Bagi kebanyakan individu, tandas awam hanyalah ruang persinggahan sementara. Namun, jika diteliti, tandas sebenarnya merupakan cerminan paling jujur tentang identiti kita sebagai sebuah masyarakat.



Di ruang kecil inilah segala lapisan status dan imej luaran gugur seketika. Yang tinggal hanyalah tahap disiplin, adab, serta rasa tanggungjawab kita terhadap orang lain. 

Dalam ruang yang sering dianggap remeh inilah, nilai sivik kita sebenarnya diuji.

Di Malaysia, realiti keadaan tandas awam masih terperangkap antara dua dunia yang berbeza. 

Di satu sisi, kita disajikan dengan kemudahan tandas yang bersih, moden, dan terurus dengan baik, terutama di lokasi premium seperti lapangan terbang antarabangsa, pusat beli-belah terkemuka, hotel bertaraf lima, dan bangunan korporat.

Di tempat sebegini, tandas bukan sahaja berfungsi dengan cemerlang, malah memberikan rasa selesa yang optimum. Keadaan ini membuktikan bahawa dengan sistem pengurusan yang efisien dan pemantauan berterusan, tandas awam di negara kita mampu mencapai standard antarabangsa yang membanggakan.

Namun, di sisi yang lain, masih banyak tandas awam yang berada dalam keadaan yang amat mendukacitakan. 

Di stesen bas, pasar awam, kawasan rekreasi lama, dan gerai makanan, tandas sering kali menjadi ruang yang menjijikkan. 

Lantai yang basah dan licin, bau hancing yang menusuk hidung, paip air yang rosak, mangkuk tandas yang tersumbat, serta ketiadaan kemudahan asas merupakan pemandangan biasa.

Dalam keadaan sebegini, tandas bukan lagi sekadar ruang yang tidak selesa, tetapi berpotensi menjadi ancaman kesihatan dan keselamatan.




Apabila kita membandingkan senario ini dengan pengalaman di negara maju, perbezaannya amat ketara. Pengalaman berada di negara seperti New Zealand, Jepun, dan Singapura sering kali membuka mata. Di kawasan terpencil yang sunyi sekalipun, kemudahan tandas awam yang disediakan kekal bersih, kering, tidak berbau, dan berfungsi dengan sempurna. Menariknya, tiada pekerja pembersihan yang sentiasa memantau.

Namun, tandas tersebut tetap terjaga rapi. Hal ini membuktikan bahawa kebersihan tandas bukanlah semata-mata soal kemudahan fizikal atau bajet penyelenggaraan, tetapi ia berakar umbi daripada budaya dan sikap masyarakat itu sendiri.


 


Dalam wacana mengenai tandas awam, kewujudan tandas VIP (Very Important Person) dan tandas OKU (Orang Kurang Upaya) membuka dimensi perbincangan yang lebih mendalam tentang konsep keadilan, keutamaan, dan hierarki dalam masyarakat kita. 

Tandas VIP lazimnya direka dengan keluasan yang lebih besar, kemasan yang lebih mewah, tahap kebersihan yang lebih tinggi, dan persekitaran yang lebih eksklusif. Ia sering disediakan di hotel mewah, pusat persidangan antarabangsa, majlis rasmi kerajaan, atau ruang korporat bertaraf tinggi. 

Dari satu sudut pandang, kewujudan tandas VIP ini boleh difahami sebagai sebahagian daripada budaya hospitaliti --satu bentuk penghormatan dan layanan istimewa kepada tetamu kehormat atau individu berstatus tinggi. 

Walau bagaimanapun, dari sudut pandang yang berbeza, kewujudan tandas VIP turut menimbulkan persoalan moral dan sosial yang wajar direnungkan. 

Mengapakah kemudahan asas seperti tandas untuk golongan elit boleh diselenggarakan pada tahap yang sangat cemerlang, sedangkan tandas awam untuk rakyat marhaen sering kali diabaikan dan dibiarkan daif?

Perbezaan yang ketara ini mencerminkan bagaimana masyarakat kita meletakkan keutamaan antara status sosial dan keperluan asas manusia. 

Jika kebersihan dan keselesaan hanya dikhususkan kepada mereka yang dianggap "penting", maka kita sebenarnya sedang melebarkan jurang ketidaksamaan dalam perkara yang paling asas.

Persoalan yang lebih provokatif timbul: Adakah golongan VIP benar-benar memerlukan tandas yang diasingkan sepenuhnya daripada orang awam? 

Dalam sebuah masyarakat yang mendepani nilai kesamarataan, pengasingan kemudahan asas berdasarkan darjat dilihat agak lapuk.

Jika tandas awam diselenggarakan dengan standard kebersihan dan keselesaan yang tinggi—seperti yang dipraktikkan di negara maju -- keperluan untuk mewujudkan tandas VIP yang berasingan mungkin tidak lagi relevan.

Golongan VIP seharusnya boleh berkongsi kemudahan yang sama dengan orang awam, asalkan kemudahan tersebut mencapai piawaian kebersihan yang memuaskan. 

Malah, perkongsian kemudahan ini boleh menjadi pemangkin kepada pihak pengurusan untuk memastikan seluruh fasiliti tandas diselenggarakan dengan cemerlang, tanpa sikap pilih kasih. 

Apabila pemimpin atau individu berstatus tinggi menggunakan kemudahan yang sama dengan rakyat biasa, ia menghantar mesej yang kuat tentang kesamarataan dan kebersamaan.



Berbeza sama sekali dengan konsep tandas VIP, kewujudan tandas OKU bukanlah didorong oleh motif kemewahan atau status, tetapi ia adalah satu keperluan mutlak. Ia direka khusus untuk memastikan golongan kurang upaya mempunyai akses yang adil, selamat, dan bermaruah kepada kemudahan asas.

Tandas OKU yang menepati piawaian perlu mempunyai ruang pusingan yang cukup luas untuk kerusi roda, pintu yang mudah dibuka, palang sokongan yang kukuh, serta susun atur sanitari yang praktikal. 

Lantainya mesti menggunakan material antilicin, dan semua kelengkapan perlu berada pada ketinggian yang mudah dicapai. 

Namun, realiti di lapangan sering kali mengecewakan. Masih banyak cabaran yang menghalang golongan OKU daripada menikmati kemudahan ini sepenuhnya. Terdapat tandas OKU yang dibina sekadar melepaskan batuk di tangga -- tidak mematuhi spesifikasi yang ditetapkan, atau tidak diselenggarakan dengan baik.

Lebih menyedihkan, ada tandas OKU yang disalahgunakan sebagai bilik stor, dibiarkan rosak tanpa pembaikan, atau dikunci oleh pihak pengurusan atas alasan mengelakkan vandalisme. 

Lebih membimbangkan adalah sikap segelintir pengguna awam yang normal secara fizikal, tetapi "cacat" dari segi moral. Mereka dengan sewenang-wenangnya menggunakan tandas OKU tanpa sebarang keperluan mendesak, semata-mata kerana tandas tersebut lebih luas, lebih bersih, atau untuk mengelakkan barisan panjang di tandas biasa.

Tindakan ini mungkin dianggap remeh oleh pelaku, tetapi ia membawa implikasi yang besar. 

Tandas OKU diwujudkan khusus untuk mereka yang mempunyai keterbatasan fizikal. Apabila ruang tersebut dimonopoli oleh individu yang sihat, hak asasi pengguna OKU telah dinafikan secara zalim. 

Ini bukan sekadar isu pelanggaran disiplin, tetapi ia adalah manifestasi ketiadaan empati dan kegagalan memahami erti keadilan sosial.

Apabila kita meletakkan tandas VIP dan tandas OKU dalam satu kerangka perbandingan, kita sedang melihat dua cermin yang memantulkan imej masyarakat yang berbeza. 

Tandas VIP melambangkan kecenderungan manusia untuk mengagungkan keistimewaan, hierarki, dan layanan kelas atasan. Manakala tandas OKU melambangkan tuntutan terhadap tanggungjawab sosial, empati, dan pemenuhan keperluan golongan rentan. 

Sebuah masyarakat yang benar-benar progresif dan seimbang seharusnya mampu menyediakan kemudahan yang adil untuk semua memberikan keselesaan tanpa mengabaikan keperluan asas, dan memberikan layanan yang baik tanpa menafikan hak mana-mana pihak.

Bagi merealisasikan transformasi ini di Malaysia, pendekatan yang holistik amat diperlukan. Ia bukan sekadar menuntut pembinaan lebih banyak tandas berteknologi tinggi, tetapi menuntut anjakan paradigma dalam cara kita mengurus dan menggunakan kemudahan awam.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pengurusan bangunan perlu menetapkan Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ketat untuk penyelenggaraan tandas, memastikan pemantauan yang berkala, dan menguatkuasakan standard kebersihan yang tidak boleh dikompromi.

Pada masa yang sama, setiap individu mesti mengambil pemilikan terhadap kemudahan awam. Kebersihan tandas tidak boleh diletakkan di atas bahu pekerja pembersihan semata-mata.

Menggunakan kemudahan dengan cermat, memastikan mangkuk tandas dipam bersih selepas digunakan, membuang sampah ke dalam tong yang disediakan, dan memastikan lantai kekal kering adalah amalan asas yang wajib dibudayakan.



Kesimpulannya, tandas awam adalah barometer ketamadunan kita. Ia mendedahkan sama ada kita benar-benar sebuah masyarakat yang bertamadun tinggi, atau sekadar memakai topeng kemajuan material.

Tandas VIP mengingatkan kita tentang bahaya pemisahan kelas sosial, tandas OKU menyedarkan kita tentang kewajipan membela golongan yang memerlukan, dan tandas awam secara keseluruhannya mengajar kita bahawa kebersihan adalah tanggungjawab kolektif.

Kemajuan sesebuah negara tidak seharusnya diukur hanya melalui pencakar langit yang megah, tetapi ia mesti dinilai melalui perkara yang paling asas. 

Apabila tandas di hentian terpencil kekal bersih tanpa pengawasan, apabila kemudahan OKU dihormati sepenuhnya, dan apabila golongan atasan tidak lagi kekok berkongsi kemudahan dengan rakyat biasa, maka pada saat itulah kita boleh berbangga bahawa kita telah mencapai erti tamadun yang sebenar. - KitaReporters

15
9
0
18
0

Copy Link: