan sendiri amat bersyukur kerana amal jariah agensi tersebut dapat meringankan beban kewangan, malah anak yatim di sini lebih bersemangat untuk belajar serta menjadi insan yang soleh dan cemerlang pada masa akan datang," katanya.

MUHAMAD HARIRI ABDUL MAJID


Dalam pada itu, Muhamad Hariri Abdul Majid berkata, jawatankuasa pengurusan PKAYIA berterima kasih kepada  Ahli Parlimen Lipis yang sangat mengambil berat hal pengurusan asrama PKAYIA termasuk kebajikan anak yatim di situ sejak pertubuhan bukan kerajaan ini mula didaftarkan pada 2003.

"Kita cuma dapat menampung seramai 20 orang anak yatim tinggal di asrama ini daripada 112 orang yang berdaftar dengan PKAYIA yang masih memerlukan pembelaan kebajikan kerana premis ini sempit dan tidak mampu menampung jumlah yang ramai," ujarnya.

Tambahnya, orang ramai dan dermawan yang ingin beramal jariah untuk membantu pengurusan PKAYIA bolehlah menyumbang menerusi akaun Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Al-Ihsan menerusi akaun Maybank Islamic bernombor 556114208650, BSN (0600641000036776), Bank Rakyat (22-134-102256-4) atau menghubungi pejabat PKAYIA melalui talian 09-3101160. - KitaReporters

Sebahagian kakitangan Mara Pahang sedang bergotong-royong membersihkan sampah dan menceriakan pekarangan asrama Pertubuhan Anak-Anak Yatim Islam Al-Ihsan (PKAYIA) di bawah Program Mara@Prihatin Lipis. 

Kakitangan Mara Pahang sedang bergotong-royong menyiapkan kerja mengecat dewan makan asrama PKAYIA di bawah Program Mara@Prihatin Lipis.

1
0
0
0
0

Copy Link: